23/06/09

Datuk Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh cerai talak satu

SHAH ALAM 22 Jun – Ekoran tiada lagi persefahaman, rumah tangga yang dibina selama 22 tahun antara Pengerusi Proton Holdings Bhd., Datuk Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh dan isterinya, Datin Nik Yasmin Dianara Nik M.F. Kamil akhirnya terlerai hari ini.

Ijab kabul yang termeterai pada 11 Jun 1987 berakhir secara rasmi pada pukul 3.35 petang ini setelah Mohd. Nadzmi selaku plaintif menceraikan Nik Yasmin, 46, yang dinamakan sebagai defendan dengan lafaz talak satu.

Mohd. Nadzmi, 54, melafazkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah di sini di hadapan Hakim Syarie, Kamarulzaman Ali secara persetujuan bersama.

Pasangan tersebut yang bernikah di ibu negara dikurniakan enam orang anak.

Mohd. Nadzmi yang diwakili peguam syarie, Mohamad Nor Bahari mengemukakan permohonan tersebut mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 iaitu bercerai secara persetujuan bersama dengan kebenaran mahkamah.

Terdahulunya, Mohamad Nor menjelaskan bahawa disebabkan tiada persefahaman sejak beberapa bulan lalu, Mohd. Nadzmi sudah tidak tinggal bersama defendan selama sebulan lebih.

Untuk memastikan keadaan tersebut, Kamarulzaman bertanya sendiri kepada Nik Yasmin yang kemudiannya mengesahkan mereka sudah tinggal berasingan dan tiada hubungan kelamin dalam tempoh suci.

Nik Yasmin yang memakai jubah berwarna putih turut menyatakan persetujuannya terhadap permohonan dan alasan yang dikemukakan Mohd. Nadzmi untuk bercerai.

Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Online untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-Chargezeromax.com, Manggis.info.

Tiada ulasan: