|
SABTU ini pelakon, pengacara dan model jelita, Dynas akan menjadi milik pasangannya, Hafizy Hafiz yang juga seorang pelumba kereta.
Menghitung hari menanti detik bersejarah itu tentunya menjadi saat yang paling mendebarkan bagi pelakon yang begitu sinonim dengan drama bersiri Susuk yang ditayangkan di TV3.
Seperti wanita lain, pemilik nama Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar ini berhak menentukan hala tuju hidupnya biarpun mengambil keputusan untuk berkahwin seawal usianya 25 tahun.
Seri pengantin jelas terpancar pada wajah manis Dynas pada pertemuan yang diatur baru-baru ini.
Yang pasti, kegembiraan yang sedang bertamu di hatinya kini tidak mampu diterjemahkan dengan kata-kata.
“Saya berdebar sangat. Tak sabar-sabar rasanya nak melangsungkan perkahwinan dan sempurnakan majlis secepat mungkin.
“Ibarat menunggu keputusan SPM, malah lebih berdebar daripada itu,” ringkas jawapan Dynas menggambarkan perasaannya ketika ini.
Dalam pada itu, pelakon tinggi lampai itu berharap agar majlisnya nanti dapat berlangsung dengan lancar dan sempurna.
Kesyukuran diluahkan Dynas kerana dia tidak perlu membanting tenaga berlebihan demi menjayakan detik bersejarahnya itu.
Ini kerana majlis tersebut bakal menerima tajaan besar daripada Glam Collection berupa hiasan hantaran, set pelamin, kelengkapan bilik pengantin dan juga pakaian persandingan.
Berkonsepkan persandingan raja zaman silam, Dynas bakal dinikahkan di kediaman keluarganya di Shah Alam, Selangor pada pukul 11 pagi tarikh tersebut.
“Saya sangat berterima kasih dengan pihak Glam Collection terutama Puan Rosnani dan Wan Noorizan kerana menaja perkahwinan saya,” katanya yang begitu terharu dengan tajaan eksklusif itu.
Bercerita lanjut persiapan perkahwinannya. Dynas berkata, busana yang akan dikenakan pada hari bahagianya itu tajaan Calvin Thoo yang berupa kebaya labuh berona putih.
Sementara pakaian persandingan pada malam pernikahannya merupakan sepersalinan songket berwarna emas dari Glam Collection.
Majlis persandingan pelakon itu juga bakal dilangsungkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada 22 Mac ini, pukul 8.30 malam dengan konsep yang menggabungkan ciri-ciri Islam, taman dan moden.
Syarikat jenama barang kemas terkemuka, Habib Jewel, juga tidak ketinggalan menaja set barang kemas termasuk kalung dan gelang berlian bagi menyemarakkan lagi kilauan persandingan pasangan tersebut.
Mempunyai pakej lengkap dan kecantikan yang diidamkan oleh ramai wanita, pastinya bukanlah satu perkara yang sukar bagi Dynas untuk terus bergelar anak seni biarpun menggenggam status seorang isteri selepas ini.
Menurut Dynas, dia tetap akan berlakon dan menjadi pengacara selagi peminat masih memerlukannya.
Populariti
Percaya pada rezeki yang ditentukan Allah, Dynas tidak risau andai popularitinya pudar selepas berkahwin kelak.
“Saya tak risau sebab rezeki masing-masing memang dah ditentukan oleh Tuhan. Lagipun, berkahwin bagi saya bukanlah satu kesalahan.
“Saya buat benda yang betul, jadi saya tak perlu takut. Kalau kita ikhlas dalam kerjaya sudah pasti rezeki tak akan ke mana-mana,” katanya penuh optimis.
Bagaimanapun, kata Dynas, bakal suaminya itu meletakkan syarat agar dia tidak pulang lewat setiap kali terlibat dengan mana-mana pengambaran filem mahupun drama.
“Setiap kali ada pengambaran, saya kena pastikan balik sebelum pukul 12 tengah malam.
“Sebab Hafizy kata dia tak mahu saya balik rumah lewat sampai pukul 3 pagi,” jelas Dynas berkongsi syarat yang ditetapkan bakal suami mengenai kerjaya seninya selepas ini.
Seperti pasangan lain, Dynas dan Hafizy juga merancang untuk menghabiskan detik-detik manis berbulan madu di Pulau Boracay, Filipina.
Sementara itu, Dynas yang bercita-cita untuk membuka butik pakaiannya sendiri bakal muncul menerusi filem terbaru lakonannya, Apa Kata Hati, terbitan Tayangan Unggul yang diarahkan oleh Saw Teong Hin.
Memegang watak Linda, seorang model ‘gedik’ yang sering mencari cinta di kalangan para hartawan dengan sikap suka menunjuk-nunjuk memberikan satu kepuasan baru bagi dirinya.
“Ia merupakan filem yang berunsurkan komedi. Jadi, saya seronok melakonkan watak komedi tersebut sebab ia tidak lari dari karakter saya yang sebenar.
“Saya sudah berikan yang terbaik dalam watak tersebut sebab lakonan memang kegemaran saya, harap peminat boleh terima apa yang saya cuba sampaikan menerusi watak tersebut,” kata Dynas mengharapkan sokongan padu khalayak penonton terhadap filem lakonannya itu.
Pada masa yang sama, dia juga bakal muncul sebagai pengacara rancangan Pakar Kecantikan bersama pelakon Arash Mohamad dan rancangan Permata Suri yang akan ditayangkan di RTM tidak lama lagi.
Barangkali, inilah yang dinamakan rezeki pengantin baru.
Kepada Dynas izinkan kami menjadi orang terawal mengucapkan Selamat Pengantin Baru.
Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, dan lain-lain. |