6/04/06

Diana harap Mawi cepatkan perkahwinan

KUALA LUMPUR 5 April - Pelakon Diana Rafar, 24, berharap penyanyi popular Asmawi Ani atau Mawi, 25, mempercepatkan perkahwinan dengan tunangnya, Nurdiana Mohd. Naim bagi mengelak pandangan buruk peminat mengenai gosip hubungan mereka.

Diana berkata, langkah itu jika dilakukan oleh Mawi dapat menutup segala prasangka buruk masyarakat yang menganggap beliau cuba meruntuhkan hubungan antara Mawi dengan Nurdiana.

``Saya berharap mereka akan berkahwin secepat mungkin kerana saya tidak mahu orang ramai menuduh saya cuba merampas Mawi,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Gosip hubungan Mawi dan Diana tercetus apabila mereka berdua dikatakan keluar memancing di Subang Jaya baru-baru ini.

Akibat cerita itu, Mawi mendakwa menerima banyak kiriman Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada peminat yang memaki hamun gara-gara gosip cintanya itu.

Bagaimanapun Mawi tidak menafikan kenyataannya memancing dengan Diana Rafar itu adalah benar kerana tidak mahu menipu peminat.

Rentetan daripada kisah itu, bapa Nurdiana - Mohd. Naim Samijan meminta orang ramai menghentikan spekulasi dan gosip liar terhadap bakal menantunya itu demi hubungan baik anaknya dengan Mawi.

Diana berkata beliau tidak mempunyai perasaan cinta terhadap Mawi sebaliknya hubungan mereka seperti rakan artis.

Ditanya bilakah sebenarnya pertemuan pertama mereka, Diana berkata, ia bukan pada hari mereka memancing tetapi semasa Hari Raya Aidilfitri yang lalu ketika Mawi berkunjung ke rumahnya di Shah Alam bersama pengurusnya atas urusan perniagaan.

Selepas itu jelas Diana, Mawi berkunjung ke rumahnya lagi pada majlis hari lahir salah seorang anak saudaranya penghujung tahun lalu.

``Apa yang saya katakan ini adalah benar kerana tidak mahu orang menganggap seolah-olah saya yang mahu rapat dengan Mawi kerana dia bintang popular,'' katanya.

Menurut Diana lagi, akibat tersebarnya gosip itu fikirannya terganggu selain tidak dapat memberi tumpuan terhadap filem Susuk lakonannya yang sedang dalam pembikinan.

Sebagai seorang wanita Diana berkata, beliau memahami perasaan tunang Mawi yang mungkin terguris akibat gosip tersebut dan berharap gadis itu bersabar menempuh dugaan sedemikian.

Fanatik

Dalam masa yang sama, kata Diana, beliau perlu menjelaskan kedudukan yang sebenar bagi memastikan masyarakat serta peminat fanatik Mawi mendapat gambaran jelas mengenai perkara yang berlaku.

``Dengan tersiarnya penjelasan ini, saya berharap keadaan menjadi jernih dan para peminat tidak lagi mengaitkan saya mempunyai hubungan dengan Mawi untuk kebaikan semua pihak,'' katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Meastro Talent, Along Bakar menjelaskan penyanyi itu enggan menjawab sebarang soalan berhubung gosip tersebut.

Along berkata, Mawi sekarang berada dalam keadaan tertekan apabila kisah hubungannya dengan Diana menjadi bertambah hangat. [UM]