4/03/08

Tuntut ganti rugi jika putus tunang

Soalan:
Saya telah bertunang Jun lalu. Tetapi tunang saya telah memutuskan pertunangan tanpa memberi sebarang alasan. Puas saya cuba bertemu dengannya untuk mendapat cerita sebenar namun tidak berjaya.

Dia memutuskan pertunangan ketika cuma tinggal sebulan lagi tarikh perkahwinan kami. Saya sungguh malu. Tambah memedihkan lagi, segala persiapan perkahwinan seperti tempahan pelamin dan kad jemputan sudah dibuat.

Tiadakah apa-apa tindakan yang boleh saya buat ke atas bekas tunang? Bagaimana pula dengan perbelanjaan yang telah saya keluarkan untuk majlis perkahwinan kami?

- Rezeki Nuraelina,

Kuala Perlis, Perlis.

Jawapan:
Pertunangan bukanlah sekadar adat yang boleh diambil ringan. Pertunangan merupakan perjanjian antara pihak lelaki dan perempuan yang bersetuju untuk menempuh alam perkahwinan bersama.

Agama Islam mengajar kita agar mengotakan janji. Berdasarkan Ayat 1 Surah Al-Maidah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, tunaikan serta sempurnakan perjanjian-perjanjian kamu." Oleh itu, sesuatu perjanjian termasuklah perjanjian untuk berkahwin yang dibuat semasa bertunang tidaklah boleh ditamatkan melainkan adanya alasan yang munasabah.

Nabi Muhammad s.a.w juga pernah bersabda yang bermaksud: “Orang-orang Islam terikat dengan perjanjian mereka dan perkara-perkara yang mana mereka telah bersetuju.” Sahih Muslim

Undang-undang berkenaan pertunangan bagi mereka yang tinggal di Perlis ada digariskan dalam Seksyen 15 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Perlis) 2006. Menurut peruntukan perundangan ini, terdapat dua perkara yang boleh dituntut berikutan pembatalan pertunangan.

Perkara pertama adalah pemulangan sebarang pemberian pertunangan atau nilai pemberian tersebut yang telah saudari beri kepada bekas tunang.

Perkara kedua yang boleh dituntut pula adalah jumlah wang yang telah saudari belanjakan dalam membuat persediaan perkahwinan.

Dalam kes Aishah lawan Jamaludin (1978) J H 104, defendan telah memungkiri perjanjian untuk berkahwin dengan plaintif. Oleh yang demikian, plaintif menuntut pembayaran mas kahwin sebanyak RM25 dan belanja kahwin sebanyak RM800. Plaintif juga mendakwa bahawa dia berhak menyimpan cincin pertunangan yang telah diberikan kepadanya.

Dalam penghakimannya, Mahkamah Kadi Besar Negeri Kedah bersetuju dengan hujahan plaintif. Sehubungan itu, defendan diperintahkan untuk membayar ganti rugi seperti yang dipohon oleh plaintif. Plaintif juga berhak menyimpan cincin pertunangannya.

Selain itu, mahkamah juga telah memerintahkan defendan agar membayar kepada plaintif ganti rugi bernilai RM25 bagi persalinan untuk perkahwinan dan RM400 untuk perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh plaintif untuk membaiki rumah. Kos persalinan dan membaiki rumah telah dibelanjakan oleh plaintif sebagai persiapan perkahwinannya.

Berdasarkan Seksyen 15 Enakmen tersebut dan kes Aishah lawan Jamaludin, jelaslah bahawa saudari berhak mendapatkan kembali pemberian-pemberian pertunangan (jika ada) atau nilainya.

Selain itu, wang yang sudah saudari belanjakan sebagai persiapan perkahwinan juga boleh dituntut daripada bekas tunang saudari. Ini termasuklah wang belanja untuk menempah pelamin dan kad jemputan kahwin.

Tuntutan ini boleh saudari buat ke atas bekas tunang saudari sebagai pihak yang memutuskan tali pertunangan tanpa sebab yang munasabah. Ia boleh dibuat dengan memfailkan saman dan penyata tuntutan di mahkamah syariah.

Selamat Berjaya!




Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, dan lain-lain.