4/03/08

Raja Nazrin timang cahaya mata April ini

Oleh ANI AWANG

SITIAWAN 3 Mac – Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim bakal dikurniakan cahaya mata sulung pada bulan depan.

Berita gembira itu diumumkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali ketika berucap pada majlis perasmian jambatan Sungai Limau di Kampung Pasir Pandak, Lekir dekat sini hari ini.

‘‘Tuanku (Zara) kini berbadan dua. Pada April ini, insya-Allah Tuanku Raja Nazrin dan Tuanku Zara akan menimang cahaya mata sulung baginda berdua,” katanya yang disambut dengan tepukan gembira oleh orang ramai yang hadir pada majlis tersebut.

Tajol Rosli berkata demikian ketika menerangkan kepada orang ramai mengapa sejak kebelakangan ini Raja Nazrin sering hadir bersendirian pada majlis-majlis awam.

‘‘Tuanku Zara tidak dapat hadir pada majlis bersama Tuanku Raja Nazrin kerana (baginda) sedang mengandung cahaya mata sulung,’’ katanya.

Majlis pernikahan pasangan diraja itu berlangsung pada 17 Mei 2007 di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di Kuala Kangsar yang diikuti majlis pertabalan Tuanku Zara sebagai Raja Puan Besar Perak sehari kemudian di istana yang sama.

Majlis persandingan kedua-dua mempelai diraja kemudian berlangsung dalam istiadat sederhana tetapi penuh gemilang di Istana Iskandariah pada 19 Mei 2007.

Raja Nazrin kini berusia 51 tahun manakala Zara berumur 35 tahun.

Zara ialah cicit kepada Sultan Kedah ke-24, Sultan Abdul Hamid Halim Shah, manakala datuknya, Syed Omar ialah Menteri Besar Kedah yang ketiga.





Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, dan lain-lain.