14/08/05

Hubungan seks luar nikah di Malaysia

Trend serah tubuh
Oleh FUAD HADINATA YAACOB dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN
metahad@hmetro.com.my



KUALA LUMPUR: Menyerahkan tubuh kepada kekasih atau melakukan hubungan seks luar nikah seolah-olah menjadi trend di kalangan remaja negara ini, malah ada yang melakukannya seawal usia 12 tahun.

Fakta itu berdasarkan hasil kajian sekumpulan penyelidik tempatan sepanjang 12 bulan bermula 2003 hingga tahun lalu membabitkan 18,805 responden yang berusia antara 12 dan 60 tahun, dengan majoritinya berbangsa Melayu.

Ketua Penyelidik, Prof Madya Dr Lekhraj Rampal dari Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata hasil kajian juga mendapati golongan berusia di antara 18 hingga 20 tahun paling aktif melakukan hubungan seks.

“Bagaimanapun, secara purata rakyat negara ini melakukan hubungan seks buat kali pertama pada usia 23 tahun,” katanya yang juga pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM.

Beliau berkata, daripada 18,805 responden, 73 peratus (13,691) sudah berkahwin dan daripada jumlah itu 10 peratus (1,361) pernah melakukan hubungan seks sebelum berkahwin.

Katanya, jumlah responden yang belum berkahwin pula ialah 5,114, dengan 448 daripada mereka pernah melakukan hubungan seks.

“Ini bermakna 1,809 (9.6 peratus) daripada keseluruhan responden pernah melakukan hubungan seks sebelum berkahwin,” katanya.

Dr Rampal berkata, 38 daripada 448 responden belum berkahwin tetapi sudah melakukan hubungan seks mengaku kali pertama melakukannya pada usia 12 dan 15 tahun, manakala 155 lagi berbuat demikian pada usia 16 dan 18 tahun.

Mengulas perkembangan itu, Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohammed Yusoff Hussain, berkata ia satu isyarat membimbangkan kepada masyarakat dan perlu diberi perhatian serius, terutama oleh ibu bapa.

“Perkara ini tidak boleh diserahkan kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya ibu bapa dan seluruh masyarakat perlu beri perhatian serius. Malah, kalau perlu, hari ini kita kena jaga tepi kain orang,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya undang-undang berkaitan moral diperhalusi supaya betul-betul berkesan bagi memastikan remaja di negara ini tidak sewenang-wenangnya melanggar peraturan agama.

Pakar sakit tuan, Dr Ismail Thamby, pula berkata beliau percaya hasil kajian itu relevan kerana berdasarkan pengalamannya, kanak-kanak seawal usia 12 tahun dan remaja semakin berani mencuba melakukan hubungan seks.

“Di laman web saya, banyak soalan dikemukakan menunjukkan mereka yang bertanya masih terlalu muda dan bersikap kebudak-budakan.

“Antaranya, bolehkah seseorang mengandung jika melakukan seks di luar tabii (liwat),” katanya.

Sementara itu, Dr Rampal berkata, kajian fasa pertama dilakukan itu dibahagikan kepada dua topik utama, iaitu mengkaji pemahaman masyarakat mengenai penyakit jantung dan risiko perlakuan yang boleh membawa kepada jangkitan HIV, termasuk sejarah atau kehidupan seksual seseorang.

Katanya, kaum Melayu menjadi responden paling ramai dengan 10,599 orang, Cina (3,875), India (2104), Bumiputera Sabah (1302), Bumiputera Sarawak (692) dan lain-lain (233).

Beliau berkata, pasukan penyelidik membabitkan 12 pensyarah dari Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), pegawai Kementerian Kesihatan, 22 graduan pelbagai universiti dan kira-kira 400 jururawat dari seluruh negara.

“Responden dipilih secara rawak melalui maklumat daripada Jabatan Statistik Malaysia.

“Selain sesi soal jawab dijalankan secara bersemuka, responden diberi soalan bertulis mengenai sesuatu topik, terutama soalan sensitif,” katanya.

Dr Rampal berkata, hasil kajian itu akan dibincangkan lebih lanjut sebelum tindakan susulan diambil dan selepas tiga tahun, penyelidik akan bertemu responden semula untuk melihat sama ada wujud perubahan.

Sehubungan itu, beliau menyarankan mereka yang melakukan hubungan seks supaya menggunakan kondom bagi mengelak penyebaran wabak HIV jika seseorang itu kerap bertukar pasangan, terutama dengan pelacur.

“Sebenarnya semua agama melarang melakukan hubungan seks sebelum berkahwin tetapi jika ia terus berlaku, kondom adalah langkah terbaik, selain setiap pasangan perlu menjalani ujian HIV sebelum berkahwin atau mengadakan seks,” katanya.

Tiada ulasan: