28/04/06

Cerai isteri talak satu

Siti Khalifah Sulong mencium tangan Tuan Azman Tuan Ludin selepas mereka bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Jeli, Jeli, semalam.

Oleh NIZAM YATIM

JELI 26 April - Mangsa simbahan asid, Tuan Azman Tuan Ludin hari ini secara rasmi melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya, Siti Khalifah Sulong di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Dia melafazkan cerai di hadapan Hakim Syarie Zaini Sulaiman selepas Siti Khalifah yang berdiri di sebelahnya menyatakan persetujuan dengan keputusan bakal diambil oleh suaminya tanpa memperlihatkan sebarang emosi.

Sejurus selepas Tuan Azman, 33, melafazkan perkataan tersebut, Siti Khalifah, 54, yang bertudung putih dan berbaju batik berwarna merah jambu bersalaman dan mencium tangan bekas suaminya sambil meminta segala kesilapannya pada masa lalu dimaafkan.

Ketika di luar mahkamah, Siti Khalifah yang kini ditahan di Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu sekali lagi dilihat bersalaman dan mencium tangan serta pipi bekas suaminya.

Bekas tentera itu mendirikan rumah tangga dengan Siti Khalifah di selatan Thailand kira-kira 13 tahun lalu dan mereka dikurniakan cahaya mata tunggal, Tuan Nor Safida, 11.

Tuan Azman yang juga bekas jurulatih taekwando kini cacat di muka dan badan selepas disimbah cuka getah ketika sedang tidur yang didakwa dilakukan Siti Khalifah seorang warganegara Thailand di kediaman mereka di Kampung Legeh, di sini, pada 31 Julai tahun lalu.

Kejadian itu berlaku apabila Siti Khalifah dikatakan tidak dapat menerima kenyataan bahawa bekas anggota tentera itu ingin berpoligami.

Siti Khalifah kemudiannya dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tuduhan sengaja mencederakan suaminya dengan asid mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Kes tersebut ditangguhkan sehingga 25 Mei ini kerana pihak pendakwa masih menunggu keputusan Jabatan Peguam Negara bagi menukar pertuduhan daripada Seksyen 326 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 325 yang membawa hukuman lebih ringan.

Sejurus prosiding selesai, Tuan Azman yang ditemui pemberita berkata, dia menceraikan Siti Khalifah kerana tidak mahu lagi duduk bersamanya.

``Perasaan (sayang) ada lagi, ini saya tak nafikan, tapi saya nak duduk tenang dan tak mahu dia masuk campur lagi,'' ujarnya.

Dia berkata keputusan untuk bercerai tersebut tiada kaitan dengan hasratnya untuk meneruskan perkahwinan dengan tunangnya, Noraimi Ghazali, 22, pada 9 Jun ini.

Sementara itu, Siti Khalifah berkata, dia berharap bekas suaminya itu membenarnya bertemu anak tunggal mereka, Tuan Nor Safida sebulan sekali. [UM]