3/12/05

Isteri tidak aktif seks

Bersama Dr Ismail Tambi
tanyadoktor@bharian.com.my

Allfreshclicks

SOALAN: SAYA merasa cemburu bila membaca permasalahan yang disiarkan setiap minggu. Lebih dari 90 peratus berkaitan aduan isteri terhadap masalah suami, sedangkan saya tanggung derita sebab isteri tak aktif seks. Sejak berkahwin 12 tahun lalu dan dikurniakan empat anak, isteri saya susah untuk klimaks. Saya asyik ‘self service’. Adakah ubat yang boleh menambah perjalanan darah ke vagina?

CEMBURU
Kuala Trengganu

JAWAPAN: KAJIAN rambang yang pernah dilakukan di Amerika Syarikat mengenai seksualiti manusia menunjukkan masalah seksualiti wanita lebih tiga kali ganda dari masalah seksualiti lelaki. Kajian seksualiti yang baru dijalankan di Shanghai, China pula melaporkan, setiap satu dalam tiga wanita tidak puas dengan hubungan seks mereka dibandingkan dengan satu dalam enam lelaki.

Jadi, seksualiti memang isu penting dalam hubungan silaturrahim antara lelaki dan wanita yang menjalin hubungan intim dan mustahak untuk mereka mengatasi masalah itu. Tidak dinafikan, ramai yang memilih mendiamkan diri kerana malu.

Apabila satu-satu pasangan bersetuju untuk mendirikan rumah tangga, mereka secara tidak langsung bersetuju untuk bekerjasama menangani apa jua perbalahan yang mungkin timbul antara termasuk masalah hubungan seksual yang mungkin dialami.

Mereka sepatutnya dapat bertimbang rasa, memastikan pasangan cukup puas dengan layanan yang diberikan sama ada layanan zahir atau batin. Jika salah satu pasangan menderita, kualiti hidup kedua-duanya tidak sempurna dan hubungan silaturrahim terancam.

Mereka juga mungkin tertekan, mudah terpesong dan dia tidak akan teragak-agak untuk mencari alternatif, seperti mencari 'hiburan' di luar jika dia berkemampuan dan kesudahannya akan terkeluar dari batasan institusi perkahwinan. Jadi kekuatan sebenar keluarga itu menjadi lumpuh dan berpecah-belah.

Bayangkan perkara ini boleh juga berlaku kepada keluarga anda. Anda tidak puas dengan hubungan keintiman dengan pasangan dan anda biarkan perkara itu berlarutan dengan melakukan cara sendiri, kerana anda tidak mampu mencari hiburan luar. Cara ini tidak betul. Sebagai suami perlu bermuafakat dengan isteri mencari jalan untuk menyelesaikan masalah.

Masalah disfungsi seksual wanita ada penawarnya. Apa yang mustahak adalah untuk wanita itu dan pasangannya berjumpa doktor untuk menjelaskan masalah dialami.

Mencuba ubat-ubatan tanpa nasihat doktor atau menjalani rawatan tradisional bukan cara yang bijak. Kini sebahagian besar dari masalah disfungsi seksual wanita ada rawatan moden.

Sebahagian dari pendekatan rawatan termasuk bimbingan, mengajar teknik persetubuhan yang sihat, memberi peralatan yang dapat membantu anggota seksual berfungsi dengan baik dan ubat ubatan yang dapat memantapkan fungsi anggota seksual dan tenaga badan. [BH]