18/12/05

Sambut menantu pasangan Juliana-Mokhtar meriah

JULIANA Banos dan suami, Mokhtar Ahmad bersanding di Kampung Melayu, Johor Bahru semalam. - Gambar ZAINI HUSIN.


Oleh Hasnurul Mohamed
JOHOR BAHRU 17 Dis. - Lebih 2,000 tetamu menghadiri majlis menyambut menantu pasangan pengantin baru, penyanyi dan pelakon, Juliana Azman Banos, 26, dan Mokhtar Ahmad, 32, yang diadakan di rumah keluarga pengantin lelaki di Kampung Melayu, di sini hari ini.

Ibu bapa pengantin lelaki, Ramlah Mohamed dan Ahmad Kemin ternyata gembira dengan kehadiran jemputan termasuk saudara mara pihak pengantin perempuan.

``Alhamdulillah, ramai yang hadir dan memang niat suami saya untuk menjamu hadirin dan orang-orang kampung dalam majlis menyambut menantu,'' kata Ramlah ketika ditemui di sini hari ini.

Pasangan Juliana dan Mokhtar dinikahkan semalam di Masjid Abu Bakar di sini pada kira-kira pukul 10.30 pagi.

Kira-kira 20 minit sebelum dinikahkan, atas memenuhi permintaan ibu Juliana, Tijah Ibrahim dan dipersetujui oleh pihak ibu bapa lelaki, pasangan itu ditunangkan.

Selepas dinikahkan, pada sebelah malamnya pula diadakan majlis persandingan di Dewan Utama, Hotel Hyatt, Johor Bahru.

Mokhtar berkelulusan dalam bidang pengurusan perniagaan dari sebuah kolej di Osaka, Jepun adalah Pengarah Urusan Mutiara Motors Sdn. Bhd.

Bapanya, Ahmad Kemin merupakan seorang usahawan yang terbabit dengan perniagaan mengimport dan menjual kereta mewah serta menguruskan pusat percutian.

Pasangan ini mula berkenalan sejak setahun lalu dan atas persetujuan keluarga kedua-dua pihak, mereka dinikahkan semalam.

Majlis persandingan yang diadakan malam tadi dihadiri kira-kira 700 tetamu.

Ramlah berkata, satu lagi majlis akan diadakan di Hotel Palace of Golden Horses, Kuala Lumpur pada 23 Disember ini untuk sahabat dan kaum keluarga yang tidak berkesempatan hadir pada majlis hari ini. [MM]