Joyah percaya dalam pelbagai spekulasi kisah cinta antara penyanyi Siti Nurhaliza dan Datuk K, banyak yang ingin tahu tentang hati dan perasaan bekas isteri ahli perniagaan itu.
Tak kurang pembaca yang menelefon ke pejabat Joyah semata-mata kerana mahu kami mendapatkan komen dan pendapat bekas isteri Datuk K.
“Kalau media boleh mendapatkan kenyataan Datuk K dan Siti, kenapa tidak mendapatkan komen daripada bekas isterinya atau anak-anak Datuk K sekali? Sekurangkurangnya anda semua berlaku adil kepada semua pihak,” kata seorang pembaca.
Tidak kurang juga yang mahu mengetahui bagaimana rupa paras dan wajahnya. Apa reaksinya apabila Datuk K dikaitkan dengan Siti?
Menghormati kehendak pembaca kami, adalah juga kawan-kawan Joyah berusaha untuk mendapatkan komen bekas isteri Datuk K itu.
Malangnya beberapa kali dicuba rakan-rakan Joyah kata sukar sekali mahu mendapatkan komen daripada wanita berkenaan.
Malah bekas isteri Datuk K langsung tidak mahu bertemu dengan pihak media selepas isu berkenaan dibangkitkan dengan meluas. Dia macam tidak ambil peduli dengan sebarang isu yang sedang menjadi perhatian masyarakat hari ini. Kenapa macam itu pula?
Tetapi kawan-kawan Joyah faham dan akur dengan pendiriannya. Joyah sendiri dapat bayangkan bagaimana perasaan perempuan seperti bekas isteri Datuk K. Tentunya sedikit sebanyak dia berada dalam tekanan perasaan gara-gara bekas suaminya, lelaki yang pernah disayanginya, ayah kepada anak-anaknya kini digosipkan bercinta dengan penyanyi nombor satu negara. Apa kata anak-anak?
Apa kata ahli keluarga yang lain? Sebagai bekas isteri dia kena berhadapan dengan semua itu juga lambat-laun bila ada yang bertanya.
Hendak tak hendak Joyah tabik juga dengan sikap dia yang tidak mahu tampil dan membuat pendedahan. Mungkin sikap sabar dan penyayang menjadikan dia tidak sanggup untuk membuka mulut bercakap tentang hal-hal yang boleh menjejaskan nama baik pihak lain. Mungkinlah.
Dan mungkin juga salasilah keturunan kerabat diraja yang diwarisinya membuatkan dia tidak mahu terlibat dengan kisah yang remeh-temeh macam ini. Siapa tahu? [MM]