2/28/11

Sarah temui kebahagiaan baru

SITI Sarah Raisuddin sah bergelar isteri kepada Shahmira Muhamad selepas melangsungkan pernikahan di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 26 Feb. - Biarpun pernah melalui episod duka dalam hubungan cinta terdahulu, tiada istilah serik bagi Siti Sarah Raisuddin, 27, untuk terus mencari bahagia.


Malah, penyanyi ini tidak pernah menutup pintu hati untuk menerima cinta lelaki walaupun mengaku bahawa dia lebih berhati-hati selepas putus tunang sebelum ini.

Justeru itu, apabila Shahmira Muhamad, 27, atau lebih dikenali sebagai Shuib dari kumpulan Sepah melamarnya, Sarah tidak mampu menolak.

"Apabila saya berkenalan dengan Shuib hampir dua tahun lalu, saya melihat dia begitu jujur berkawan dengan sehingga pernah menyuarakan hasrat untuk mengahwini saya.

"Lantaran itu, saya tidak dapat menolak apabila dia melamar kerana saya benar-benar yakin dengan kejujuran dan keikhlasannya yang mahu membawa hubungan ini ke satu fasa baru dalam hidup kami berdua," jelas Sarah ceria.

Penyanyi yang cukup popular dengan lagu Kesetiaan dan Jangan Kau Mimpi itu berkata ketika ditemui pada majlis pernikahannya yang berlangsung di sini hari ini.

Tepat pukul 5.45 petang dan hanya dengan sekali lafaz sahaja, Sarah sah menjadi isteri kepada Shuib dalam majlis yang cukup sederhana namun meriah itu.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan yang juga Pembantu Hal Ehwal Islam, Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, Mohd. Nizar Mohd. Nadzir.

Pada majlis itu, Sarah yang anggun mengenakan busana rekaan Hatta Dolmat menerima mas kahwin RM1,000 bersama lima dulang hantaran yang terdiri daripada sebentuk cincin, senaskhah al-Quran, telekung, barangan penjagaan diri, wangian, kek dan tepak sirih.

Pengantin perempuan juga membalas dengan lima dulang hantaran yang merangkumi sebentuk cincin, senaskhah al-Quran, sejadah, barangan penjagaan diri, wangian, kek dan tepak sirih.

Bagaimanapun, Sarah dan Shuib memilih merahsiakan jumlah wang hantaran atas permintaan kedua-dua belah pihak.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah bapa Sarah iaitu penyanyi dan pelakon terkenal pada era 1980-an, Raisuddin Hamzah dan juga ibunya, Nooraini Mohamad.

Tidak ketinggalan, ibu bapa Shuib iaitu Muhamad Ayob Abdul Karim dan Salamiah Jalani serta ahli keluarga kedua-dua belah pengantin lelaki serta perempuan.

Majlis resepsi untuk meraikan hari bahagia mempelai akan berlangsung dalam waktu terdekat ini.

Pautan: Syafrein.com, Takaful Keluarga, Dompas.Net, Guided-Info.com, Munakahat, Riau.cc, NikahKahwin.Co.Cc, Make Money So EZ

No comments: