23/12/05

Isu pernikahan dari mulut Jamal sendiri


KliK di sini untuk join Sistem Matrix Bulanan RM10

Oleh: WANDA IDRIS

SAYA perlu pertahankan apa yang perlu dipertahankan, kata Jamal Abdillah berhubung laporan media mengenai perkahwinannya dengan seorang gadis bernama Emma pada Jumaat minggu lepas.

TEGAS nada suara penyanyi Jamal Abdillah menyatakan pendirian bahawa kisah rumah tangganya bukan bahan untuk diperdagangkan apabila dia dilontarkan soalan mengenai kisah perkahwinan terbarunya.

Jamal berkata, kisah-kisah sebegitu tidak perlu dihebahkan kepada pengetahuan umum kerana ia terlalu bersifat peribadi.

''Biarlah kisah-kisah itu menjadi milik saya sahaja,'' katanya ketika ditemui selepas pertandingan akhir Karaoke Seroja di pusat karaoke RedBox Ria di ibu negara Rabu lalu.

Malah tanpa mahu mengulas panjang atau memberi sebarang pengesahan tentang kisah perkahwinan terbarunya itu, raja pop Melayu itu berkata:

''Saya sentiasa berterima kasih atas sokongan pihak media kepada saya dan industri.

''Tetapi saya perlu pertahankan apa yang perlu dipertahankan.''

Biarpun tidak mengiyakan sebarang pertanyaan mengenai perkahwinannya dengan seorang bekas pelajar sebuah institut pengajian tinggi tempatan yang hanya dikenali sebagai Emma, Jamal tidak pula membuat penafian terhadap berita tersebut.

Jamal dikatakan diijabkabulkan dengan Emma Jumaat lalu.

Malah juara Bintang RTM tahun 1979 itu kelihatan tenang dan ceria pada petang tersebut dan hanya melontarkan senyuman ketika para wartawan memberikan ucapan tahniah atas perkahwinan itu.

''Seperti manusia lain, saya mencari keredaan Allah dalam soal hubungan.

''Buruk saya dah terlalu banyak. Sekarang saya hanya mencari yang terbaik (untuk diri saya). Dan kalau nak kata yang saya gembira, memang saya gembira.

''Allah memberi apa yang saya cari. Kalau hidup dengan keredaan-Nya, pastilah hidup kita terasa gembira dan bahagia,'' kata Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 46, sebelum meminta diri untuk beredar kerana ada mempunyai urusan lain.

Jamal dilaporkan telah berkahwin buat kali ketiga pada Jumaat lalu di sebuah masjid di Shah Alam, Selangor setelah menjalinkan hubungan sejak dua tahun lalu dengan gadis berkenaan.

Emma yang dikatakan berusia awal 20-an bukan sahaja berjaya menawan hati penyanyi tersebut malah dia turut mesra dengan anak tunggal Jamal, Osama Yamani, yang kini berusia empat tahun. Osama adalah anak hasil perkahwinan Jamal dengan Noraina Yusof yang merupakan perkahwinan kedua Jamal.

Sebelum itu, Jamal pernah berkahwin dengan Basariah Latiff pada 1988. Kedua-dua perkahwinan itu berakhir dengan perceraian.

Khabarnya, Osama turut memanggil Emma yang bertubuh kecil molek, berkulit hitam manis dan berambut panjang itu dengan panggilan 'mama'.

Sebenarnya bukan sahaja wartawan yang mengucapkan tahniah kepada Jamal tetapi penyanyi itu turut diusik para peminat yang memenuhi lobi pusat karaoke RedBox Ria sewaktu mengadakan persembahan pada pertandingan karaoke anjuran Warner Music (M) Sdn. Bhd. dan RedBox Ria.

'Tahniah!' dan 'Steady Pengantin Baru' merupakan antara kata-kata usikan peminat kepada Jamal apabila dia muncul di pentas dengan senyuman melirik mendendangkan lagu Aku Penghibur dan Gadis Melayu.

Mengenai pertandingan karaoke itu, Jamal mengakui dia terharu apabila menjadi antara penyanyi yang diminati dan banyak ditiru cara nyanyiannya.

''Tetapi kalau mahu menjadi seorang penyanyi yang berjaya, jangan meniru artis pujaan kita. Kita perlu tonjolkan bakat dan cara nyanyian tersendiri,'' nasihatnya.

Pertandingan yang menampilkan 15 finalis itu dijuarai oleh Abdul Halim Mohamed Kamal, 28, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Mohd. Asri Mohd. Zulfadzli, 20 dan Mohd. Faridan Samsu Bahari yang turut memenangi kategori Persembahan Terbaik.

Sementara itu, kategori Pakaian Terbaik dimenangi oleh Abdul Halim Musa.

Mengenai album baru, Jamal memberitahu, dia kini sedang mengumpul lagu-lagu.

''Saya ada mencipta lagu sejak hampir 10 tahun lalu dan saya mungkin akan memilih dua atau tiga lagu yang terbaik untuk dimuatkan dalam album baru itu,'' katanya yang tidak berhasrat untuk berduet dengan Mawi biarpun penyanyi muda itu kini menjadi sebutan ramai.

Katanya, ''Saya berbesar hati kalau ada pihak yang mahu menggandingkan kami. Tapi saya lebih pentingkan karier sendiri. Saya perlu pastikan lagu saya boleh diterima dan dijual.'' [UM]

18/12/05

Juliana-Mokhtar pengantin mewah


KliK di sini untuk join Sistem Matrix Bulanan RM10


Oleh HASZRUL MOHAMED

TANGGAL 16 Disember pasti sentiasa terpahat di sanubari Juliana Azman Banos dan suami, Mokhtar Ahmad. Pada tarikh itu, mereka selamat diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri di hadapan keluarga masing-masing.

Upacara akad nikah disempurnakan oleh jurunikah, Datuk Imam Mahad di Masjid Abu Bakar, Johor Bahru pada pukul 10.30 pagi.

Bagi mengikut adat Melayu, sebelum dinikahkan, pasangan ini ditunangkan terlebih dahulu. Juliana yang mengenakan kebarung songket dijahit dengan benang emas, bahagian lehernya dijahit dengan kain lace dan mutiara kecil, kelihatan gembira apabila ibu mentuanya, Ramlah Mohamed, menyarungkan sebentuk cincin berlian emas putih ke jari manisnya.

Mokhtar yang juga kelihatan tenang menunggu saat menggenggam tangan jurunikah, segak mengenakan baju Melayu songket berwarna putih susu, bersamping dan lengkap dengan songkok yang diperbuat daripada warna yang sama.

Juliana menerima mas kahwin sebanyak RM22.50.

Sebanyak tujuh dulang hantaran termasuk duit berjumlah RM77,888.77 diterima daripada pihak lelaki termasuk seutas jam tangan wanita jenama Rolex, sebentuk cincin berlian platinum berbentuk hati eksklusif, beg tangan dan dua pasang kasut jenama Louis Vuitton (LV) dan set minyak wangi jenama Angel.

Pihak perempuan pula menyerahkan sembilan dulang hantaran berupa sepasang kasut jenama LV, cincin platinum jenama Cartier, sepasang baju Melayu daripada rekaan Salikin Sidik, set minyak wangi juga jenama Angel, seutas jam tangan jenama Rolex untuk lelaki, kek, buah-buahan, senaskhah al-Quran dan sejadah.

Pertukaran dulang-dulang hantaran itu dilakukan terlebih dahulu di rumah bapa mentua Juliana, Ahmad Kemin sebelum rombongan pengantin lelaki dan perempuan menghala ke Masjid Abu Bakar untuk melangsungkan upacara akad nikah.

Pada sebelah malamnya pula, diadakan majlis persandingan bagi meraikan kedua-dua mempelai.

Pelamin persandingan bertemakan warna kegemaran Juliana, merah jambu dengan rangka berwarna mahagoni, tersergam menanti pasangan pengantin baru duduk bersanding sambil direstu oleh tetamu jemputan, kaum keluarga dan sahabat handai.

Sebaik kaki melangkah masuk ke dewan utama, semua mata tertumpu seolah-olah terpukau melihat wajah Juliana atau lebih mesra dengan panggilan Jun, disolek cantik oleh jurusolek yang didatangkan khas dari Singapura, Liza Haron.

Sehari sebelum dinikahkan, Juliana yang ditemui di pejabat Mutiara Motors Sdn. Bhd. Johor Bahru memberitahu Mingguan Malaysia, sejak zaman remajanya lagi, beliau sudah mengenali jurusolek tersebut dan pernah berniat di dalam hatinya, apabila tiba waktunya mendirikan rumah tangga, Lizalah yang akan dipertanggungjawabkan menatarias dan mendandannya.

Menurutnya, pakaian persandingan pada sebelah malam juga ditempah dari Butik Haron di B12, Hotel Excelsior, 5 Coleman Street, Singapura.

Kira-kira pukul 8.30 malam, ketibaan pasangan pengantin disambut dengan penuh adat dan tradisi Melayu - paluan kompang dan bunga manggar.

Jun mengenakan baju kurung moden `tiga tingkat' diperbuat daripada kain lace dengan kombinasi dua warna, merah jambu dan putih serta disulam di bahagian tepi baju kurung. Pelengkap kepada kejelitaan pengantin perempuan apabila baju kurung moden tiga tingkat yang dipakainya dipadankan dengan selendang warna merah jambu yang dijahit dengan kemasan kedutan menggunakan material jenis organza.

Mokhtar pula, kelihatan kacak apabila mengenakan baju Betawi diperbuat daripada songket lengkap dengan setanjak yang juga dibuat daripada material songket, warna sedondon dengan isterinya.

Sebaik pasangan pengantin duduk di singgahsana pelamin, istiadat menepung tawar kedua-dua mempelai disempurnakan oleh bapa mentua pengantin perempuan, Ahmad Kemin dan isteri, Ramlah Mohamed serta ibunda tercinta pengantin perempuan, Tijah Ibrahim serta kekanda-kekanda pengantin perempuan, Lina dan Wani.

Kemuncak majlis persandingan bagi raja sehari ialah upacara memotong kek perkahwinan.

Sementara menanti pasangan pengantin baru menukar pakaian, hadirin dihiburkan dengan denda-ngan penyanyi dari Indonesia, Harvey Malaiholo.

Acara memotong kek, konsep baju gaun labuh ala toga era Greek menjadi pilihan Jun. Gaun labuh berwarna perak, dijahit dengan manik-manik dilapisi sutera satin berwarna putih. Keunikan baju gaun Jun ialah apabila selendang yang dipegang pada bahagian kiri, menyerlahkan lagi keanggunan pengantin perempuan pada malam itu.

Mokhtar pula mengenakan sepasang jaket moden berpotongan tanpa butang, berwarna putih dengan vest perak bermanik. Pada bahagian kolar bajunya, diselitkan kerong-sang.

Semalam, satu majlis jamuan tengah hari diadakan di Vila Mutiara milik bapa mentua Juliana bagi meraikan orang kampung dan sahabat yang tidak berkesempatan menyaksikan persandingan kedua-dua mempelai pada malam sebelumnya. [MM]

Sambut menantu pasangan Juliana-Mokhtar meriah

JULIANA Banos dan suami, Mokhtar Ahmad bersanding di Kampung Melayu, Johor Bahru semalam. - Gambar ZAINI HUSIN.


Oleh Hasnurul Mohamed
JOHOR BAHRU 17 Dis. - Lebih 2,000 tetamu menghadiri majlis menyambut menantu pasangan pengantin baru, penyanyi dan pelakon, Juliana Azman Banos, 26, dan Mokhtar Ahmad, 32, yang diadakan di rumah keluarga pengantin lelaki di Kampung Melayu, di sini hari ini.

Ibu bapa pengantin lelaki, Ramlah Mohamed dan Ahmad Kemin ternyata gembira dengan kehadiran jemputan termasuk saudara mara pihak pengantin perempuan.

``Alhamdulillah, ramai yang hadir dan memang niat suami saya untuk menjamu hadirin dan orang-orang kampung dalam majlis menyambut menantu,'' kata Ramlah ketika ditemui di sini hari ini.

Pasangan Juliana dan Mokhtar dinikahkan semalam di Masjid Abu Bakar di sini pada kira-kira pukul 10.30 pagi.

Kira-kira 20 minit sebelum dinikahkan, atas memenuhi permintaan ibu Juliana, Tijah Ibrahim dan dipersetujui oleh pihak ibu bapa lelaki, pasangan itu ditunangkan.

Selepas dinikahkan, pada sebelah malamnya pula diadakan majlis persandingan di Dewan Utama, Hotel Hyatt, Johor Bahru.

Mokhtar berkelulusan dalam bidang pengurusan perniagaan dari sebuah kolej di Osaka, Jepun adalah Pengarah Urusan Mutiara Motors Sdn. Bhd.

Bapanya, Ahmad Kemin merupakan seorang usahawan yang terbabit dengan perniagaan mengimport dan menjual kereta mewah serta menguruskan pusat percutian.

Pasangan ini mula berkenalan sejak setahun lalu dan atas persetujuan keluarga kedua-dua pihak, mereka dinikahkan semalam.

Majlis persandingan yang diadakan malam tadi dihadiri kira-kira 700 tetamu.

Ramlah berkata, satu lagi majlis akan diadakan di Hotel Palace of Golden Horses, Kuala Lumpur pada 23 Disember ini untuk sahabat dan kaum keluarga yang tidak berkesempatan hadir pada majlis hari ini. [MM]

17/12/05

Air mata pengantin

PELAKON dan penyanyi, Juliana Azman Banos, 25 tidak dapat menahan sebak selepas selesai majlis akad nikah bersama pasangannya, Mokhtar Ahmad, 32 di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, semalam (16 Disember 2005). Sebelum majlis pernikahan itu, pasangan berkenaan ditunangkan selama 20 minit apabila ibu pengantin lelaki, Ramlah Hamid, menyarungkan cincin berlian bernilai RM10,000 di jari Juliana atau lebih mesra dengan panggilan Jun. Terdahulu, Mokhtar yang menaiki Ferrari 360 Spider merah mengetuai konvoi 13 kereta mewah dari rumah keluarganya di Kampung Melayu Majidee dan tiba di pekarangan masjid pada jam 10 pagi. [BH]

16/12/05

Hantaran kahwin Juliana Banos pecah rekod artis tempatan

Jun dan Mokhtar ketika ditemui sehari sebelum dinikahkan.

Oleh Haszrul Mohamed

HANTARAN berjumlah RM77,888.77 yang diterima oleh penyanyi dan pelakon Juliana Azman Banos (Jun) daripada suaminya, Mokhtar Ahmad, usahawan kereta import mewah, mencatat sejarah tersendiri sebagai hantaran termahal yang tidak pernah diterima oleh mana-mana artis tanah air sebelum ini.

Itu tidak termasuk dua bentuk cincin berlian jenama Catier dan Carat Club yang bernilai lebih RM10,000, beg tangan dan dua pasang kasut jenama Louis Vuitton (LV) serta set wangian.

Jun dan Mokhtar diijab kabulkan di Masjid Abu Bakar, Johor Bahru, Johor hari ini (16 Disember) dengan disaksikan oleh keluarga kedua-dua belah pihak.

Sehari sebelum bergelar pengantin baru, Jun dan Mokhtar sudi diwawancara secara eksklusif oleh Utusan Malaysia.

Walaupun pada mulanya kedua-dua pasangan ini tidak dibenarkan bertemu oleh keluarga masing-masing menjelang saat-saat akhir akan dinikahkan, namun bagi memenuhi permintaan Utusan Malaysia, larangan itu akhirnya dilonggarkan.

Bahkan jurugambar Utusan Malaysia juga diberi peluang merakamkan gambar kedua-duanya 24 jam sebelum mereka dinikahkan.


Kata Jun, sebenarnya dia mahu merahsiakan hantaran yang diterimanya daripada Mokhtar.

"Saya tidak berniat untuk menguar-uarkannya kepada umum. Tetapi itulah soalan yang ditanyakan kepada saya oleh setiap orang yang saya temui.

"Jadi, suka atau tidak, jumlahnya terpaksa juga disebutkan,'' kata Jun ketika ditemui di pejabat Mokhtar di Mutiara Motors Sdn. Bhd. di Jalan Tebrau, Johor Bahru.

Jun memberitahu, hantaran yang tinggi itu dianggap sebagai hadiah daripada suaminya dan dia bersyukur dengan keikhlasan hantaran yang diberikan oleh pihak lelaki.

Katanya, angka tujuh adalah angka kegemaran Mokhtar manakala angka lapan pula adalah angka kegemarannya.

Menurut Jun, jika dicampurkan kesemua jumlah 77,888.77, jawapannya 52 dan apabila angka lima dicampurkan dengan angka dua, jawapannya ialah tujuh.

"Itulah keistimewaan 77,888.77 kepada saya dan suami,'' kata Jun.

Che Tar dan Che Jun

Ditanya apakah panggilan Jun terhadap suaminya, kata Jun, "Saya memanggilnya dengan panggilan Che Tar manakala dia pula memanggil saya dengan panggilan Che Jun.

"Mungkin kerana saya ni bukan seorang yang romantis dan tidak pandai memanggilnya dengan panggilan 'Yang', atau 'Sayang' atau 'Abang'. Jadi secara spontan saya memanggilnya Che Tar dan nama itu lekat sampai sekarang,'' kata Jun.

Syarat teruskan kerjaya seni

Menurut Mokhtar, dia tidak mempunyai halangan bahkan mengizinkan isterinya untuk terus aktif dalam dunia seni kerana itu adalah kerjaya Jun.

Namun begitu, Mokhtar percaya isterinya itu pandai menjaga tingkah laku dan tahu memberi keutamaan terhadap rumah tangga.

"Memang saya izinkan Jun berlakon atau menyanyi tetapi biarlah tawaran yang diterimanya itu kena pada masa dan waktu serta berlandaskan pada agama,'' katanya.

Sebagai suami, Mokhtar tidak mempunyai masalah mengizinkan Jun terus aktif dalam bidang seni kerana dia mengenali diri dan peribadi Jun.

"Saya tahu dia bukan seorang yang sosial dan dia jenis family type. Habis kerja, dia akan berada di rumah dan sepanjang yang saya nampak, apabila Che Jun ke lokasi atau bekerja, dia sentiasa dijaga oleh keluarganya,'' kata Mokhtar.

Bulan madu

Menjawab soalan mengenai destinasi bulan madu, Jun dan suaminya memilih Monaco dan Switzerland.

Kedua-duanya merancang untuk terbang menikmati bulan madu pada Februari tahun hadapan.

"Kalau ikut perancangan awal Che Tar, Januari depan kami ke sana. Tapi waktu itu cuaca di sana amat sejuk dan saya tak begitu suka dengan cuaca yang begitu. Sebab itu saya minta pergi pada musim panas.

"Insya-Allah, bulan Februari tahun depan rasanya dah tak begitu sejuk,'' kata Jun.

Ada sebab Jun memilih Monaco sebagai destinasi bulan madu. Minatnya terhadap sukan lumba kereta Formula 1 ternyata menarik minatnya untuk ke sana.

"Kebanyakan pemandu Formula 1 tinggal di Monaco,'' kata Jun sambil tersenyum manis.

Terima kasih kepada penaja

Pada akhir wawancara, Jun dan suaminya turut merakamkan ucapan terima kasih mereka kepada pihak pengurusan Hotel Grand Bluewave Johor Bahru kerana sudi menaja penginapan lebih 20 wartawan dari Kuala Lumpur yang hadir pada majlis pernikahan dan persandingan mereka.

Kata Jun, kesemua wartawan dari Kuala Lumpur dibawa ke Johor Bahru dengan menaiki bas yang disewa sendiri olehnya. [UM]

3/12/05

Cinta pandang pertama berputik di Sumatera

Allfreshclicks

JIKA jodoh tak ke mana... Walau tanpa sebarang kata-kata romantis diucapkan antara kedua-duanya, ia sama sekali tidak menghalang pasangan Aishah Ghani dan Abdul Aziz Abu Hassan menganyam impian untuk melayari bahtera rumah tangga.

Perasaan kasih sayang yang tersemat di hati pasangan itu hasil cinta pandang pertama pada suatu petang 4 Januari 1942 di Kampung Kayu Tanam, Padang Panjang, Sumatera, adalah detik bermulanya perjalanan hidup mereka.

Bagaimanapun, jalan cerita pasangan ini tidak berakhir dengan begitu mudah. Malah, hubungan yang terjalin ketika sama-sama merantau di Indonesia itu pernah diuji apabila terpisah selama kira-kira lima tahun berikutan meletusnya perang dan Aishah kembali ke tanah air untuk meneruskan kehidupan.

“Apa nak buat, hati ini dah terpikat pada orang lain. Walaupun dia (Abdul Aziz) tidak pernah mengucapkan ‘I Love You’ pada saya, tetapi kami sama-sama dapat menyelami isi hati masing-masing. Sebab itulah hubungan kami kekal hingga ke akhir hayat,” katanya mengimbau kenangan bersama suaminya yang pergi dulu menyahut panggilan Ilahi sembilan tahun lalu.

Kematangan suaminya berikutan perbezaan usia tujuh tahun banyak membantu Aishah meneruskan kehidupan, terutama untuk mencapai cita-cita menuntut ilmu ke peringkat lebih tinggi.

Malah, pembabitan dalam bidang politik juga atas dorongan suami, ditambah dengan semangat juang yang membara dalam dirinya sejak melalui keperitan hidup di bawah penjajahan Belanda ketika bersekolah di Sumatera pada usia belasan tahun.

Istimewanya pasangan ini apabila kedua-duanya begitu serasi kerana masing-masing saling percaya mempercayai antara satu sama lain, hinggakan Aishah mendapat ‘lampu hijau’ untuk melanjutkan pelajaran ke England pada 1955 ketika anak ketiga mereka baru berusia 19 bulan.

“Memang kejayaan yang dikecapi kerana dorongan dan sokongan padu suami, malah pelbagai kritikan dan sindiran termasuk oleh saudara mara dapat dihadapi dengan tenang.

“Apabila saya akhirnya pulang ke tanah air selepas empat tahun dan ditambah dengan pengiktirafan kerajaan apabila dilantik sebagai wanita pertama menyandang jawatan Senator, suami saya terlalu gembira dan berbangga dengan kejayaan itu.

“Dia menghadiahkan kereta Mercedes Benz kepada saya, sekali gus menutup mulut semua yang sebelum ini memandang serong keputusannya membenarkan saya ke London,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai isteri dan ibu, tentunya perasaan merindui keluarga sukar diluahkan dengan kata-kata.

Lebih menyedihkan lagi, apabila anak ketiga, Datuk Astaman tidak mengenalinya ketika menyambut kepulangannya kira-kira tiga tahun kemudian.

“Astaman lebih rapat dengan kakak saya yang memeliharanya sepanjang ketiadaan saya, malah dia juga sukar memanggil saya emak. Hampir setahun selepas kepulangan saya baru dia dapat menerima saya kembali dan memanggil saya mak,” katanya. [BH]

Isteri tidak aktif seks

Bersama Dr Ismail Tambi
tanyadoktor@bharian.com.my

Allfreshclicks

SOALAN: SAYA merasa cemburu bila membaca permasalahan yang disiarkan setiap minggu. Lebih dari 90 peratus berkaitan aduan isteri terhadap masalah suami, sedangkan saya tanggung derita sebab isteri tak aktif seks. Sejak berkahwin 12 tahun lalu dan dikurniakan empat anak, isteri saya susah untuk klimaks. Saya asyik ‘self service’. Adakah ubat yang boleh menambah perjalanan darah ke vagina?

CEMBURU
Kuala Trengganu

JAWAPAN: KAJIAN rambang yang pernah dilakukan di Amerika Syarikat mengenai seksualiti manusia menunjukkan masalah seksualiti wanita lebih tiga kali ganda dari masalah seksualiti lelaki. Kajian seksualiti yang baru dijalankan di Shanghai, China pula melaporkan, setiap satu dalam tiga wanita tidak puas dengan hubungan seks mereka dibandingkan dengan satu dalam enam lelaki.

Jadi, seksualiti memang isu penting dalam hubungan silaturrahim antara lelaki dan wanita yang menjalin hubungan intim dan mustahak untuk mereka mengatasi masalah itu. Tidak dinafikan, ramai yang memilih mendiamkan diri kerana malu.

Apabila satu-satu pasangan bersetuju untuk mendirikan rumah tangga, mereka secara tidak langsung bersetuju untuk bekerjasama menangani apa jua perbalahan yang mungkin timbul antara termasuk masalah hubungan seksual yang mungkin dialami.

Mereka sepatutnya dapat bertimbang rasa, memastikan pasangan cukup puas dengan layanan yang diberikan sama ada layanan zahir atau batin. Jika salah satu pasangan menderita, kualiti hidup kedua-duanya tidak sempurna dan hubungan silaturrahim terancam.

Mereka juga mungkin tertekan, mudah terpesong dan dia tidak akan teragak-agak untuk mencari alternatif, seperti mencari 'hiburan' di luar jika dia berkemampuan dan kesudahannya akan terkeluar dari batasan institusi perkahwinan. Jadi kekuatan sebenar keluarga itu menjadi lumpuh dan berpecah-belah.

Bayangkan perkara ini boleh juga berlaku kepada keluarga anda. Anda tidak puas dengan hubungan keintiman dengan pasangan dan anda biarkan perkara itu berlarutan dengan melakukan cara sendiri, kerana anda tidak mampu mencari hiburan luar. Cara ini tidak betul. Sebagai suami perlu bermuafakat dengan isteri mencari jalan untuk menyelesaikan masalah.

Masalah disfungsi seksual wanita ada penawarnya. Apa yang mustahak adalah untuk wanita itu dan pasangannya berjumpa doktor untuk menjelaskan masalah dialami.

Mencuba ubat-ubatan tanpa nasihat doktor atau menjalani rawatan tradisional bukan cara yang bijak. Kini sebahagian besar dari masalah disfungsi seksual wanita ada rawatan moden.

Sebahagian dari pendekatan rawatan termasuk bimbingan, mengajar teknik persetubuhan yang sihat, memberi peralatan yang dapat membantu anggota seksual berfungsi dengan baik dan ubat ubatan yang dapat memantapkan fungsi anggota seksual dan tenaga badan. [BH]

Cara atasi parut luka

Allfreshclicks
Jangan biarkan masalah akibat prosedur yang dilakukan doktor jejas keselesaan hubungan seksual

SOALAN: SAYA melahirkan anak pada pertengahan Julai lalu. Ketika dalam pantang, saya terasa sakit sewaktu membuang air kecil. Sakit di bahagian klitoris menimbulkan senak setiap kali selepas membuang air kecil. Bila diperiksa, doktor mengesyaki air kencing saya kotor, lalu meminta saya minum air banyak.

Kini saya hamil tiga bulan dan mengalami masalah sama dan lebih teruk rasanya. Kali ini bukan lagi ketika membuang air kecil saja, malah sewaktu duduk pun terasa sakit. Ketika melahirkan anak pertama, bahagian sulit saya dijahit dengan banyak hingga berdekatan klitoris. Apakah ini normal bagi wanita yang bersalin?

IBU MERANA,
Melalui e-mail

JAWAPAN: KELAHIRAN anak sulung suatu pengalaman yang mencabar untuk mana-mana perempuan. Sebilangan mereka perlu menjalani pembedahan 'episiotomi' iaitu pembedahan meluaskan pembukaan faraj bagi memudahkan kelahiran bayi.

Ada juga sebahagian wanita, perlu menjalani pembedahan yang lebih luas lagi kerana untuk memudahkan jalanan supaya doktor boleh memasukkan alat penyedut atau forseps untuk mengeluarkan bayi. Ada juga sebilangan wanita yang mengalami kekoyakan faraj walau pun pembukaan faraj telah diluaskan kerana tekanan yang diberi oleh kepala bayi yang menyondol pintu permukaan faraj secara luar biasa.

Jadi tidak hairan jika bahagian langit faraj dan bahagian berdekatan klitoris juga terkoyak dan mengakibatkan perasaan tidak selesa kepada anggota berkenaan. Mana-mana luka yang pulih akan menjadi parut dan kadangkala parut boleh membesar dan meluas dan menyakitkan apabila bahagian yang mengelilingi parut juga turut menjadi luas dan besar, langsung mengganggu keadaan parut.

Mungkin cara yang bijak adalah untuk merujuk kepada doktor bagi menjalankan pemeriksaan lebih teliti. Jika terdapat keadaan luar biasa, pemulihan perlu dilakukan. Cara konservatif adalah untuk wanita itu melembutkan parut dengan menggesel ubat yang berupaya melembutkan parut yang boleh dibeli dari farmasi.

Bukan sesuatu yang pelik jika wanita berkenaan kemudiannya mengalami masalah apabila dia sudah mula melakukan hubungan seksual dengan suami. Parut itu mungkin menyakitkan dan hubungan seksual boleh menjadi sengsara jika masalah itu tidak diselesaikan. Sama juga dengan parut di bahagian klitoris, kemungkinan akan mengganggu sensasi klitoris dan kegagalan mencapai klimaks untuk wanita itu.

Mungkin dengan menggunakan ubat melembutkan parut dan melembab bahagian vestibule (bahagian antara bibir kecil) gangguan tadi akan lega dan hubungan seksual menjadi lebih selesa dan sempurna.

Jangan biarkan masalah akibat prosedur yang dilakukan doktor untuk memudahkan kelahiran bayi dibiarkan begitu saja kerana sedikit sebanyak ia akan mengganggu keselesaan hubungan seksual. Ada rawatan untuk memulihkannya. Apa yang mustahak adalah untuk wanita itu jangan berasa malu untuk berjumpa doktor dan mendapat penyelesaiannya. [BH]