|
BERBORAK sikit sudah mudah tersenyum. Usik sikit akan ketawa. Begitulah keadaan Mawi hari ini yang kelihatan semakin ceria.
Perubahan Mawi itu memperlihatkan dia bagaikan sedang membilang hari-hari bahagia.
Malah pemilik nama Asmawi Ani, 26, ini juga secara berterus terang mengakui hatinya sudah dimiliki seorang gadis yang bakal menjadi permaisurinya tidak lama lagi.
Siapakah gadis bertuah itu? Buat masa ini biarlah perkara itu menjadi rahsia kerana Mawi tidak mahu terlalu ghairah untuk mengumumkannya.
Tetapi apabila disebut satu nama ini, senyumannya bertambah lebar. Benarlah bak kata orang, kalau dilamun cinta, semuanya indah dan bahagia. Tahniah kepada gadis itu kerana dapat menjadi isteri kepada penyanyi lelaki nombor satu.
Detik-detik bahagia yang sedang dilalui Mawi pada hari ini turut memperlihatkan bahawa usahanya ke arah untuk membina sebuah mahligai bahagia sedang dilaksana.
‘‘Bila, masa dan tarikhnya nanti saya akan beritahu. Itu janji saya,’’ ujar Mawi.
Kata Mawi, dia bukan tidak bersedia untuk mendirikan rumah tangga pada ketika ini tetapi ada beberapa perkara dan komitmen lain yang perlu diselesaikan.
Tetapi yang paling penting calon pilihan yang berjaya mencuri hatinya itu telah berjaya mengetuk pintu jiwanya.
Ya, insan mana dalam dunia ini yang tidak mengimpikan sebuah perkahwinan. Mawi tentu juga berangan-angan untuk satu majlis seperti orang lain.
Walaupun boleh dikatakan Mawi antara artis yang mewah dengan limpahan kesenangan pada ketika ini, ujar Mawi, perkahwinan yang bakal dilangsungkan nanti mahu diadakan secara sederhana.
Bukan berkira tetapi tidak mahu menunjuk-nunjuk.
Katanya, cukup sahaja diadakan majlis akad nikah dengan majlis makan-makan yang serba ringkas.
‘‘Saya tak mahu buat majlis macam sesetengah artis lain seperti yang pernah mereka buat dalam dewan atau berkonsepkan taman.
‘‘Majlis perkahwinan yang akan saya adakan nanti cukuplah dibuat secara sederhana di kampung saya sendiri. Kalau ikutkan hati bersanding pun saya tak mahu,’’ ujar Mawi.
Saat ditanya mungkin jiwa dan perasaan pengantin perempuan yang tentunya mahu satu majlis penuh meriah ujar Mawi, dia akan cuba menasihati bakal isterinya itu supaya tidak keterlaluan.
Ini kerana sejak dahulu lagi Mawi lebih suka bersederhana dalam banyak perkara.
‘‘Pada saya, sah nikah dah cukup. Tak perlu nak buat majlis yang berlebihan,’’ tambahnya lagi.
Keterbukaan Mawi untuk membicarakan perkara itu menggambarkan cintanya dengan gadis tersebut semakin serius.
Cuma pinta Mawi, para peminat akan terus menyokong sekiranya dia membuat keputusan untuk mengakhiri zaman solonya itu. Mungkin tidak lama lagi. Siapa tahu?
Sentiasa sibuk
Baru menjejakkan kaki di Malaysia selepas mengadakan penggambaran Langkah Mawi di London, Rabu lalu dia bersama peminat berangkat ke Los Angeles, Amerika Syarikat selama seminggu.
Pulang dari percutian itu, Mawi akan bersiap sedia untuk ke Dubai, Hong Kong, Jepun dan Australia untuk penggambaran program serupa.
Akui agak penat kerana tidak sempat berehat tetapi peluang berjalan ke negara luar memberi satu pengalaman baru buat Mawi.
Bukan senang katanya hendak berjalan ke negara orang kalau dia tidak menjadi Mawi hari ini. Sebab itulah Mawi mengambil peluang tersebut dengan sebaik mungkin sementara masih bujang.
Selain sesi penjelajahan itu, pada April ini tentunya Mawi akan sibuk menghiburkan para setiausaha.
Tahun ini Mawi mendapat jemputan anjuran pusat penginapan terkenal di ibu negara.
Bertemakan Go Green, Mawi akan bergandingan dengan Mila (Akademi Fantasia Kelima) di Palace of The Golden Horses pada 4 April akan datang.
Sementara itu berkonsepkan merah dan hitam, acara gilang-gemilang yang sama akan diadakan di Perdana Grand Ballroom Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur anjuran PNB Darby Park.
Majlis itu akan diadakan pada 8 April menggabungkan Mawi dengan AC Mizal manakala seminggu selepas itu AC Mizal akan bergandingan pula dengan Sheila Majid.
Seperti persembahan pada Minggu Setiausaha tahun lalu, Mawi akan turut menampilkan gimik silap mata yang lebih hebat daripada yang pernah disaksikan penonton sebelum ini.
Dan tentunya janji Mawi, dia akan membuatkan para setiausaha terus teruja menyaksikan persembahannya nanti.
Dengan pelbagai hadiah menarik termasuklah tiket penerbangan ke Paris, PNB Darby Park menyediakan 1,000 tempat duduk untuk setiausaha menyaksikan persembahan artis anjuran mereka.
Dengan harga antara RM300++ hingga RM400++ tentunya bayaran itu berbaloi dengan hidangan makanan tentunya lazat-lazat belaka.
Mereka yang berminat untuk menyaksikan Mawi, AC Mizal dan Sheila Majid anjuran PNB Darby Park bolehlah membuat tempahan dengan menghubungi bahagian pemasaran tempat penginapan itu di talian 03-74903333.
Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, dan lain-lain. |