19/03/06

Kaca Mata: Selagi Datuk K dan Siti terus berahsia...

Bersama Hishamuddin Aun

HANYA beberapa bulan lalu, harus ramai juga yang bergelar ‘Datuk’ dengan nama yang berpangkal huruf “K” memasang angan-angan.

Atau setidak-tidaknya juga sebilangan daripada mereka harus tidak gusar merelakan diri dijadikan bahan gurauan.

“Saya hanya dapat berangan-angan ia adalah saya,” kata seorang kenalan rapat di tengah-tengah hebohnya khabar angin yang berkisar kepada keintiman kalau pun tidak hubungan cinta penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza, dengan seorang ‘Datuk K’.

Memang ada ramai ‘Datuk K’ di Malaysia – barangkali cukup ramai untuk menyukarkan sebarang telahan atau merungkai teka-teki berkenaan pada peringkat awalnya.

“Datuk K yang mana satu ya,” demikian antara persoalan yang sering dilontarkan dalam pada media mahupun peminat tercari-cari jawapan yang tidak segera ditemukan kesudahannya.

Sebilangan mudah terlintas di fikiran sebagai ‘Datuk K’ yang tergolong dalam senarai orang ternama manakala sebilangan yang lain pula dikenali di kalangan kelompok masing-masing saja.
Barangkali Datuk yang berpangkal nama Abdul atau Muhammad pun ketika itu lebih senang menonjolkan nama masing-masing yang berpangkal ‘K’ agar tidak ketinggalan menjadi sebutan atau jenaka.

Di dalam Kabinet, ada seorang Datuk K – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamed Khaled Nordin. Beliau, bagaimanapun, tidak pun diketahui sebagai peminat Siti Nurhaliza secara terbuka. Tak tahulah kalau beliau menanam minat di dalam diam.

Sebelum rombakan Kabinet pada 14 Februari lalu, ada seorang lagi menteri ‘berkelayakan’ – Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir. Sebagai Menteri Penerangan ketika itu, beliau mempunyai pergaulan luas dengan artis tetapi ia terhenti setakat itu... tidak lebih daripada itu.

Malah, di kalangan pengamal media arus perdana pun, ada sekurang-kurangnya tiga ‘Datuk K’ waktu itu untuk masing-masing tidak terhindar daripada menuding jari kepada satu sama lain yang lazimnya disudahi dengan derai ketawa.

Seorang kenalan, juga dengan nama berpangkal ‘K’ dan berkelulusan dalam bidang undang-undang, terang-terang mengakui meminati Siti dan mengimpikan untuk memiliki penyanyi berkenaan. Cuma kelayakannya untuk bersaing dengan sendirinya gugur kerana sekadar bergelar ‘bakal Datuk’.

Lantaran itu, apabila nama Datuk Khalid Mohamad Jiwa mula meniti dari bibir ke bibir dan dibayangkan media, ramailah yang ingin mengenali duda berusia 47 tahun itu dengan lebih rapat.

Pelbagai persoalan bertali arus?

Apakah latar belakang beliau, bagaimana perkenalannya dengan Siti bermula, apakah beliau serius mahu memperisterikan bintang paling popular itu dan apakah Siti sendiri merelakan persahabatan mereka berkesudahan ke jinjang pelamin?

Jelas, kedua-duanya amat berahsia tanpa pernah dilihat bersama di khalayak ramai sehinggalah tersiarnya berita muka depan bertajuk “Siti, Datuk Khalid sedondon” dalam Harian Metro, 23 Februari lalu.

Berita itu antara lain berbunyi: “KUALA LUMPUR: Warna sedondon yang dipilih penyanyi Siti Nurhaliza dan Pengerusi Ace Group Company, Datuk Khalid Muhd Jiwa ketika Malam Amal Kasih di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi, seolah-olah memberi petanda kepada umum mengenai hubungan mereka berdua.

Siti kelihatan manis dengan gaun ungu serta hiasan bunga orkid warna ungu di kepala manakala Khalid segak berbaju batik warna ungu.

Malah, lagu lama yang dipopularkan Anneke Gronloh, Asmara yang dipersembahkan Siti pada awal persembahannya, sekali lagi meyakinkan penonton bahawa penyanyi berusia 27 tahun itu sedang dilamun cinta.

Sejak tahun lalu, Siti dikatakan menjalin hubungan intim dengan tokoh korporat yang hanya dikenali sebagai Datuk K.”

Dengan rahsia yang dipertahankan selama ini terburai, tidak hairanlah Datuk K mengakui berasa tidak tenteram.

Kepada Datuk K, selamat datang ke dunia gosip Malaysia! Siti sendiri mungkin sudah agak lali dengannya.

Barangkali ia tidak sehebat gosip Hollywood yang cuba menelanjangi apa saja dari kamar mandi hingga ke kamar tidur, atau Bollywood yang mendedahkan keintiman dan perseteruan, atau dunia glamor Hong Kong yang tidak pernah sunyi daripada skandal dan pengkhianatan.

Dunia gosip Malaysia tidak sama tetapi tidak juga banyak berbeza... sebagaimana keluh-kesah Datuk K kepada beberapa kenalan media akhir-akhir ini.

Di sebalik ada yang menaruh simpati terhadap rayuannya agar “menghormati kehidupannya sebagai manusia biasa dengan tidak melaporkan perkara peribadi berdasarkan maklumat pihak ketiga”, ia bukan sesuatu yang boleh diyakini akan bertahan lama.

Sudah banyak contoh untuk dijadikan renungan betapa ‘wedding of the year’ (perkahwinan tumpuan tahun ini) akan menarik perhatian segenap lapisan masyarakat.

Dari era 70-an, umpamanya, pernah dihebohkan sebuah kediaman indah di sebuah pulau peranginan bakal menjadi hadiah perkahwinan buat seorang bintang pujaan. Cuma apa yang malang ialah hanya sebuah bangsal ditemui di pulau berkenaan.

Perkahwinan penyanyi, Wann, dengan seorang juruteknik Perbadanan Penyiaran Singapura (TCS) pada 1 Julai 1993 memberi petanda awal betapa artis yang ditakrif milik masyarakat akan sentiasa menjadi tumpuan.

Ia tidak pun berbeza kalau pun tidak bertambah gamat menjelang perkahwinan Ziana Zain dengan Armin Zaharin pada Mei 1998, seterusnya Erra Fazira dan Yusri Abdul Halim pada 15 Jun 2003 hingga diguraukan hampir seluruh penduduk Cheras hadir menyaksikan persandingan mereka.

Pada skala berbeza, hari-hari menjelang persandingan selebriti TV3, Norjuma Habib Mohamad, dengan Datuk Mohamed Nazim Razak, pada 30 April 2005 serta perkahwinan Norzie Pak Wan Chek dengan Aidid Marcello Azhari, turut tidak sunyi daripada gosip dan bualan.

Terbaru, pada 25 Ogos tahun lalu, harus ramai yang masih mengingati bagaimana lokasi pernikahan menteri, Datuk Seri Azmi Khalid, dengan bekas pengacara TV3, Normala Samsudin, diubah pada saat-saat akhir untuk mengelak diketahui media, hanya untuk pasangan mempelai itu difoto berselindung di sebalik permaidani dan kotak sedangkan tiada apa yang harus disembunyikan.

Inikan pula Siti Nurhaliza... penyanyi dengan kemerduan suara hingga boleh mengasyikkan raja dan perdana menteri di kalangan mereka yang mengagumi bakatnya.

Datuk K boleh terus memilih untuk merendah diri sebagai manusia biasa tetapi selaku pasangan Siti, darjatnya kini terangkat sebagai manusia istimewa.

Siti diakui mempunyai jutaan peminat dan harus juga difahami jika ada sebilangan daripada mereka yang berasa berat untuk merelakan penyanyi kesayangan mereka itu dimiliki seseorang.

Memang sudah lumrah akan ada yang nakal untuk mengada-adakan cerita. Asalkan ia tidak sampai mengkhianati atau memfitnah, ia tidak harus dianggap sebagai sesuatu yang luar biasa.

Apatah lagi selagi Datuk K dan Siti memilih untuk terus berahsia, akan ada banyak pihak ketiga yang akan tampil dengan mendakwa selaku jurucakap mereka.

Datuk K dan Siti barangkali sudah memilih untuk berumah di tepi pantai, yang membawa kepada satu lagi perumpamaan: ikan di laut, asam di darat, di dalam kuali bertemu jua.

Di dalam diam, harus ramai peminat yang lebih daripada merelakan, malah mendoakan kebahagiaan mereka. [BM]