14/08/05

Maruah anak teruna turut dijaga

KUALA LUMPUR: Menjaga maruah diri yang sering dikaitkan dengan anak dara perlu diperluaskan kepada anak teruna supaya usaha mengekang gejala seks luar nikah di kalangan golongan itu berhasil.

Ini kerana, perlakuan songsang golongan itu biasanya berlaku apabila wujud ‘kerjasama’ antara kedua-dua pihak, iaitu si teruna dan si dara.

Setiausaha Agung Majlis Kajian Pembangunan Belia Malaysia (Myreds), Mohd Ridwan Kamarulzaman, berkata budaya terlalu mementingkan penjagaan anak dara di kalangan masyarakat perlu diubah kerana anak teruna juga menyumbang kepada pelbagai perlakuan sosial negatif, termasuk hubungan seks luar nikah.

Katanya, jika hanya mementingkan penjagaan ‘anak dara’, secara tidak langsung ‘anak teruna’ akan terlepas daripada pemerhatian, menyebabkan mereka berasa bebas melakukan apa saja.

“Peribahasa ada menyebut, ‘jaga anak perempuan lebih susah daripada menjaga lembu sekandang’. Jika zaman dulu mungkin ia boleh diguna pakai, tetapi hari ini ibu bapa perlu lebih rasional dalam memastikan anak mereka mampu menjauhi perlakuan yang menjurus kepada gejala sosial, seperti hubungan seks luar nikah.

“Memang anak perempuan perlu diberi perhatian, tetapi pada masa sama, anak lelaki juga perlu diberi perhatian kerana pada zaman ini kelekaan memberi tumpuan pada satu jantina saja berisiko membawa kepada kemudaratan,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Abdul Jalil, baru-baru ini yang bercadang memperkenalkan kempen ‘menjaga dara dan teruna’ jika dirasakan perlu.

Kempen itu bertujuan memberi pendedahan mengenai penjagaan maruah diri, menanam nilai murni dan keagamaan bagi remaja.

Shahrizat berkata, perbincangan mengenai perlunya mengadakan kempen itu membabitkan beberapa agensi kerajaan, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ibu bapa.

Katanya, kempen itu harus dilakukan serentak kerana gejala sosial berlaku ke atas kedua-dua golongan dan bukan ke atas gadis saja.

Ridwan berkata, Myreds menyokong penuh cadangan itu dan berharap ia dilaksanakan segera, dengan tumpuan awal diberikan kepada pelajar sekolah rendah.

“Jika hendak membanteras perlakuan seks bebas di kalangan remaja, ia hendaklah dimulakan dari akar umbi.

“Dalam hal ini, pelajar sekolah rendah adalah golongan sasaran paling sesuai diberi pendedahan awal mengenai pentingnya menjaga maruah diri,” katanya.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Tiada ulasan: