KUALA LUMPUR 10 Mac - Ahli perniagaan, Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau dikenali Datuk K (kiri), 47, hari ini meminta media supaya tidak lagi menyiarkan sebarang berita mengenai dirinya yang dikaitkan dengan penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza Tarudin , 27, yang diperoleh melalui sumber tidak sahih.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, beliau berkata, berita yang disiarkan oleh media sebelum ini mengganggu kehidupan peribadi dan keluarganya serta menyinggung pihak-pihak tertentu.
Berikut kenyataan penuh beliau:
``Sejak akhir-akhir ini, media massa sama ada akhbar, televisyen dan radio banyak membuat spekulasi mengenai diri saya yang dikaitkan dengan penyanyi Siti Nurhaliza.
Kecuali kenyataan yang dikeluarkan oleh saya sendiri atau Siti, kebanyakan berita tersebut bukan sahaja tidak benar malah berunsur fitnah. Selain menjejaskan maruah saya dan memalukan keluarga, spekulasi itu turut mengganggu kehidupan saya, anak-anak dan pihak-pihak tertentu.
Saya amat kesal dan kecewa kerana kebanyakan laporan mengenai diri saya yang hanya memetik dari sumber-sumber atau dari pihak ketiga itu, bukan saja tidak benar malah menjejaskan kehidupan saya secara peribadi dan sebagai ahli perniagaan.
Justeru, saya memohon jasa baik pihak akhbar, majalah, stesen televisyen dan radio agar tidak lagi menyiarkan sebarang berita mengenai saya yang diperolehi daripada sumber yang belum pasti kesahihannya.
Saya memahami tugas media massa dan menghormati kebebasan akhbar. Apa yang saya minta hanyalah pihak akhbar menghormati kehidupan peribadi saya sebagai manusia biasa dengan tidak melaporkan perkara peribadi saya berdasarkan maklumat pihak ketiga.
Saya berjanji jika ada sebarang perkara mengenai diri saya yang difikirkan layak sebagai bahan berita, saya sendiri yang akan mengeluarkan kenyataan. Sekali lagi, saya memohon kerjasama pihak media dan amat menghargai kerjasama ini. Sekian, berbanyak-banyak terima kasih.''
Kisah hubungan antara Khalid dan Siti Nurhaliza menjadi semakin diperkatakan apabila penyanyi pujaan ramai itu membuat kenyataan di depan media baru-baru ini mengenai hatinya sudah dimiliki.
Namun, penyanyi tersebut tidak menyebut identiti lelaki pilihannya tetapi banyak pihak mengaitkannya dengan Datuk K. [UM]
Bertia Terkait:
Datuk K akui kawan rapat dengan Siti