Allfreshclicks
JIKA jodoh tak ke mana... Walau tanpa sebarang kata-kata romantis diucapkan antara kedua-duanya, ia sama sekali tidak menghalang pasangan Aishah Ghani dan Abdul Aziz Abu Hassan menganyam impian untuk melayari bahtera rumah tangga.
Perasaan kasih sayang yang tersemat di hati pasangan itu hasil cinta pandang pertama pada suatu petang 4 Januari 1942 di Kampung Kayu Tanam, Padang Panjang, Sumatera, adalah detik bermulanya perjalanan hidup mereka.
Bagaimanapun, jalan cerita pasangan ini tidak berakhir dengan begitu mudah. Malah, hubungan yang terjalin ketika sama-sama merantau di Indonesia itu pernah diuji apabila terpisah selama kira-kira lima tahun berikutan meletusnya perang dan Aishah kembali ke tanah air untuk meneruskan kehidupan.
“Apa nak buat, hati ini dah terpikat pada orang lain. Walaupun dia (Abdul Aziz) tidak pernah mengucapkan ‘I Love You’ pada saya, tetapi kami sama-sama dapat menyelami isi hati masing-masing. Sebab itulah hubungan kami kekal hingga ke akhir hayat,” katanya mengimbau kenangan bersama suaminya yang pergi dulu menyahut panggilan Ilahi sembilan tahun lalu.
Kematangan suaminya berikutan perbezaan usia tujuh tahun banyak membantu Aishah meneruskan kehidupan, terutama untuk mencapai cita-cita menuntut ilmu ke peringkat lebih tinggi.
Malah, pembabitan dalam bidang politik juga atas dorongan suami, ditambah dengan semangat juang yang membara dalam dirinya sejak melalui keperitan hidup di bawah penjajahan Belanda ketika bersekolah di Sumatera pada usia belasan tahun.
Istimewanya pasangan ini apabila kedua-duanya begitu serasi kerana masing-masing saling percaya mempercayai antara satu sama lain, hinggakan Aishah mendapat ‘lampu hijau’ untuk melanjutkan pelajaran ke England pada 1955 ketika anak ketiga mereka baru berusia 19 bulan.
“Memang kejayaan yang dikecapi kerana dorongan dan sokongan padu suami, malah pelbagai kritikan dan sindiran termasuk oleh saudara mara dapat dihadapi dengan tenang.
“Apabila saya akhirnya pulang ke tanah air selepas empat tahun dan ditambah dengan pengiktirafan kerajaan apabila dilantik sebagai wanita pertama menyandang jawatan Senator, suami saya terlalu gembira dan berbangga dengan kejayaan itu.
“Dia menghadiahkan kereta Mercedes Benz kepada saya, sekali gus menutup mulut semua yang sebelum ini memandang serong keputusannya membenarkan saya ke London,” katanya.
Bagaimanapun, sebagai isteri dan ibu, tentunya perasaan merindui keluarga sukar diluahkan dengan kata-kata.
Lebih menyedihkan lagi, apabila anak ketiga, Datuk Astaman tidak mengenalinya ketika menyambut kepulangannya kira-kira tiga tahun kemudian.
“Astaman lebih rapat dengan kakak saya yang memeliharanya sepanjang ketiadaan saya, malah dia juga sukar memanggil saya emak. Hampir setahun selepas kepulangan saya baru dia dapat menerima saya kembali dan memanggil saya mak,” katanya. [BH]