16/12/05
Hantaran kahwin Juliana Banos pecah rekod artis tempatan
Oleh Haszrul Mohamed
HANTARAN berjumlah RM77,888.77 yang diterima oleh penyanyi dan pelakon Juliana Azman Banos (Jun) daripada suaminya, Mokhtar Ahmad, usahawan kereta import mewah, mencatat sejarah tersendiri sebagai hantaran termahal yang tidak pernah diterima oleh mana-mana artis tanah air sebelum ini.
Itu tidak termasuk dua bentuk cincin berlian jenama Catier dan Carat Club yang bernilai lebih RM10,000, beg tangan dan dua pasang kasut jenama Louis Vuitton (LV) serta set wangian.
Jun dan Mokhtar diijab kabulkan di Masjid Abu Bakar, Johor Bahru, Johor hari ini (16 Disember) dengan disaksikan oleh keluarga kedua-dua belah pihak.
Sehari sebelum bergelar pengantin baru, Jun dan Mokhtar sudi diwawancara secara eksklusif oleh Utusan Malaysia.
Walaupun pada mulanya kedua-dua pasangan ini tidak dibenarkan bertemu oleh keluarga masing-masing menjelang saat-saat akhir akan dinikahkan, namun bagi memenuhi permintaan Utusan Malaysia, larangan itu akhirnya dilonggarkan.
Bahkan jurugambar Utusan Malaysia juga diberi peluang merakamkan gambar kedua-duanya 24 jam sebelum mereka dinikahkan.
Kata Jun, sebenarnya dia mahu merahsiakan hantaran yang diterimanya daripada Mokhtar.
"Saya tidak berniat untuk menguar-uarkannya kepada umum. Tetapi itulah soalan yang ditanyakan kepada saya oleh setiap orang yang saya temui.
"Jadi, suka atau tidak, jumlahnya terpaksa juga disebutkan,'' kata Jun ketika ditemui di pejabat Mokhtar di Mutiara Motors Sdn. Bhd. di Jalan Tebrau, Johor Bahru.
Jun memberitahu, hantaran yang tinggi itu dianggap sebagai hadiah daripada suaminya dan dia bersyukur dengan keikhlasan hantaran yang diberikan oleh pihak lelaki.
Katanya, angka tujuh adalah angka kegemaran Mokhtar manakala angka lapan pula adalah angka kegemarannya.
Menurut Jun, jika dicampurkan kesemua jumlah 77,888.77, jawapannya 52 dan apabila angka lima dicampurkan dengan angka dua, jawapannya ialah tujuh.
"Itulah keistimewaan 77,888.77 kepada saya dan suami,'' kata Jun.
Che Tar dan Che Jun
Ditanya apakah panggilan Jun terhadap suaminya, kata Jun, "Saya memanggilnya dengan panggilan Che Tar manakala dia pula memanggil saya dengan panggilan Che Jun.
"Mungkin kerana saya ni bukan seorang yang romantis dan tidak pandai memanggilnya dengan panggilan 'Yang', atau 'Sayang' atau 'Abang'. Jadi secara spontan saya memanggilnya Che Tar dan nama itu lekat sampai sekarang,'' kata Jun.
Syarat teruskan kerjaya seni
Menurut Mokhtar, dia tidak mempunyai halangan bahkan mengizinkan isterinya untuk terus aktif dalam dunia seni kerana itu adalah kerjaya Jun.
Namun begitu, Mokhtar percaya isterinya itu pandai menjaga tingkah laku dan tahu memberi keutamaan terhadap rumah tangga.
"Memang saya izinkan Jun berlakon atau menyanyi tetapi biarlah tawaran yang diterimanya itu kena pada masa dan waktu serta berlandaskan pada agama,'' katanya.
Sebagai suami, Mokhtar tidak mempunyai masalah mengizinkan Jun terus aktif dalam bidang seni kerana dia mengenali diri dan peribadi Jun.
"Saya tahu dia bukan seorang yang sosial dan dia jenis family type. Habis kerja, dia akan berada di rumah dan sepanjang yang saya nampak, apabila Che Jun ke lokasi atau bekerja, dia sentiasa dijaga oleh keluarganya,'' kata Mokhtar.
Bulan madu
Menjawab soalan mengenai destinasi bulan madu, Jun dan suaminya memilih Monaco dan Switzerland.
Kedua-duanya merancang untuk terbang menikmati bulan madu pada Februari tahun hadapan.
"Kalau ikut perancangan awal Che Tar, Januari depan kami ke sana. Tapi waktu itu cuaca di sana amat sejuk dan saya tak begitu suka dengan cuaca yang begitu. Sebab itu saya minta pergi pada musim panas.
"Insya-Allah, bulan Februari tahun depan rasanya dah tak begitu sejuk,'' kata Jun.
Ada sebab Jun memilih Monaco sebagai destinasi bulan madu. Minatnya terhadap sukan lumba kereta Formula 1 ternyata menarik minatnya untuk ke sana.
"Kebanyakan pemandu Formula 1 tinggal di Monaco,'' kata Jun sambil tersenyum manis.
Terima kasih kepada penaja
Pada akhir wawancara, Jun dan suaminya turut merakamkan ucapan terima kasih mereka kepada pihak pengurusan Hotel Grand Bluewave Johor Bahru kerana sudi menaja penginapan lebih 20 wartawan dari Kuala Lumpur yang hadir pada majlis pernikahan dan persandingan mereka.
Kata Jun, kesemua wartawan dari Kuala Lumpur dibawa ke Johor Bahru dengan menaiki bas yang disewa sendiri olehnya. [UM]