29/08/06

Ina sebak, Mawi selamba

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID

PUTRAJAYA 28 Ogos
– Selepas putus tunang Julai lalu, Asmawi Ani atau Mawi dan Nordiana Md. Naim atau Ina buat pertama kali diketemukan dalam satu rancangan khas secara langsung RTM1 dan Astro yang menyentuh perasaan dan berterus terang.

‘‘Susah nak lupa bang, cinta pertama. Saya masih ingat lagi sewaktu dia (Mawi) nak pergi uji bakat AF3, saya bekalkan dia kuih jemput-jemput dan sardin tetapi dia tak nak makan sebab nak jaga suara,” kata Ina, 22, sambil mengesat air matanya menjawab soalan pengacara Rosyam Nor.

Berbeza dengan Mawi, 25, dia kelihatan tenang.

Diwawancara oleh Aznil Nawawi di studio bersebelahan dengan Ina di Auditorium Putrajaya Holdings, Putrajaya, dia menjawab setiap soalan mengenai perjalanan hubungannya dengan Ina, biarpun menggunakan alasan terlalu peribadi untuk berkongsi bersama umum.

Sesekali studio riuh-rendah dengan teriakan penonton apabila Mawi kelihatan cuba untuk tidak berterus-terang mengenai perjalanan dan masalahnya dalam hubungan dengan Ina.

Ditanya sama ada hubungan cintanya dengan Ina terputus berikutan desakan pihak lain, Mawi berkata: ‘‘Ia terlalu peribadi untuk diceritakan kepada orang. Saya dah anggap semua perkara ini selesai.’’

Reaksi Mawi juga agak tegang dan gugup apabila tiba-tiba diberitahu akan dibawa bertemu bekas tunangnya itu yang berada bersebelahan studio dalam bangunan itu.

Sebaik sahaja bertentang mata, kedua-dua mereka tersenyum sinis dan Ina kelihatan tenang walau sesekali menjeling ke arah Mawi yang agak tegang dan berasa tidak selesa.

‘‘Saya tidak ada masalah untuk berjumpa dengan dia (Ina), kami kini sudah menjadi artis dan akan bertemu pada majlis-majlis tertentu dan pada waktu itu kami adalah rakan artis.

‘‘Nasihat saya ialah ingatlah bahawa dunia seni ini banyak dugaan. Saya faham awak seorang yang kuat,’’ reaksi Mawi sewaktu dipertemukan dengan Ina selepas beberapa bulan tidak bertemu.

Pada pertemuan itu, Mawi mengambil kesempatan memohon kemaafan kepada keluarga Ina sekiranya beliau melakukan kesalahan sehingga melukakan perasaan keluarga bekas tunangnya itu.

Selain dipertemukan secara mengejut, Ina turut menyampaikan lagu bertajuk ‘Penawar Rindu’ yang pertama kali dinyanyikan oleh gadis itu, khas untuk Mawi. Mawi pula membawakan lagu hitnya Kian’ - lirik kedua-dua lagu itu seakan-akan menceritakan isi hati masing-masing.

‘‘Abang (Mawi), saya ingin minta maaf terutama sekali mengenai penerbitan buku saya Catatan Duka Diana Naim, saya mahu abang baca dan fahamkan isi kandungan buku ini.

‘‘Jangan buat andaian terlebih dahulu,’’ kata Ina sebelum program yang berlangsung selama dua jam itu berakhir.

Program menarik yang pertama kali dianjurkan bersama RTM dan stesen berbayar, Astro, bagi membolehkan kedua-dua mereka menghuraikan secara terus terang mengenai apa yang menjurus kepada terlerainya ikatan pertunangan mereka, disiarkan serentak dengan siaran langsung upacara persandingan Siti Nurhaliza Tarudin dan Datuk Khalid Mohd. Jiwa. [UM]