14/02/11

Dira: Helmi menerima saya seadanya

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR dan ZULHAFIZ HANAFIAH



KEHIDUPAN Dira dan anaknya, Tengku Anggun Deandra bakal terisi dengan kehadiran Mohd. Helmi Mohd. Yusof sebagai lelaki baru dalam hidup mereka
DERAI tawanya di hujung talian bagaikan memberi tanda bahawa dia benar-benar melalui fasa hidup yang cukup membahagiakan ketika ini.

Hampir setahun bergelar ibu tunggal dan melalui kehidupan bersendirian bersama puteri sulungnya, Tengku Anggun Deandra, Dira Abu Zahar mengakui hidupnya kini kembali terisi dengan kehadiran seorang jejaka.

Ya, benar. Dira kini kembali di alam percintaan dan daripada bicaranya itu juga sudah dapat disimpulkan wanita berusia 27 tahun itu sudah bersedia untuk kembali menjadi seorang isteri.

Nada suaranya cukup terkejut apabila penulis bertanyakan kesahihan di sebalik cerita yang mengatakan dia bakal mengikat tali pertunangan dengan pengarah fotografi terkenal, Mohd. Helmi Mohd. Yusof, 33, dalam waktu terdekat ini dan seterusnya mendirikan rumah tangga sebelum penghujung tahun ini.

Cuba hendak berselindung di awalnya namun, Dira akur dan dengan hati yang terbuka menceritakan hubungannya dengan Mohd. Helmi atau mesra disapa Helmi yang baru terjalin dalam beberapa bulan lalu.

“Mana awak tahu berita ini? Siapa yang beritahu? Beginilah. Bukannya saya tidak mahu umumkan tentang perkara ini tetapi sebenarnya, saya mahu menyelesaikan beberapa perkara penting terlebih dahulu.

“Saya tiada alasan untuk menyorok perkara yang baik. Bila tiba masanya, saya pasti akan umumkan kepada semua media,” katanya dalam nada cukup berhemah dengan disulami ketawa kecil.

Untuk pengetahuan, Mohd. Helmi sebelum ini pernah bertunang dengan model dan aktres jelita, Nasha Aziz pada tahun 2006. Walau bagaimanapun, hubungan mereka itu tidak kekal lama.

Pandang ke depan

Dira pula mendirikan rumah tangga dengan pemuzik bebas, Tengku Shafiz-Rullah As Syafie Tengku Mohd. Shahidd atau lebih dikenali sebagai Ash pada 5 Januari 2007 dan perkahwinan mereka berakhir setahun lalu.

Biarpun perkahwinannya sebelum ini berakhir dengan penceraian, bagi Dira ia bukan satu alasan untuknya merasa fobia atau enggan mencari cinta baru dalam hidupnya.

“Saya harus akui di awal perceraian, saya berasa sedikit sedih tetapi saya bersikap positif dan optimis dalam perjalanan hidup saya. Sampai bila harus saya berduka di atas apa yang telah berlaku.

“Setiap perkara yang terjadi itu ada hikmahya dan saya cukup percaya dengan kenyataan itu. Kita perlu meneruskan kehidupan dan biarkan apa yang berlaku sebelum ini tersimpan kemas dalam lipatan sejarah hidup kita.

“Kita harus pandang ke depan dan sudah tiba masanya kita memikirkan tentang masa depan pula. Sampai bila hendak berduka dan seolah-olah itu seperti menghukum diri sendiri. Saya bukan wanita seperti itu,” ujarnya lembut namun tegas.

Bercerita mengenai teman barunya itu pula, Dira atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar mengakui dia cukup selesa dengan Mohd. Helmi yang disifatkannya sebagai seorang lelaki yang menarik, baik dan memiliki banyak persamaan dengan dirinya.

Cerita Dira, dia dan Helmi memang sudah lama saling mengenali memandangkan Dira pernah terlibat dengan kerja belakang tabir sebelum menceburkan diri dalam bidang lakonan secara serius sejak empat tahun lalu.

“Namun begitu, ingin saya tegaskan di sini dan saya mahu semua orang faham, Helmi bukan punca keretakan rumah tangga saya. Saya cukup sedar dan tahu pasti akan ada yang cuba mengaitkannya tetapi sebenarnya tidak.

“Memang kami sudah lama kenal tetapi hubungan itu semakin rapat hanya beberapa bulan lalu ketika kami sama-sama terlibat dalam filem Untuk 3 Hari. Sudah pasti sebelum itu, saya menyiasat terlebih dahulu sama ada dia sedang berpacaran dengan sesiapa atau tidak.

“Begitu juga dengan dirinya. Alhamdulillah, hubungan kami baik dan apa yang penting sekali adalah dia dapat menerima diri saya seadanya. Dia juga tidak kisah dengan status saya sebagai ibu tunggal.

“Kita tidak tahu ketentuan Allah SWT dan apa yang telah Dia aturkan untuk kita sebagai hambaNya. Saya dan Helmi masing-masing pernah melalui satu fasa yang membawa kami menyelusuri laluan gelap dalam hidup kami.

“Jadi, kami sudah menemui kehidupan yang lebih baik dalam hubungan ini dan insya-Allah, jika semua perkara sudah selesai dan tiada aral melintang, sudah pasti kami mahu membawa hubungan ini melangkah setapak lagi,” cerita pelakon drama bersiri Akinabalu, Arjuna dan Tower 13 ini tanpa berselindung.

Dalam masa yang sama, anak bongsu daripada enam beradik ini juga mengakui rakan-rakan mereka terutama pengarah terkenal, Afdlin Shauki merupakan individu yang menjadi orang tengah dalam merapatkan Dira dan Helmi.

Jelas Dira, sepanjang menjalani penggambaran Untuk 3 Hari yang memakan masa selama 45 hari itu, ketika itulah, mereka mula rapat dan mencari peluang untuk mengenali hati budi masing-masing.

“Selama lebih sebulan berada di set, itulah peluang kami untuk menjadi rapat dan mengenali serta memahami diri masing-masing. Mana tidaknya. Masa itu cukup panjang dan lama bagi membolehkan kami berbuat demikian,” ujarnya sambil ketawa.

Sumber: Berita Harian untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Score A Programme, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Takaful Keluarga.

Tiada ulasan: