22/08/05

Perkawinan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah - Azrinaz Mazhar Hakim

Edisi Nasional: Simpan rahsia
Oleh Meor Riduwan Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my



KUALA LUMPUR: Majlis perkahwinan bekas personaliti TV3, Azrinaz Mazhar Hakim, 26, dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, 58, yang berlangsung di ibu kota kira-kira jam 8.30 malam Sabtu lalu, bukan saja diadakan secara tertutup, malah dengan kawalan keselamatan dan kerahsiaan cukup ketat.

Sumber berkata, langkah berjaga-jaga diambil turut meliputi arahan tidak memberi sebarang komen atau menceritakan majlis pernikahan itu membabitkan ahli keluarga dan kenalan kedua-dua pihak.

Malahan katanya, tetamu yang dijemput menyaksikan majlis itu dilarang membawa sebarang alat perakam gambar seperti kamera dan mereka diperiksa dengan teliti sebelum dibenarkan memasuki ruang majlis akad nikah.

Menurut sumber itu, walaupun membawa kamera video, dia terpaksa melupakan hasrat untuk merakamkan gambar majlis yang paling istimewa kerana membabitkan pemerintah Brunei yang pernah dipilih sebagai lelaki paling kaya di dunia dengan aset mencecah AS$40 bilion (RM148 bilion) pada 1997.

Sementara itu tinjauan Harian Metro di kediaman bekas personaliti TV3 itu di sini malam tadi mendapati, keadaan rumah keluarganya sunyi sepi biarpun lampu luar dan dalamnya terpasang, namun tiada sesiapa menyahut apabila dipanggil.

Seorang jiran berbangsa Melayu yang ditemui berkata, dia tidak menyangka, gadis manis pemegang Diploma Penyiaran daripada Institut Media Integrasi Malaysia (MIIM) atau Akademi TV3 itu akan berkahwin dengan Sultan Brunei.

Tambahan pula, beliau sekeluarga hanya dijemput untuk hadir tanpa dimaklumkan mengenai pasangan pengantin wanita itu.

“Keluarga Azrinaz hanya menjemput kami sekeluarga hadir di majlis itu dan mengatakan tengoklah nanti,” katanya yang turut diamanahkan mengawasi rumah jirannya itu.

Isteri beliau pula menyifatkan Azrinaz yang mula bertugas sebagai wartawan penyiaran di TV3 pada 1999 sebagai amat bertuah.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu mencampuri urusan rumah tangga jirannya itu.

Akhbar sebelum ini melaporkan Azrinaz penerima anugerah Wartawan Harapan TV3-2000 itu meletakkan jawatan pertengahan Mei lalu dengan alasan mahu menceburi bidang lain.

Berikutan itu, timbul desas-desus mengenai perhubungan antara beliau dan Sultan Hassanal sehinggalah pasangan itu selamat diijabkabulkan.

Bagi pengacara yang sinonim dengan ‘tagline’ Mat Cermin, Aziz Desa berkata dia terperanjat mendengar perkhabaran itu kerana tidak menyangka Azrinaz mengakhiri zaman bujang dengan Sultan Hassanal Bolkiah.

“Kami berdua memang rapat dan sering berbincang mengenai kerjaya malahan saya sendiri menganggap dia sebagai adik sendiri,” katanya.

Bekas pengacara Majalah 3 yang kini bertukar angin sebagai pembaca berita Buletin Utama, Norazlina Redzuan mengakui perkahwinan Azrinaz itu tidak mengejutkannya.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

2 ulasan:

Unknown berkata...

Kahwin-kahwin juga macamana harta Pg Hj Mohd salleh dan tok jang Hj Ibrahim, waris dah jumpa serahlah kembali, ingat sesiapa yang memakan harta ank yatim azabnya sangat dasyat.

Tanpa Nama berkata...

Waris sebenar Pangeran manshoor bernama wang Suhai dari burung pingai.Sampai P.Pinang dia mengaku keturun sultan supaya disanjong oleh orang disana.Dia seorang KELINTONG