1/02/11

Hakim dituduh khalwat minta bicara

ADAM Tumiran dan pasangannya, Nurul Izani Md. Isa ketika menghadiri perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Pulau Pinang, semalam.


Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my



PULAU PINANG 31 Jan. - Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, Adam Tumiran dan penasihat kewangan, Nurul Izani Md. Isa dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas tuduhan berkhalwat di sebuah kuarters kerajaan di sini, Disember tahun lalu.

Adam, 43, memakai kemeja putih dan berseluar hitam sementara Nurul Izani, 34, berbaju kurung ungu masing-masing mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahya kira-kira pukul 10.30 pagi.

Mengikut pertuduhan, Adam dan Nurul Izani yang bukan mahram didakwa berada bersama-sama dalam keadaan yang menimbulkan syak kira-kira pukul 2.05 pagi, 5 Disember tahun lalu, di No. 18B, kuarters kerajaan negeri, Jalan Masjid Negeri di sini.

Adam yang menetap di negeri ini didakwa mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala Nurul Izani yang bertugas di Kuala Lumpur didakwa di bawah Seksyen 27 (b) enakmen sama.

Jika sabit kesalahan, setiap seorang boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Nik Bukhari Hashimy menetapkan 22 Februari ini bagi sebutan semula kes.

Beliau membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 berserta seorang penjamin yang bermastautin di negeri ini bagi mengelak mereka menghilangkan diri semasa perbicaraan.

Terdahulu, Ketua Pendakwa Syarie, Mohd. Zulkhairi Aziz memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk dibicarakan kerana membabitkan pegawai kanan dalam perkhidmatan kehakiman.

Selain itu menurut beliau, pelbagai isu perundangan luar biasa yang memerlukan penafsiran undang-undang lebih mendalam akan dibangkitkan sepanjang perbicaraan kes itu.

"Saya tidak tahu apa lagi isu yang akan timbul kerana hari ini pun sudah ada macam-macam.

"Jadi adalah lebih wajar kes dibicarakan di Mahkamah Tinggi yang mempunyai penafsiran lebih luas supaya orang ramai lebih percaya dan yakin dengan perjalanan kes ini," katanya.

Peguam Ahmad Munawir Abd. Aziz yang mewakili pasangan itu turut memohon membuat penghujahan secara bertulis berhubung isu memindahkan kes.

"Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, baharu keputusan mengenainya wajar dibuat.

"Jangan hanya kerana tertuduh pegawai kanan perundangan, keadilan untuknya dipinggirkan," katanya.

Dalam prosiding yang sama, mahkamah turut menolak bantahan awal dikemukakan peguam mengenai pertuduhan yang dianggap cacat.

Ahmad Munawir berkata, pasangan terbabit sudah berkahwin di luar negara dan surat pengesahan nikah juga telah diperoleh.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) kerana disyaki bersekedudukan dengan seorang wanita.

Ketika serbuan dilakukan, isteri dan anaknya tiada di rumah kerana dikatakan berada di ibu kota.

Sumber: Utusan untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Score A Programme, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, My Biz Online.

Tiada ulasan: