CERITA artis kahwin Datuk bukanlah cerita baru dalam dunia hiburan di negara kita. Dari dulu sampailah ke zaman sekarang, kisah artis popular nak kahwin lelaki bergelar Datuk atau kisah Datuk nak ‘terkam’ artis terkenal, memang tak habis-habis jadi bualan.
Ada artis yang sanggup berkahwin dalam diam dengan lelaki berpangkat begini. Ada pula yang terang-terang mahu dunia tahu, “Akulah isteri seorang Datuk.”
Baginya, apa salahnya perkahwinan? Baru-baru ini, kecoh lagi kisah artis nak kahwin Datuk. Kali ini bukannya artis biasa, tapi yang kali ini ialah yang cukup terkenal. Yang bukan seorang dua lelaki bermimpikan cintanya.
Cik Siti Nurhaliza menjadi topik paling hangat apabila, dia didakwa nak nikah Datuk K yang kacak.
Petang Selasa lalu, semasa Huzz dan Datuk yang sudah menduda ini bercakap di telefon, katanya, dirinya masih ada Malaysia, bukan bercuti di luar negara.
Waktu kami berborak tu, kata Datuk, dia terpaksa meminta tolong orang surat khabar berhenti menulis kisah dirinya dengan Siti adalah disebabkan ada surat khabar (bukan terbitan Kumpulan Utusan) sudah bercerita hal yang mengarut.
Sampai ke benda-benda yang tak betul jadi tulisan. Kata Datuk, dia ada keluarga. Siti pun ada keluarga. Jadi banyak yang sensasi ditulis dibimbangi mengguriskan hati keluarga.
Kata Datuk, tunggu sajalah, akan sampai harinya, setelah segala yang tengah hot ini reda, beliau dan Siti akan buat kenyataan, apa cerita yang sebenarnya. Jadi kita sama-sama tunggu.
Bercakap balik fasal golongan artis perempuan suka berkahwin lelaki bergelar Datuk, Huzz tak menafikan ia bukan seorang dua.
Ada yang mengaku dirinya ialah isteri kedua. Ada juga yang jadi isteri nombor tiga! Tetapi mereka tidak mahu publisiti besar-besaran
Ada artis cun tu kata, “Saya cukup hormat madu saya. Dia baik. Dia pun dah tahu suaminya kahwin artis. Jadi sebagai perempuan, saya tak nak isterinya tercalar. Jadi sebab itu saya minta tolong, jangan tulis kisah kahwin kami.”
Dalam pada itu bila Huzz tanya kenapalah ada artis suka nak kahwin suami orang, ada menjawab, itu adalah lebih baik daripada si artis jadi perempuan simpanan.
Namun ada pula artis lain yang dah kahwin Datuk, mengaku hidupnya tak bahagia. dapat rumah, dapat kehidupan baru tapi berendam air mata.
Pernah satu malam itu, seorang artis menangis-nangis bila bercerita nasib hidupnya bersuamikan seorang Datuk.
Nampaknya bukan semua yang jadi suri seorang Datuk aman damai.
Dalam pada itu, ketika Huzz menghadiri satu majlis kahwin, Huzz tengok seorang artis cantik datang ke kenduri itu dengan madunya. Artis paling sensasi itu satu masa dulu, kini semakin cantik.
Yang beruntungnya si artis ini, ialah Mak Datin yang jadi madunya sangat baik kepadanya. Si Mak Datin tu tak mekap pun lawa. Baiknya si Mak Datin tu dengan artis ini, di majlis tu mereka makan semeja. Suami mereka seorang Datuk yang tak kurang popular!
Seorang artis lagi yang pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang Datuk mengaku kepada Huzz, dia tak disia-siakan walaupun diceraikan oleh seorang Datuk. Katanya, “Saya bahagia, saya senang dengan kehidupan walaupun terpaksa bercerai. Ini ialah kerana Datuk sudi menjadi sahabat baik. Dia beri nafkah dan harta termasuk rumah.”
Namun, yang kasihannya ialah seorang pelakon itu. Katanya, “Suami aku buat aku sesuka hati. Nak balik ke rumah ikut waktu dia. Mana tahan, hidup tak semacam seorang isteri. Malam hari saja dia balik rumah bini pertama. Jadi, kerana itulah akhirnya kami bercerai.”
Demikianlah, tidak semua yang berkahwin orang kaya itu bahagia apatah lagi kerana hidup bermadu. Namun, ada juga yang tak kahwin Datuk tetap makan hati. Kahwin lelaki yang sederhana pun ada macam-macam hal.
Jadi dalam soal kahwin ini, tak kiralah berjodoh dengan golongan macam mana, jikalau tanpa ikhlas, jujur dan ada kasih sayang... perkahwinan itu tak kemana jua!
HUZZ: Terkejut dengan orang yang kahwin suami orang, tetapi suka bersikap lebih sudu dari kuah. Hormat-hormatlah isteri pertama. [MM]