KUALA LUMPUR 22 Jun - ''Kita boleh menyayangi seseorang sebesar gunung tetapi masin dari sebutir garam mampu menghancurkan segalanya.''
Itu merupakan reaksi pelakon, A.R. Badul ketika ditanya sama ada dia masih mempunyai rasa sayang terhadap bekas isterinya, Muna Lisa Basir selepas selesai prosiding perceraiannya secara tebus talak di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.
Dia juga nyata tersentuh dengan perceraian itu apabila dilihat mengesat air matanya berulang kali.
Pada prosiding yang dijalankan di kamar Hakim Syarie, Mohd. Yunos Mohamad Zin, Muna Lisa, 34, membayar RM1 kepada Badul atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie, 60, sebagai tebus talak.
Pasangan itu yang berkenalan selama empat tahun sebelum mendirikan rumah tangga pada 23 Jun 2001 dan dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia lima tahun.
Perkahwinan Badul dengan Muna Lisa merupakan perkahwinan kali kelima buat pelakon dan pengarah filem Guru Badul dengan rumah tangga yang didirikan sebelum ini juga berakhir dengan penceraian.
Badul mempunyai tujuh orang anak hasil kesemua perkahwinannya.
Enggan mendedahkan punca sebenar yang membawa kepada penceraian tersebut, Badul sekadar memberitahu, berlaku sedikit pertengkaran dan dia telah berusaha untuk menyelamatkan perkahwinan itu.
''Sebelum ini kami sudah pernah ke mahkamah apabila dia (bekas isteri) mendakwa saya telah melafazkan cerai sewaktu bertengkar tetapi saya betul-betul tidak ingat sama ada lafaz telah diucapkan. Tapi kemudiannya, kami berbaik semula.
''Kemudian, beberapa bulan lalu, berlaku sekali lagi pertengkaran dan dia sekali lagi menuntut cerai tetapi kali ini secara fasakh. Tetapi sementara menunggu di mahkamah, kami sempat berbincang dan sekali lagi memutuskan untuk tidak meneruskan proses fasakh itu. Bagi tebus talak ini pun, saya mengambil masa tiga bulan untuk memikirkannya,'' kata Badul.
Pada 14 Oktober tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah di sini menolak permohonan Muna Lisa untuk mendapatkan pengesahan lafaz cerai selepas Badul mengangkat sumpah istizhar bagi menyakinkan mahkamah bahawa dia tidak ingat semasa melafazkan cerai tersebut.
Menjawab pertanyaan mengenai tindakan untuk bercerai secara tebus talak, Badul yang juga anak kepada pelawak, A.R. Tompel dan abang kepada pelakon Adlin Aman Ramli, ia adalah sebagai 'pendinding' buat dirinya yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
Katanya, jika proses perceraian adalah seperti yang biasa dilakukan, dia khuatir akan dikenakan tindakan mahkamah sekiranya tidak mampu memenuhi perintah mahkamah.
Bagaimanapun Badul memberitahu, dia tetap akan memberikan nafkah bulanan kepada bekas isteri dan anaknya itu.
Ditanya adakah, dia serik untuk berkahwin lagi, Badul menjawab :''Kalau ada lelaki yang kata serik untuk berkahwin, maknanya dia bukan lelaki rasanya. Tetapi bagi saya, sekiranya seseorang itu ikhlas menerima saya sebegini, yang ada kekurangannya, maka saya akan terima.''
Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Online untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-Chargezeromax.com, Manggis.info. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan