28/03/06

Kebahagiaan Norman Hakim - Abby Abadi

Oleh: MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH

KELUARGA penyayang, keluarga bahagia. Itulah ungkapan yang paling sesuai bagi pasangan suami isteri Norman Hakim dan Abby Abadi. Ini kerana kehidupan mereka dilimpahi kasih sayang yang tidak pernah surut. Rumah tangga mereka adalah benih cinta sejati.

Keceriaan yang terpancar pada wajah mereka membuktikan Norman dan Abby sedang meniti kehidupan yang hampir sempurna pada saat ini. Kurniaan dua cahaya mata comel, Mohamed Danish Hakim, 3 dan Marissa Dania Hakim, 9 bulan, menjadi pengikat kasih mereka hingga ke akhir hayat.

“Isteri dan anak-anak banyak memberi sokongan kepada saya. Mereka adalah kekuatan saya selama ini,” ringkas kata Norman Hakim ketika ditanya rahsia kebahagiaan rumah tangganya.

Norman dan Abby ditemui pada majlis sambutan hari lahir anak sulung mereka, Danish Hakim, yang ketiga di Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketika pasangan suami isteri artis lain bercerai dan bermasalah, cinta Norman dan Abby langsung tiada goyah.Jangankan cerita negatif, angin gosip yang menggoyangkan pun tidak pernah kedengaran mengenai pasangan itu di kalangan wartawan.

Norman bercerita pada petang itu tentang kehidupan keluarganya yang tidak ubah seperti pasangan suami isteri lain. Namun, kata Norman, sebagai pelakon, dia dan Abby bertuah kerana kebetulan mereka dapat bertemu di lokasi kerana sering berlakon bersama.

“Dalam menjalani hidup berumah tangga, apa yang penting adalah bagaimana kita menyelesaikan masalah yang dihadapi,” kata Norman ramah.

Abby yang sentiasa manja di sebelah Norman juga ada pandangannya yang tersendiri.

“Kami juga ada masalah dan bergaduh setiap hari. Tetapi yang penting, kami tetap berkomunikasi. Kita harus menerima kelebihan dan kelemahan pasangan dalam menjalani kehidupan berumah tangga,” kata Abby sambil ketawa.

Majlis ulang tahun anak sulungnya, Danish Hakim, pada petang itu berlangsung meriah.

Menurut Norman, majlis itu diadakan setiap tahun kerana dia dan Abby mahu berkumpul bersama adik-beradik, sanak saudara dan rakan-rakan.

Kata Norman, faktor kesibukan masa membataskan kemesraan mereka selama ini dan majlis itu menjadi platform untuk mereka bertemu.

Sebagai ketua keluarga yang berwawasan, dia perlu sentiasa mencari peluang untuk memperteguhkan kedudukan ekonomi keluarga.

Menurut Norman Hakim, buat masa ini syarikatnya, MDH Trading & Services, yang ditubuhkan 24 Mac tiga tahun lalu bersempena tarikh kelahiran anak sulungnya terlibat secara langsung dalam bidang pengiklanan dan percetakan, pengurusan acara serta perkhidmatan penyelenggaraan bagi sektor kerajaan.

“Malah saya sengaja memilih tarikh yang sama dengan kelahiran Danish kerana ingin melihat perniagaan saya berkembang dan membesar bersama,” katanya yang bakal muncul dengan filem terbaru, Maksima, bersama Rosyam Nor dan Fahrin Ahmad pada pertengahan tahun ini.