Saudara Pengarang,
SIMPATI sungguh saya membaca luahan Pengapit Tersepit dalam forum 24 Ogos 2005. Sebagai anak jati Johor, saya ingin memberi sedikit pendapat dan penjelasan tentang adat `tol' di Johor, supaya tidak timbul sebarang tanggapan negatif tentang adat ini dan keseluruhan rakyat Johor.
Adat tol hanyalah salah satu adat untuk memeriahkan sesuatu majlis perkahwinan. Adat ini telah wujud sejak sekian lama, malah saya berani katakan dari zaman datuk nenek kami lagi.
Dan sehingga ini kebanyakan majlis perkahwinan adat Johor masih mengamalkan adat ini kerana biasanya ia mengundang suasana kemeriahan dengan pelbagai usik mengusik.
Dalam keluarga saya, semua saudara perempuan dikahwini orang luar Johor. Semuanya kena bayar tol. Tetapi, kami memberitahu pihak lelaki, sediakan sampul wang berisi 20 sen sahaja, untuk semua tol, kecuali untuk mak andam, sediakanlah lebih sedikit, tapi tak perlu mencecah sampai RM50.
Kerana kami tidak mahu menyusahkan keluarga lelaki dan tidak mahu memalukan sesiapa, kerana sekiranya keluarga lelaki berasa malu, keluarga perempuanlah yang akhirnya terlebih malu kerana menyusahkan keluarga besan mereka.
Dan jadilah tol itu hanya berisi duit syiling 20 sen setiap satu sampul, dan biasanya jumlah ketiga-tiga tol itu tidak sampai dipenuhi 30 orang.
Biasanya suasana sewaktu tol ini hingar-bingar dan penuh meriah sekali. Bagi sesetengah keadaan kemungkinan bagi keluarga yang berada sedikit di mana tol yang hendak diberi adalah lebih sedikit nilainya, biasanya tuan rumah, iaitu keluarga pengantin perempuan bertindak bijak dan bertimbang rasa dengan merancang supaya hanya beberapa individu sahaja yang `ditugaskan' menjadi juru tol, dan bukannya membiarkan suasana spontan dikuasai oleh segala makcik-pakcik, ipar-duai, jiran tetangga dan tok ngah mak ngah beratur berebut-rebut mengharap duit tol.
Bagi keadaan begini, tuan rumah juga mengingatkan mak andam supaya jangan meletak harga berlebih-lebihan kerana keluarga perempuan sendiri sudah membayar khidmat mak andam.
Jadi segalanya terkawal, tidak berlebih-lebihan dan tertib, tetapi masih dirasai kemeriahan dan keseronokannya.
Saya rasa apa yang dialami oleh Pengapit Tersepit adalah salah satu kes terpencil. Kemungkinan ia pernah dialami juga oleh keluarga lain.
Bagaimanapun, ia berlaku kerana adat itu tidak dirancang dan dikawal. Tujuan asal untuk menerbitkan kemeriahan dan keseronokan menjadi sebaliknya. - CIK DAH, Petaling Jaya, Selangor.
© UTUSAN MELAYU (M) BHD.
1 ulasan:
adat tol ni siap bergambar pernah saya tulis dan kongsikan di sini..
http://capturepixs.fotopages.com/?entry=1569016
jengok2 lah..ada info menarik..
Catat Ulasan