28/02/11

Sarah temui kebahagiaan baru

SITI Sarah Raisuddin sah bergelar isteri kepada Shahmira Muhamad selepas melangsungkan pernikahan di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 26 Feb. - Biarpun pernah melalui episod duka dalam hubungan cinta terdahulu, tiada istilah serik bagi Siti Sarah Raisuddin, 27, untuk terus mencari bahagia.


Malah, penyanyi ini tidak pernah menutup pintu hati untuk menerima cinta lelaki walaupun mengaku bahawa dia lebih berhati-hati selepas putus tunang sebelum ini.

Justeru itu, apabila Shahmira Muhamad, 27, atau lebih dikenali sebagai Shuib dari kumpulan Sepah melamarnya, Sarah tidak mampu menolak.

"Apabila saya berkenalan dengan Shuib hampir dua tahun lalu, saya melihat dia begitu jujur berkawan dengan sehingga pernah menyuarakan hasrat untuk mengahwini saya.

"Lantaran itu, saya tidak dapat menolak apabila dia melamar kerana saya benar-benar yakin dengan kejujuran dan keikhlasannya yang mahu membawa hubungan ini ke satu fasa baru dalam hidup kami berdua," jelas Sarah ceria.

Penyanyi yang cukup popular dengan lagu Kesetiaan dan Jangan Kau Mimpi itu berkata ketika ditemui pada majlis pernikahannya yang berlangsung di sini hari ini.

Tepat pukul 5.45 petang dan hanya dengan sekali lafaz sahaja, Sarah sah menjadi isteri kepada Shuib dalam majlis yang cukup sederhana namun meriah itu.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan yang juga Pembantu Hal Ehwal Islam, Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, Mohd. Nizar Mohd. Nadzir.

Pada majlis itu, Sarah yang anggun mengenakan busana rekaan Hatta Dolmat menerima mas kahwin RM1,000 bersama lima dulang hantaran yang terdiri daripada sebentuk cincin, senaskhah al-Quran, telekung, barangan penjagaan diri, wangian, kek dan tepak sirih.

Pengantin perempuan juga membalas dengan lima dulang hantaran yang merangkumi sebentuk cincin, senaskhah al-Quran, sejadah, barangan penjagaan diri, wangian, kek dan tepak sirih.

Bagaimanapun, Sarah dan Shuib memilih merahsiakan jumlah wang hantaran atas permintaan kedua-dua belah pihak.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah bapa Sarah iaitu penyanyi dan pelakon terkenal pada era 1980-an, Raisuddin Hamzah dan juga ibunya, Nooraini Mohamad.

Tidak ketinggalan, ibu bapa Shuib iaitu Muhamad Ayob Abdul Karim dan Salamiah Jalani serta ahli keluarga kedua-dua belah pengantin lelaki serta perempuan.

Majlis resepsi untuk meraikan hari bahagia mempelai akan berlangsung dalam waktu terdekat ini.

Pautan: Syafrein.com, Takaful Keluarga, Dompas.Net, Guided-Info.com, Munakahat, Riau.cc, NikahKahwin.Co.Cc, Make Money So EZ

21/02/11

PASANGAN pengantin, Zulkefli Ali dan Nursuhaila Abdullah (tengah) diarak dan diraikan oleh sekumpulan peminat kereta Volkswagen Klasik di Dataran Menara Condong, Teluk Intan, Perak, 20 Feb. - Utusan

Pautan: Syafrein.com, Takaful Keluarga, Dompas.Net, Guided-Info.com, Munakahat, Riau.cc, NikahKahwin.Co.Cc, Make Money So EZ
PELAKON, Rosnah Md. Nor (kiri) dan bekas suaminya, penyanyi dangdut Iwan (kanan) bergambar bersama pasangan pengantin yang juga anak perempuan mereka, Syamira dan suaminya Ezad, di Taman Putra Perdana, Puchong, 20 Feb. - Utusan/NOORADZRENE MOHD NOOR
Tulis di sini
Pautan: Syafrein.com, Takaful Keluarga, Dompas.Net, Guided-Info.com, Munakahat, Riau.cc, NikahKahwin.Co.Cc, Make Money So EZ

20/02/11

Misha Omar isteri ketiga?

KALAU nak cerita hal kahwin Misha Omar ni, Joyah rasa ramai teman wartawan yang dah muak dengan khabar angin yang bertebaran sejak beberapa tahun lalu. Tiap-tiap kali keluar cerita kahwin, Misha akan menafikan perkara tersebut walaupun kepada teman wartawan yang agak rapat dengan dia.

Awal tahun ini pun heboh orang bercerita hal Misha nak kahwin. Bakal terima hantaran RM111,111 lah, nak kahwin 11 Januari 2011 dan macam-macam spekulasi yang keluar. Tapi nampaknya macam tak betul sebab Misha cakap tak kahwin.

Angin yang bertiup kencang dari Pantai Timur baru-baru ini membawa berita kepada Joyah yang Misha dah pun sah berkahwin dengan usahawan kereta yang hanya dikenali dengan nama Datuk K.

Popular sungguh nama Datuk K di kalangan orang industri hiburan kita ni. Tapi yang ini bukan Datuk Khalid suami kepada Siti Nurhaliza. Ini Datuk K yang lain okey.

Bapa saudara kepada Datuk K kawan baik kepada kawan ofis Joyah. Dia pun berceritalah kepada teman Joyah. Katanya, sudah sah Misha dah jadi isteri ketiga kepada anak saudaranya seorang usahawan yang cukup berjaya di Kelantan itu.

Tarikh kahwin tak pula diberitahu tapi apa yang membuatkan Joyah nak pitam, dengar khabarnya Misha menerima hadiah wang lebih kurang RM1 juta ringgit, rumah dan lain-lain aset yang cukup banyak.

Amboi, untung betul jadi Misha Omar, rezeki cukup murah sebab dapat hadiah begitu banyak. Untung badan orang cantik dan popular macam Misha.

Kalau benar seperti mana yang disampaikan, rasanya tak terlambat untuk Joyah ucap selamat pengantin baru.- Utusan
Pautan: Syafrein.com, Takaful Keluarga, Dompas.Net, Guided-Info.com, Munakahat, Riau.cc, NikahKahwin.Co.Cc, Make Money So EZ

14/02/11

Dira: Helmi menerima saya seadanya

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR dan ZULHAFIZ HANAFIAH



KEHIDUPAN Dira dan anaknya, Tengku Anggun Deandra bakal terisi dengan kehadiran Mohd. Helmi Mohd. Yusof sebagai lelaki baru dalam hidup mereka
DERAI tawanya di hujung talian bagaikan memberi tanda bahawa dia benar-benar melalui fasa hidup yang cukup membahagiakan ketika ini.

Hampir setahun bergelar ibu tunggal dan melalui kehidupan bersendirian bersama puteri sulungnya, Tengku Anggun Deandra, Dira Abu Zahar mengakui hidupnya kini kembali terisi dengan kehadiran seorang jejaka.

Ya, benar. Dira kini kembali di alam percintaan dan daripada bicaranya itu juga sudah dapat disimpulkan wanita berusia 27 tahun itu sudah bersedia untuk kembali menjadi seorang isteri.

Nada suaranya cukup terkejut apabila penulis bertanyakan kesahihan di sebalik cerita yang mengatakan dia bakal mengikat tali pertunangan dengan pengarah fotografi terkenal, Mohd. Helmi Mohd. Yusof, 33, dalam waktu terdekat ini dan seterusnya mendirikan rumah tangga sebelum penghujung tahun ini.

Cuba hendak berselindung di awalnya namun, Dira akur dan dengan hati yang terbuka menceritakan hubungannya dengan Mohd. Helmi atau mesra disapa Helmi yang baru terjalin dalam beberapa bulan lalu.

“Mana awak tahu berita ini? Siapa yang beritahu? Beginilah. Bukannya saya tidak mahu umumkan tentang perkara ini tetapi sebenarnya, saya mahu menyelesaikan beberapa perkara penting terlebih dahulu.

“Saya tiada alasan untuk menyorok perkara yang baik. Bila tiba masanya, saya pasti akan umumkan kepada semua media,” katanya dalam nada cukup berhemah dengan disulami ketawa kecil.

Untuk pengetahuan, Mohd. Helmi sebelum ini pernah bertunang dengan model dan aktres jelita, Nasha Aziz pada tahun 2006. Walau bagaimanapun, hubungan mereka itu tidak kekal lama.

Pandang ke depan

Dira pula mendirikan rumah tangga dengan pemuzik bebas, Tengku Shafiz-Rullah As Syafie Tengku Mohd. Shahidd atau lebih dikenali sebagai Ash pada 5 Januari 2007 dan perkahwinan mereka berakhir setahun lalu.

Biarpun perkahwinannya sebelum ini berakhir dengan penceraian, bagi Dira ia bukan satu alasan untuknya merasa fobia atau enggan mencari cinta baru dalam hidupnya.

“Saya harus akui di awal perceraian, saya berasa sedikit sedih tetapi saya bersikap positif dan optimis dalam perjalanan hidup saya. Sampai bila harus saya berduka di atas apa yang telah berlaku.

“Setiap perkara yang terjadi itu ada hikmahya dan saya cukup percaya dengan kenyataan itu. Kita perlu meneruskan kehidupan dan biarkan apa yang berlaku sebelum ini tersimpan kemas dalam lipatan sejarah hidup kita.

“Kita harus pandang ke depan dan sudah tiba masanya kita memikirkan tentang masa depan pula. Sampai bila hendak berduka dan seolah-olah itu seperti menghukum diri sendiri. Saya bukan wanita seperti itu,” ujarnya lembut namun tegas.

Bercerita mengenai teman barunya itu pula, Dira atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar mengakui dia cukup selesa dengan Mohd. Helmi yang disifatkannya sebagai seorang lelaki yang menarik, baik dan memiliki banyak persamaan dengan dirinya.

Cerita Dira, dia dan Helmi memang sudah lama saling mengenali memandangkan Dira pernah terlibat dengan kerja belakang tabir sebelum menceburkan diri dalam bidang lakonan secara serius sejak empat tahun lalu.

“Namun begitu, ingin saya tegaskan di sini dan saya mahu semua orang faham, Helmi bukan punca keretakan rumah tangga saya. Saya cukup sedar dan tahu pasti akan ada yang cuba mengaitkannya tetapi sebenarnya tidak.

“Memang kami sudah lama kenal tetapi hubungan itu semakin rapat hanya beberapa bulan lalu ketika kami sama-sama terlibat dalam filem Untuk 3 Hari. Sudah pasti sebelum itu, saya menyiasat terlebih dahulu sama ada dia sedang berpacaran dengan sesiapa atau tidak.

“Begitu juga dengan dirinya. Alhamdulillah, hubungan kami baik dan apa yang penting sekali adalah dia dapat menerima diri saya seadanya. Dia juga tidak kisah dengan status saya sebagai ibu tunggal.

“Kita tidak tahu ketentuan Allah SWT dan apa yang telah Dia aturkan untuk kita sebagai hambaNya. Saya dan Helmi masing-masing pernah melalui satu fasa yang membawa kami menyelusuri laluan gelap dalam hidup kami.

“Jadi, kami sudah menemui kehidupan yang lebih baik dalam hubungan ini dan insya-Allah, jika semua perkara sudah selesai dan tiada aral melintang, sudah pasti kami mahu membawa hubungan ini melangkah setapak lagi,” cerita pelakon drama bersiri Akinabalu, Arjuna dan Tower 13 ini tanpa berselindung.

Dalam masa yang sama, anak bongsu daripada enam beradik ini juga mengakui rakan-rakan mereka terutama pengarah terkenal, Afdlin Shauki merupakan individu yang menjadi orang tengah dalam merapatkan Dira dan Helmi.

Jelas Dira, sepanjang menjalani penggambaran Untuk 3 Hari yang memakan masa selama 45 hari itu, ketika itulah, mereka mula rapat dan mencari peluang untuk mengenali hati budi masing-masing.

“Selama lebih sebulan berada di set, itulah peluang kami untuk menjadi rapat dan mengenali serta memahami diri masing-masing. Mana tidaknya. Masa itu cukup panjang dan lama bagi membolehkan kami berbuat demikian,” ujarnya sambil ketawa.

Sumber: Berita Harian untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Score A Programme, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Takaful Keluarga.

7/02/11

Bersanding atas bot, 'dihumban' ke laut

ZAHARI Mohd. dan Norhidayah Abu Kassim berjalan ke pantai selepas 'dihumban' ke laut setelah bersanding di atas bot di Alor Gajah, semalam.
ALOR GAJAH 6 Feb. - Sepasang pengantin baru sanggup bersanding di atas bot nelayan sebelum meredah air laut dengan pakaian pengantin semata-mata mahukan kelainan dalam majlis bersejarah mereka itu.

Pasangan itu, Zahari Mohd. 28, dan isteri, Norhidayah Abu Kassim, 28, walaupun tidak menyangka kejutan yang dirancang pihak keluarga mereka itu, tetap gembira dan bangga dengan kelainan tersebut.

Menurut Zahari, perkara itu dirancang oleh bapanya, Mohd. Nor, 54, yang merupakan seorang nelayan.

"Sebagai nelayan memang biasa dengan laut, ayah mahu saya lakukan kejutan itu dan saya gembira dapat bersanding di atas bot nelayan dan meredah laut bersama isteri.

"Ini pengalaman sekali seumur hidup dan saya amat gembira majlis persandingan ini berjalan dengan sempurna,'' katanya ketika ditemui pada majlis persandingan di rumah keluarganya di kampung Tanjong Dahan, Kuala Linggi di sini hari ini.

Terdahulu, pasangan pengantin yang mengenakan persalinan biru laut itu dibawa berarak menaiki bot nelayan berhias sehingga ke tengah laut.

Dalam perjalanan menuju ke darat, Zahari yang merupakan jurutera enjin kapal di Syarikat Perkapalan Antarabangsa Malaysia Berhad (MISC) terus terjun ke laut dengan kedalaman paras pinggang.

Isterinya yang terkejut dengan tindakannya itu terus meminta beliau mendukung sampai ke darat. Sebaliknya Zahari terus memeluk isterinya sehingga mereka bersama-sama basah ke paras pinggang.

Suasana bertambah meriah apabila terdengar jeritan usikan tetamu yang hadir pada majlis itu yang berada di darat.

Sementara itu, Norhidayah berkata, dia tidak sangka majlis persandingan itu bersejarah dengan kejutan yang dilakukan pihak keluarga suaminya itu.

"Saya ingat selepas naik bot nelayan akan terus ke darat, tidak sangka pula suami akan 'menghumban' saya ke dalam sehingga pakaian pengantin kami basah," katanya yang merupakan pensyarah di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Alor Gajah.

Sumber: Berita Harian untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Score A Programme, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Takaful Keluarga.

6/02/11

Raja Zarith Sofiah raikan pengantin baru

PASANGAN pengantin, Norliana Sakiman dan Hishamuddin Darwis menaiki kenderaan pacuan empat roda meninjau keadaan banjir yang melanda kampung mereka setelah majlis akad nikah, di Kampung Sri Tanjung, Panchor, Muar, 5 Feb. - Utusan/RAJA JAAFAR ALI
MUAR 5 Feb. - Kesedihan sepasang pengantin baru yang tidak dapat meraikan hari bersejarah mereka hari ini, setelah persiapan kahwin dan rumah rosak akibat banjir terubat apabila majlis pernikahan mereka diserikan dengan kehadiran isteri Sultan Johor, Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Raja Zarith Sofiah berkenan ke majlis akad nikah pasangan tersebut yang berlangsung di Masjid Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pagoh, di sini selepas melawat pusat pemindahan banjir.

Baginda turut menyaksikan pasangan Hishamuddin Darwis, 30, dan Norliana Sakiman, 21, dinikahkan oleh naib kadi kawasan Panchor, Mohd. Taib Mohamad.

Raja Zarith Sofiah rai pengantin mangsa banjir
Menurut Hishamuddin, walaupun masih bersedih kerana tidak dapat bersanding di rumah isterinya di Kampung Sri Tanjung, Panchor, beliau gembira apabila majlis pernikahannya turut dihadiri oleh Raja Zarith Sofiah.

"Rasa macam tak percaya pun ada. Dalam kesibukan melawat mangsa banjir baginda masih sempat untuk datang ke majlis pernikahan kami.

"Sesungguhnya majlis ini amat bermakna sekali bagi kami meskipun masih bersedih kerana segala persiapan perkahwinan musnah akibat banjir," katanya.

Beliau berkata, majlis persandingan sebelah perempuan sepatutnya dijalankan pada hari ini sementara di sebelah lelaki di Kampung Terus, Panchor keesokannya.

Bagaimanapun, katanya, majlis tersebut terpaksa ditunda pada bulan hadapan setelah segala persiapan bernilai ribuan ringgit musnah sama sekali.

Sementara itu, Raja Zarith Sofiah turut menyampaikan bantuan berupa makanan, minuman serta barangan keperluan harian kepada mangsa banjir.

Baginda turut meminta agar mangsa banjir bersabar kerana banjir kali ini yang dianggap terburuk selepas banjir pada 2006 lalu.
Sumber: Berita Harian untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Score A Programme, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, My Biz Online.

Shahriza Mahmud nikah abang Ana Raffali

PENYANYI remaja, Ana Raffali (kanan) memeluk sambil mengucapkan tahniah kepada Shahriza Mahmud selepas pelakon drama itu selamat melangsungkan perkahwinan dengan abangnya, Mohd. Khalif Saddiq Mohd. Rafali di Taman Muhibbah, Alor Setar, 5 Feb. - Utusan/KAMAL BASIR
ALOR SETAR 5 Feb. - Setelah lebih 10 tahun menjanda, pelakon drama, Shahriza Mahmud, 45, bernikah dengan penolong pengarah, Mohd. Khalif Saddiq Mohd. Rafali, 30, di Masjid Rafeah Taman Uda, di sini hari ini.

Shahriza yang berwalikan bapanya, Mahmud Ismail, 76, dinikahkan oleh imam masjid berkenaan, Zakaria Long pada majlis yang bermula pukul 11 pagi dan diadakan serentak dengan majlis pertunangan.

Dengan sekali lafaz, Shahriza sah menjadi isteri kepada Mohd. Khalif Saddiq yang juga abang kepada penyanyi, Ana Raffali dan menerima mas kahwin RM1,111 serta wang hantaran RM1,888.89.

Pasangan tersebut kelihatan berseri-seri mengenakan pakaian pengantin sedondon berwarna krim.

Pada majlis tersebut, pengantin bertukar-tukar hantaran dengan tujuh dulang daripada pihak lelaki berbalas sembilan dulang.

Majlis akad nikah diadakan secara ringkas namun meriah dengan kehadiran anggota keluarga kedua-dua mempelai termasuk Ana sendiri yang bercuti bagi menguruskan perkahwinan abangnya itu.

Shahriza yang juga penolong pengarah dan penulis skrip melangsungkan perkahwinan tersebut setelah lebih lima tahun mengenali Mohd. Khalif Saddiq.

Ini merupakan perkahwinan kedua untuk Shahriza yang pernah mendirikan rumah tangga pada 1996 sebelum bercerai lima tahun kemudian dan yang pertama bagi Mohd. Khalif Saddiq.

Ketika ditemui selepas majlis akad nikah itu, kedua-dua mereka bersyukur kerana majlis tersebut berjalan lancar.

Menurut Shahriza, dia masih terkejut kerana tidak mempercayai akan berkahwin semula.

"Kegagalan perkahwinan pertama sangat pahit dan hampir menjadikan saya takut untuk berkahwin lagi.

"Alhamdulillah kerana dipertemukan dengan Saddiq yang akhirnya membuka hati saya untuk berkahwin semula," kata pelakon yang pernah popular dengan drama bersiri Pendekar ini.

Menurut Shahriza, mereka bertemu lima tahun lepas ketika menjadi tenaga pengajar untuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Saddiq merupakan salah seorang daripada pelajarnya.

Sementara itu, majlis persandingan yang diadakan di rumah pengantin perempuan di Taman Muhibbah di sini selepas majlis akad nikah berlangsung meriah dan dihadiri lebih 800 jemputan.

Pengantin baru ini akan berbulan madu di Cameron Highlands selepas majlis perkahwinan tersebut.

Sumber: Berita Harian untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Score A Programme, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau

1/02/11

Majlis persandingan Ayu-Zaquan meriah

AYU Raudhah Che Wan dan Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak menemui tetamu yang menghadiri majlis persandingan mereka di Dewan Pusat Islamiah, Paroi, Seremban, semalam. - Utusan/Abd. Razak Aid
REMBAU 30 Jan. - Lebih 1,500 tetamu dan peminat menghadiri majlis persandingan pelakon Ayu Raudhah Che Wan dan pasangannya, pemain bola sepak kebangsaan, Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak di Dewan Pusat Islamiah, Paroi di sini hari ini.

Sungguhpun hujan renyai-renyai sepanjang majlis persandingan di pihak lelaki itu berlangsung, namun ia tidak menjejaskan kemeriahan majlis persandingan tersebut.

Majlis itu juga diserikan dengan kehadiran para tetamu jemputan terdiri daripada sahabat handai dan keluarga terdekat kedua-dua mempelai.

Antara artis terkenal yang menghadiri majlis berkenaan ialah Mazlan Pet Pet, Rozita Che Wan dan pemain skuad bola sepak Negeri Sembilan.

Turut hadir jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa.

Ayu Raudhah, 27, dan Mohd. Zaquan Adha, 24, yang anggun dan segak mengenakan busana berwarna biru kelihatan ceria melayan para tetamu serta peminat yang hadir.

Mohd. Zaquan Adha yang ditemui selepas majlis itu berkata, dia bersyukur kerana majlis tersebut berjalan lancar walaupun hujan sejak awal pagi.

"Saya gembira kerana majlis ini berjalan seperti yang dirancang dan saya berharap perkahwinan ini kekal sepanjang hayat.

"Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para tetamu terutama peminat yang banyak menyokong kerjaya saya dan Ayu selama ini," katanya.

Kedua-dua pasangan tersebut selamat diijabkabulkan pada 21 Januari lalu di Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Setar setelah hampir empat bulan bertunang.

Sumber: Utusan  untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Score A Programme, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, My Biz Online.

Hakim dituduh khalwat minta bicara

ADAM Tumiran dan pasangannya, Nurul Izani Md. Isa ketika menghadiri perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Pulau Pinang, semalam.


Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my



PULAU PINANG 31 Jan. - Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, Adam Tumiran dan penasihat kewangan, Nurul Izani Md. Isa dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas tuduhan berkhalwat di sebuah kuarters kerajaan di sini, Disember tahun lalu.

Adam, 43, memakai kemeja putih dan berseluar hitam sementara Nurul Izani, 34, berbaju kurung ungu masing-masing mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahya kira-kira pukul 10.30 pagi.

Mengikut pertuduhan, Adam dan Nurul Izani yang bukan mahram didakwa berada bersama-sama dalam keadaan yang menimbulkan syak kira-kira pukul 2.05 pagi, 5 Disember tahun lalu, di No. 18B, kuarters kerajaan negeri, Jalan Masjid Negeri di sini.

Adam yang menetap di negeri ini didakwa mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala Nurul Izani yang bertugas di Kuala Lumpur didakwa di bawah Seksyen 27 (b) enakmen sama.

Jika sabit kesalahan, setiap seorang boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Nik Bukhari Hashimy menetapkan 22 Februari ini bagi sebutan semula kes.

Beliau membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 berserta seorang penjamin yang bermastautin di negeri ini bagi mengelak mereka menghilangkan diri semasa perbicaraan.

Terdahulu, Ketua Pendakwa Syarie, Mohd. Zulkhairi Aziz memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk dibicarakan kerana membabitkan pegawai kanan dalam perkhidmatan kehakiman.

Selain itu menurut beliau, pelbagai isu perundangan luar biasa yang memerlukan penafsiran undang-undang lebih mendalam akan dibangkitkan sepanjang perbicaraan kes itu.

"Saya tidak tahu apa lagi isu yang akan timbul kerana hari ini pun sudah ada macam-macam.

"Jadi adalah lebih wajar kes dibicarakan di Mahkamah Tinggi yang mempunyai penafsiran lebih luas supaya orang ramai lebih percaya dan yakin dengan perjalanan kes ini," katanya.

Peguam Ahmad Munawir Abd. Aziz yang mewakili pasangan itu turut memohon membuat penghujahan secara bertulis berhubung isu memindahkan kes.

"Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, baharu keputusan mengenainya wajar dibuat.

"Jangan hanya kerana tertuduh pegawai kanan perundangan, keadilan untuknya dipinggirkan," katanya.

Dalam prosiding yang sama, mahkamah turut menolak bantahan awal dikemukakan peguam mengenai pertuduhan yang dianggap cacat.

Ahmad Munawir berkata, pasangan terbabit sudah berkahwin di luar negara dan surat pengesahan nikah juga telah diperoleh.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) kerana disyaki bersekedudukan dengan seorang wanita.

Ketika serbuan dilakukan, isteri dan anaknya tiada di rumah kerana dikatakan berada di ibu kota.

Sumber: Utusan untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Score A Programme, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, My Biz Online.