29/08/06

Siti titis air mata temui 1,000 peminat di KLCC


KUALA LUMPUR 28 Ogos
– Penyanyi tersohor negara Datin Siti Nurhaliza Tarudin, 27, sebak dan menitiskan air mata sewaktu muncul 10 minit di khalayak ramai pada majlis persandingan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) petang ini.

Isteri kepada Datuk Khalid Mohamad Jiwa, 47, itu menangis kerana terharu dapat bertemu kira-kira 1,000 peminatnya yang membanjiri bahagian luar sayap barat KLCC.

‘‘Siti menangis sebab dapat bertemu dekat dengan peminat walaupun dari tempat tinggi, walaupun Siti tak dapat berbicara dengan mereka,’’ katanya kepada pemberita selepas sesi bergambar bersama media di atas pelamin khas berkonsepkan taman rekaan Kem Salleh di Ballroom 2 KLCC.

Siti yang mengenakan tiara dan aksesori Rafflesia, memakai gaun putih Dewi Mustika yang berhiaskan 888 mutiara asli bernilai RM300,000 rekaan Khoon Hooi, muncul di khalayak ramai pada 5.35 petang.

Beliau disambut dengan jeritan peminat yang menunggu artis pujaan mereka sejak dari pukul 4 petang lagi.

Acara muncul di khalayak ramai diadakan bagi menggantikan perarakan berkuda untuk mempelai itu mengelilingi KLCC yang terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir.

Mengulas perkara itu, Siti berkata ia dibatalkan kerana tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa yang bimbangkan keselamatan beliau.

Malah, kira-kira lima minit sebelum muncul di khalayak, sepasukan skuad pemusnah bom memeriksa pelantar tempat Siti akan muncul di khalayak ramai itu.

‘‘Siti sedih sebab mahu dekat dengan peminat tetapi perancangan awal tak jadi... itu yang mampu Siti lakukan,’’ katanya.

Beliau turut menjemput semua peminat untuk hadir di majlis persandingannya yang kedua di Kuala Lipis pada 3 September ini.

Majlis persandingan yang bermula 9 malam ini disiarkan secara langsung di TV3 dan dihadiri kira-kira 2,500 jemputan yang terdiri daripada orang kenamaan, kerabat diraja serta rakan artis dari dalam dan luar negara.

Bernama