3/12/05

Cara atasi parut luka

Allfreshclicks
Jangan biarkan masalah akibat prosedur yang dilakukan doktor jejas keselesaan hubungan seksual

SOALAN: SAYA melahirkan anak pada pertengahan Julai lalu. Ketika dalam pantang, saya terasa sakit sewaktu membuang air kecil. Sakit di bahagian klitoris menimbulkan senak setiap kali selepas membuang air kecil. Bila diperiksa, doktor mengesyaki air kencing saya kotor, lalu meminta saya minum air banyak.

Kini saya hamil tiga bulan dan mengalami masalah sama dan lebih teruk rasanya. Kali ini bukan lagi ketika membuang air kecil saja, malah sewaktu duduk pun terasa sakit. Ketika melahirkan anak pertama, bahagian sulit saya dijahit dengan banyak hingga berdekatan klitoris. Apakah ini normal bagi wanita yang bersalin?

IBU MERANA,
Melalui e-mail

JAWAPAN: KELAHIRAN anak sulung suatu pengalaman yang mencabar untuk mana-mana perempuan. Sebilangan mereka perlu menjalani pembedahan 'episiotomi' iaitu pembedahan meluaskan pembukaan faraj bagi memudahkan kelahiran bayi.

Ada juga sebahagian wanita, perlu menjalani pembedahan yang lebih luas lagi kerana untuk memudahkan jalanan supaya doktor boleh memasukkan alat penyedut atau forseps untuk mengeluarkan bayi. Ada juga sebilangan wanita yang mengalami kekoyakan faraj walau pun pembukaan faraj telah diluaskan kerana tekanan yang diberi oleh kepala bayi yang menyondol pintu permukaan faraj secara luar biasa.

Jadi tidak hairan jika bahagian langit faraj dan bahagian berdekatan klitoris juga terkoyak dan mengakibatkan perasaan tidak selesa kepada anggota berkenaan. Mana-mana luka yang pulih akan menjadi parut dan kadangkala parut boleh membesar dan meluas dan menyakitkan apabila bahagian yang mengelilingi parut juga turut menjadi luas dan besar, langsung mengganggu keadaan parut.

Mungkin cara yang bijak adalah untuk merujuk kepada doktor bagi menjalankan pemeriksaan lebih teliti. Jika terdapat keadaan luar biasa, pemulihan perlu dilakukan. Cara konservatif adalah untuk wanita itu melembutkan parut dengan menggesel ubat yang berupaya melembutkan parut yang boleh dibeli dari farmasi.

Bukan sesuatu yang pelik jika wanita berkenaan kemudiannya mengalami masalah apabila dia sudah mula melakukan hubungan seksual dengan suami. Parut itu mungkin menyakitkan dan hubungan seksual boleh menjadi sengsara jika masalah itu tidak diselesaikan. Sama juga dengan parut di bahagian klitoris, kemungkinan akan mengganggu sensasi klitoris dan kegagalan mencapai klimaks untuk wanita itu.

Mungkin dengan menggunakan ubat melembutkan parut dan melembab bahagian vestibule (bahagian antara bibir kecil) gangguan tadi akan lega dan hubungan seksual menjadi lebih selesa dan sempurna.

Jangan biarkan masalah akibat prosedur yang dilakukan doktor untuk memudahkan kelahiran bayi dibiarkan begitu saja kerana sedikit sebanyak ia akan mengganggu keselesaan hubungan seksual. Ada rawatan untuk memulihkannya. Apa yang mustahak adalah untuk wanita itu jangan berasa malu untuk berjumpa doktor dan mendapat penyelesaiannya. [BH]