18/12/05

Juliana-Mokhtar pengantin mewah


KliK di sini untuk join Sistem Matrix Bulanan RM10


Oleh HASZRUL MOHAMED

TANGGAL 16 Disember pasti sentiasa terpahat di sanubari Juliana Azman Banos dan suami, Mokhtar Ahmad. Pada tarikh itu, mereka selamat diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri di hadapan keluarga masing-masing.

Upacara akad nikah disempurnakan oleh jurunikah, Datuk Imam Mahad di Masjid Abu Bakar, Johor Bahru pada pukul 10.30 pagi.

Bagi mengikut adat Melayu, sebelum dinikahkan, pasangan ini ditunangkan terlebih dahulu. Juliana yang mengenakan kebarung songket dijahit dengan benang emas, bahagian lehernya dijahit dengan kain lace dan mutiara kecil, kelihatan gembira apabila ibu mentuanya, Ramlah Mohamed, menyarungkan sebentuk cincin berlian emas putih ke jari manisnya.

Mokhtar yang juga kelihatan tenang menunggu saat menggenggam tangan jurunikah, segak mengenakan baju Melayu songket berwarna putih susu, bersamping dan lengkap dengan songkok yang diperbuat daripada warna yang sama.

Juliana menerima mas kahwin sebanyak RM22.50.

Sebanyak tujuh dulang hantaran termasuk duit berjumlah RM77,888.77 diterima daripada pihak lelaki termasuk seutas jam tangan wanita jenama Rolex, sebentuk cincin berlian platinum berbentuk hati eksklusif, beg tangan dan dua pasang kasut jenama Louis Vuitton (LV) dan set minyak wangi jenama Angel.

Pihak perempuan pula menyerahkan sembilan dulang hantaran berupa sepasang kasut jenama LV, cincin platinum jenama Cartier, sepasang baju Melayu daripada rekaan Salikin Sidik, set minyak wangi juga jenama Angel, seutas jam tangan jenama Rolex untuk lelaki, kek, buah-buahan, senaskhah al-Quran dan sejadah.

Pertukaran dulang-dulang hantaran itu dilakukan terlebih dahulu di rumah bapa mentua Juliana, Ahmad Kemin sebelum rombongan pengantin lelaki dan perempuan menghala ke Masjid Abu Bakar untuk melangsungkan upacara akad nikah.

Pada sebelah malamnya pula, diadakan majlis persandingan bagi meraikan kedua-dua mempelai.

Pelamin persandingan bertemakan warna kegemaran Juliana, merah jambu dengan rangka berwarna mahagoni, tersergam menanti pasangan pengantin baru duduk bersanding sambil direstu oleh tetamu jemputan, kaum keluarga dan sahabat handai.

Sebaik kaki melangkah masuk ke dewan utama, semua mata tertumpu seolah-olah terpukau melihat wajah Juliana atau lebih mesra dengan panggilan Jun, disolek cantik oleh jurusolek yang didatangkan khas dari Singapura, Liza Haron.

Sehari sebelum dinikahkan, Juliana yang ditemui di pejabat Mutiara Motors Sdn. Bhd. Johor Bahru memberitahu Mingguan Malaysia, sejak zaman remajanya lagi, beliau sudah mengenali jurusolek tersebut dan pernah berniat di dalam hatinya, apabila tiba waktunya mendirikan rumah tangga, Lizalah yang akan dipertanggungjawabkan menatarias dan mendandannya.

Menurutnya, pakaian persandingan pada sebelah malam juga ditempah dari Butik Haron di B12, Hotel Excelsior, 5 Coleman Street, Singapura.

Kira-kira pukul 8.30 malam, ketibaan pasangan pengantin disambut dengan penuh adat dan tradisi Melayu - paluan kompang dan bunga manggar.

Jun mengenakan baju kurung moden `tiga tingkat' diperbuat daripada kain lace dengan kombinasi dua warna, merah jambu dan putih serta disulam di bahagian tepi baju kurung. Pelengkap kepada kejelitaan pengantin perempuan apabila baju kurung moden tiga tingkat yang dipakainya dipadankan dengan selendang warna merah jambu yang dijahit dengan kemasan kedutan menggunakan material jenis organza.

Mokhtar pula, kelihatan kacak apabila mengenakan baju Betawi diperbuat daripada songket lengkap dengan setanjak yang juga dibuat daripada material songket, warna sedondon dengan isterinya.

Sebaik pasangan pengantin duduk di singgahsana pelamin, istiadat menepung tawar kedua-dua mempelai disempurnakan oleh bapa mentua pengantin perempuan, Ahmad Kemin dan isteri, Ramlah Mohamed serta ibunda tercinta pengantin perempuan, Tijah Ibrahim serta kekanda-kekanda pengantin perempuan, Lina dan Wani.

Kemuncak majlis persandingan bagi raja sehari ialah upacara memotong kek perkahwinan.

Sementara menanti pasangan pengantin baru menukar pakaian, hadirin dihiburkan dengan denda-ngan penyanyi dari Indonesia, Harvey Malaiholo.

Acara memotong kek, konsep baju gaun labuh ala toga era Greek menjadi pilihan Jun. Gaun labuh berwarna perak, dijahit dengan manik-manik dilapisi sutera satin berwarna putih. Keunikan baju gaun Jun ialah apabila selendang yang dipegang pada bahagian kiri, menyerlahkan lagi keanggunan pengantin perempuan pada malam itu.

Mokhtar pula mengenakan sepasang jaket moden berpotongan tanpa butang, berwarna putih dengan vest perak bermanik. Pada bahagian kolar bajunya, diselitkan kerong-sang.

Semalam, satu majlis jamuan tengah hari diadakan di Vila Mutiara milik bapa mentua Juliana bagi meraikan orang kampung dan sahabat yang tidak berkesempatan menyaksikan persandingan kedua-dua mempelai pada malam sebelumnya. [MM]