13/12/09

Kembar Ekin akhiri zaman gadis

SHAH ALAM 12 Dis. - Jika tahun lepas, Ekin ditemukan jodoh dengan juara Akademi Fantasia (AF) 2005, Mawi, tahun ini, kembarnya Aain pula bertemu jodoh dengan seorang usahawan bergelar Datuk.

Beza usia 11 tahun bukan penghalang buat Aain yang merupakan pelakon siri Kawan untuk menamatkan zaman solonya dengan duda, Datuk Arif Ambrose Leonard Ng, 41.

Malah Aain atau nama sebenarnya Nora'ain Rahmat, 30, turut menjadi ibu kepada tiga anak Arif yang berusia antara tujuh hingga 16 tahun hasil perkahwinan sebelum ini.

Pasangan tersebut dinikahkan dengan mas kahwin RM300 oleh Pendaftar Kanan Nikah, Cerai dan Rujuk, Pejabat Agama Daerah Petaling, Muhamad Sujak Mohd. Dasuki di Masjid Negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini tepat pukul 12.30 tengah hari ini.

Dengan sekali lafaz, Arif yang baru memeluk Islam pada Jun lalu sah bergelar suami kepada Aain dan pasangan tersebut kelihatan berseri mengenakan busana warna putih daripada Butik Cosry.

Mereka turut bertukar-tukar dulang hantaran iaitu 11 dulang daripada Aain termasuk senaskhah al-Quran, telefon bimbit, coklat, buah-buahan, minyak wangi dan sepersalinan pakaian.

Arif pula membalas sembilan dulang hantaran termasuk senaskhah al-Quran, kek, telefon bimbit, tas tangan, alat solek dan sirih junjung.

"Alhamdulillah, rasa gementar dah habis syukur kerana semuanya berjalan dengan lancar.

"Biarpun jurang usia kami adalah 11 tahun, namun saya tidak mengalami sebarang kesukaran berkomunikasi kerana dia mudah memahami dan mudah dibawa berbincang," kata Aain.

Membimbing suaminya yang merupakan saudara baru Islam, kata Aain, sebelum berkahwin dia telah bercerita banyak perkara tentang Islam termasuklah perihal menjadi imam dan pemimpin rumah tangga selepas berkahwin.

Masih belum membuat perancangan berbulan madu, kata Aain, dia berhasrat membawa suaminya ke tanah suci, Mekah untuk menunaikan umrah tidak lama lagi.

Sementara itu, Arif ketika ditemui memberitahu, dia begitu menyenangi sikap Aain yang penyayang dan matang biarpun isterinya itu berbeza usia 11 tahun lebih muda daripadanya.

"Kami banyak persamaan, dia juga mempunyai ciri-ciri seorang isteri yang membuatkan saya tertarik kepadanya," kata Arif.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, manggis.info

Tiada ulasan: