6/02/11

Raja Zarith Sofiah raikan pengantin baru

PASANGAN pengantin, Norliana Sakiman dan Hishamuddin Darwis menaiki kenderaan pacuan empat roda meninjau keadaan banjir yang melanda kampung mereka setelah majlis akad nikah, di Kampung Sri Tanjung, Panchor, Muar, 5 Feb. - Utusan/RAJA JAAFAR ALI
MUAR 5 Feb. - Kesedihan sepasang pengantin baru yang tidak dapat meraikan hari bersejarah mereka hari ini, setelah persiapan kahwin dan rumah rosak akibat banjir terubat apabila majlis pernikahan mereka diserikan dengan kehadiran isteri Sultan Johor, Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Raja Zarith Sofiah berkenan ke majlis akad nikah pasangan tersebut yang berlangsung di Masjid Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pagoh, di sini selepas melawat pusat pemindahan banjir.

Baginda turut menyaksikan pasangan Hishamuddin Darwis, 30, dan Norliana Sakiman, 21, dinikahkan oleh naib kadi kawasan Panchor, Mohd. Taib Mohamad.

Raja Zarith Sofiah rai pengantin mangsa banjir
Menurut Hishamuddin, walaupun masih bersedih kerana tidak dapat bersanding di rumah isterinya di Kampung Sri Tanjung, Panchor, beliau gembira apabila majlis pernikahannya turut dihadiri oleh Raja Zarith Sofiah.

"Rasa macam tak percaya pun ada. Dalam kesibukan melawat mangsa banjir baginda masih sempat untuk datang ke majlis pernikahan kami.

"Sesungguhnya majlis ini amat bermakna sekali bagi kami meskipun masih bersedih kerana segala persiapan perkahwinan musnah akibat banjir," katanya.

Beliau berkata, majlis persandingan sebelah perempuan sepatutnya dijalankan pada hari ini sementara di sebelah lelaki di Kampung Terus, Panchor keesokannya.

Bagaimanapun, katanya, majlis tersebut terpaksa ditunda pada bulan hadapan setelah segala persiapan bernilai ribuan ringgit musnah sama sekali.

Sementara itu, Raja Zarith Sofiah turut menyampaikan bantuan berupa makanan, minuman serta barangan keperluan harian kepada mangsa banjir.

Baginda turut meminta agar mangsa banjir bersabar kerana banjir kali ini yang dianggap terburuk selepas banjir pada 2006 lalu.
Sumber: Berita Harian untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Score A Programme, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, My Biz Online.

Tiada ulasan: