6/04/06

Raja Shahirah bertemu semula ibu kandung

GAMBAR FAIL... Raja Kamarul Bahrin bersama dua anaknya, Raja Mohd Baharuddin dan Raja Shahirah Aishah.

CANBERRA 5 April - Seorang wanita Australia bertemu semula dengan anak perempuannya yang diseludup keluar dari Australia bersama-sama abangnya oleh bapa mereka, seorang anggota kerabat diraja Terengganu pada 1992.

Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah mengesahkan kepada akhbar News Ltd. bahawa anak perempuannya, Raja Shahirah, 21, datang ke Melbourne pada hujung minggu lepas untuk menemui ibunya, Jacqueline Pascarl-Gillespie setelah 14 tahun terpisah.

Pertemuan itu merupakan perkembangan terbaru dalam kisah perebutan hak penjagaan anak yang mendapat publisiti meluas di kedua-dua negara.

Bahrin membawa pergi Shahirah dan abangnya, Raja Mohd. Baharuddin (Iddin) dari kediaman bekas isterinya itu semasa beliau dibenarkan mengunjungi mereka di Melbourne pada 1992.

Shahirah yang berusia 7 tahun ketika itu dan Iddin, 9, diseludup keluar dari Australia dengan menaiki bot nelayan.

``Dia mahu bersama dengan ibunya, jadi saya hendak kata apa?,'' kata Raja Bahrin dalam akhbar itu.

``Sudah sewajarnya dia mahu melawat ibunya. Dia sudah dewasa sekarang, bakal mencecah umur 21 tahun,'' ujar beliau.

Raja Bahrin berkata, abang Raja Shahirah yang berusia 23 tahun masih belajar dan belum menyatakan hasrat untuk menemui ibunya.

Kedua-dua pihak tidak dapat dihubungi untuk mengulas mengenai laporan itu.

Keluarga Pascarl-Gillespie mengeluarkan satu kenyataan kepada media di kediaman mereka di Melbourne untuk meminta agar mereka tidak diganggu.

Wanita tersebut merupakan seorang penari balet berusia 17 tahun sewaktu dia bertemu dan jatuh cinta dengan Raja Bahrin, seorang pelajar seni bina di Universiti Melbourne.

Mereka melangsungkan perkahwinan di Terengganu pada Mac 1981.

Gillespie membawa kedua-dua anak balik ke Melbourne untuk menziarahi nenek mereka yang sakit pada 1985, tetapi kemudian memfailkan permohonan cerai di Australia, di mana dia diberi hak penjagaan terhadap anak-anaknya dan Raja Bahrin dibenarkan melawat mereka dari semasa ke semasa.

Dua minggu selepas kanak-kanak itu dibawa balik (diculik menurut pihak Australia) ke Malaysia pada Julai 1992.- AP/UM