Oleh: KHADIJAH IBRAHIM DAN MOHD. ARIF NIZAM ABDULLAH
BETAPA berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Apatah lagi dalam situasi untuk melepaskan tanggungjawab menjaga anak gadis yang telah 27 tahun dipikul.
Anak gadisnya pula bukan calang-calang orang, penyanyi nombor satu negara.
Begitulah kepiluan yang dirasai Tarudin Ismail, 64, untuk melepaskan Siti Nurhaliza, penyanyi kebanggaan negara yang sempurna dinikahkan dengan lelaki idamannya, Datuk Khalid Mohd. Jiwa, atau lebih dikenali Datuk K, 47 tahun.
Kesayuan hati anak dan abah ini jelas ketara kala Siti bersalaman dan dua kali berpelukan dengan abahnya, Tarudin kemudian menemui dan memeluk ibunya, Siti Salmah Bachik.
Kemudian dengan air mata yang masih bertakung, Siti melangkah pula ke arah abangnya Saiful Bahri Tarudin atau Ayie, mencium tangannya kemudian dipeluk erat Ayie juga dengan sebak yang menerkam di dada.
Namun bagi Siti Nurhaliza, biar apa jua perasaan berbaur di jiwa ini satu permulaan tanggungjawab yang dipikul setelah menjadi isteri Datuk K.
“Selalunya, Siti di bawah jagaan keluarga dan sekarang ini di bawah jagaan Datuk Khalid, Siti berjanji akan menjadi seorang isteri solehah yang mempunyai kerjaya sebagai anak seni.
“Bila sudah menjadi isteri Siti akan pastikan mempunyai masa untuk menjalani kehidupan sebagai isteri. Untuk seminggu dua ini mungkin Siti akan berehat dan tumpukan pada rumah tangga serta bertemu dengan saudara mara kedua-dua belah pihak.”
Begitu janji dan impian Siti. Apa pun perasaan yang bersilih ganti, kini Siti telah menjadi seorang isteri. Bersama Khalid Mohd Jiwa mereka akan melayari alam rumah tangga dengan janji yang telah dimeterai.
Semoga janji yang diikat akan tersimpul mati sehingga ke penghujung hayat.
Selamat Berbahagia!
*Pesan Abah
Dalam melayari alam rumah tangga yang baru ditempuhi sebagai anak yang taat kepada ayah dan ibunya sudah pasti Siti tidak melupakan pesan abah tersayang.
“Sebenarnya abah Siti adalah orang yang paling sensitif dan sebab itu dia nampak emosional. Walaupun dia anggota polis dan nampak tegas dan serius tapi kalau hal-hal berkaitan hari bersejarah atau hari raya, bila kami bersalaman, abah orang pertama yang akan menangis.
“Sepanjang tempoh Siti hampir melalui alam baru, abah berpesan agar Siti menjaga maruah sebagai isteri, jaga rumah tangga dengan baik dan jangan lupakan keluarga.”
*Sayu hati seorang abang...
Rasa sebak turut terbayang di wajah Saiful Bahri Tarudin (Ayie) yang selama 11 tahun menjaga Siti sepanjang penglibatannya dalam bidang seni.
*Doa Ibu
Walaupun ibunya, Salmah Bachik lebih banyak berdiam tetapi jauh di sudut hati seorang ibu hanya doa dapat dipanjatkan agar anak tercinta selamat melayari hidup berumah tangga sambil berkata;
“Saya amat lega, syukur alhamdulillah ke hadrat Illahi semuanya sudah selamat.”
*Nenek gembira
Pada usia 83 tahun, nenek Siti, Teh Ahmad turut hadir memberi sokongan kepada cucunya itu. Teh yang merupakan ibu kepada Siti Salmah Bachik berkata, dia amat gembira kerana cucunya itu selamat melangsungkan pernikahan.
“Nenek gembira kerana Siti sudah selamat menjadi isteri dan harap dia akan bahagia hingga ke akhir hayat.” [UM]