10/12/09

Tranformasi sirih junjung


Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

DALAM adat perkahwinan Melayu, selain tarikh, mas kahwin dan wang hantaran, perkara penting yang dibincangkan ialah barang hantaran.

Barang hantaran yang bermaksud hadiah kepada pasangan, biasanya diketuai jambangan sirih junjung yang dianggap simbolik kepada penyatuan dua hati.

Walau bagaimana moden sekali pun perkahwinan itu, hantaran sirih junjung tetap dibawa bersama barang hantaran lain seperti baju, kasut, beg, haruman dan manisan.

Selari cita rasa moden, sirih junjung yang dahulunya direka penuh berseni dan tradisional menerusi gaya lipatan dan bahan digunakan kini digubah menjadi lebih moden, abstrak dan pelbagai.

Kini, hantaran turut berkonsep menerusi warna ditentukan pasangan pengantin. Konsep moden, Inggeris dengan sentuhan tradisional menjadi pilihan. Warna seperti perak, emas, firus, hijau epal, putih, merah samar malah untuk kelihatan unik, ada juga yang memilih hitam.

Jika dulu gubahan hanya bergantung kepada daun sirih semata-mata tanpa bunga-bungaan segar, kini pengantin lebih menyukai gubahan berkonsep moden menerusi pemilihan bunga segar dan hanya menyelitkan beberapa helai daun sirih yang dibentuk cantik.

Malah sekali pandang gubahan ini nampak seperti bunga meja.

Kepelbagaian gubahan sirih junjung mengikut cita rasa penggubah. Biasanya daun sirih disusun mengembang pada bahagian bawah sama ada disusun selapis atau lebih kemudian semakin mengecil pada hujungnya.

Bunga segar disulam pada celahan daun sirih menjadi gubahan yang sangat cantik dan berseni. Bunga kapur, pinang dan gambir disorok pada celahan lipatan daun sirih.

Sekiranya perjalanan jauh, percikkan sedikit air pada sirih dan kuntuman bunga segar supaya tidak layu. Ini memastikan gubahan sirih junjung tetap segar dan cantik diterima mempelai.

Langkah demi langkah:

  • 1 - Bahan diperlukan iaitu sirih, gabus, dawai bunga, lidi, reben, kertas pelilit, bekas lilin, bunga segar, bunga kapur, pinang dan cengkih.

  • 2 - Ikat reben pada gabus basah kemudian letakkan pada bekas lilin.

  • 3 - Ambil empat daun sirih cucuk pada dawai.

  • 4 - Daun sirih yang sudah dicucuk dawai diletakkan mengelilingi gabus menjadi bulatan.

  • 5 - Ambil bunga segar kemudian cucukkan pada gabus menjadi satu gubahan yang indah. Gubahan bergantung kepada kreativiti masing-masing.

  • 6 - Untuk kelainan, ambil epal hijau kemudian cucuk berselang-seli bersama kuntuman bunga.

  • 7 - Untuk bahagian atas, lipat daun sirih bersama lidi yang dibalut dengan reben rona perak.

  • 8 - Cucuk sirih pada gabus diselangselikan dengan bunga segar kemudian penuhkan dengan kuntuman bunga putih.

  • 9 - Lekatkan reben hijau pada bekas lilin.

  • 10 - Sirih junjung untuk diberikan kepada mempelai. Warna bergantung kepada tema majlis perkahwinan. Begitu juga penggunaan bunga-bungaan segar, terpulang kepada kreativiti masing-masing.
  • Ini adalah keratan akhbar dari Harian Metro untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, Manggis.info.

    Tiada ulasan: