4/03/08

Mati lemas ketika mandi bersama tunang

Oleh: FARIK SALLEH

FAEZAH Mohd. Hanin (kanan) menenangkan bakal ibu mertuanya Kamariah Tugiran yang tidak dapat menahan kesedihan di rumah mayat Hospital Kota Tinggi, malam kelmarin.

KOTA TINGGI 8 Feb. - Kegembiraan seorang lelaki, Mohd. Faizal Zainuddin, 24, (gambar kecil) berkelah bersama keluarga tunangnya di pantai peranginan Batu Layar, dekat sini, bertukar tragedi apabila dia mati lemas dipukul ombak besar, petang semalam.

Dalam kejadian pukul 3.15 petang itu, Mohd. Faizal yang sedang mandi-manda bersama tunangnya dipercayai dihanyutkan ombak besar ke tengah laut.

Tunangnya, Faezah Mohd. Ithnin, 22, yang ditemui di Hospital Kota Tinggi (HKT) berkata, ketika kejadian, dia dan Mohd. Faizal sedang asyik mandi.

"Tiba-tiba datang ombak besar menyebabkan kami gagal berpaut pada batu dan ketika itu saya menyedari Mohd. Faizal sudah tidak kelihatan di sisi saya.

"Saya terus menjerit meminta tolong dan akhirnya mayat Mohd. Faizal berjaya ditemui orang ramai tidak jauh dari tempat kejadian," katanya.

Sementara itu, abang Mohd. Faizal, Mohd Zainal, 28, memberitahu, kali terakhir dia menghubungi adiknya pada tengah hari sebelum kejadian.

"Saya tidak nampak sebarang perubahan pada dia, melainkan dia lebih banyak diam daripada bercakap ketika saya menghubunginya," katanya.

Namun, Mohd. Faizal ada menceritakan kepadanya, bahawa dia bermimpi semua giginya di bahagian atas jatuh bertaburan.

"Dia secara berseloroh meminta saya supaya tidak lupa banyakkan bersedekah kepada anak-anak yatim," ujarnya ketika ditemui di rumah mayat HKT malam tadi.

Menurutnya, seminggu lalu, adiknya itu juga gemar memotong gambar dia bersama tunangnya, seolah-olah seperti sudah mengetahui akan pergi buat selama-lamanya.

Mohd. Faizal yang merupakan anak keempat daripada tujuh beradik itu dijadualkan melangsungkan perkahwinan dengan Faezah pada 8 Ogos ini.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam di Felda Tenggaroh Timur 1, Mersing pagi tadi.







Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, dan lain-lain.