Oleh KHADIJAH IBRAHIM
KUALA LUMPUR 26 April - Penyanyi irama Malaysia, Noraniza Idris bercerai talak satu dengan suaminya, Fareez pada 7 April lalu.
Fareez atau Mohd. Fauzi Mohd. Tajuddin, 43, melafazkan cerai terhadap Noraniza, 38, di rumah abang penyanyi tersebut di Desa Pandan di sini pada pukul 9.30 malam.
Menurut Noraniza atau lebih mesra dengan panggilan Ani, sewaktu Fareez melafazkan talak, ketiga-tiga abangnya ada sebagai saksi.
Katanya, kes perceraian mereka itu akan disahkan di Mahkamah Rendah Syariah, pada 4 Mei ini.
Pada 4 April lalu, Fareez pernah membuat sumpah penafian di Mahkamah Syariah bahawa dia tidak ada niat untuk menjatuhkan talak terhadap Noraniza semasa menulis khidmat pesanan ringkas (SMS) pada 7 September 2005.
Berdasarkan sumpah penafian itu dan keterangan yang diberikan pada 1 Mac lalu, Hakim Syarie Shamsudin Hussin memutuskan bahawa ikatan pernikahan antara Fareez dan Noraniza masih sah.
Namun takdir menentukan jodoh mereka tidak panjang.
Hasil perkahwinan yang dibina pada 31 Mac 1988 itu, mereka dikurniakan dua orang anak, Mohd. Alif Haikal, 17, dan Mohd Alfeq Haikal, 13.
Menurut penyanyi itu lagi, keputusan untuk bercerai diambil setelah dia dan Fareez mengadakan perbincangan dari hati ke hati bagi mengatasi kemelut yang dialami.
``Demi masa depan masing-masing, kami berbincang dari hati ke hati dan mengambil keputusan untuk berpisah.
``Dia ada kerjaya sendiri dan Ani dengan tanggungjawab Ani. Jadi setelah berbincang sebelah siang dan malamnya, bersaksikan abang-abang Ani, kami bercerai,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, walaupun keputusan itu telah mengubah segala-galanya, namun hubungannya dengan Fareez tetap baik demi anak-anak.
Menurut Noraniza, anak-anak mereka sedih dengan keputusan tersebut tetapi menerima dengan pasrah.
Buat masa ini, Noraniza berkata, anak-anaknya masih tinggal dengan Fareez dan dia akan bertemu dengan mereka pada hujung minggu.
``Ani tidak boleh mengubah rutin kehidupan mereka kerana anak-anak masih bersekolah. Kalau ada masa Ani akan bertemu mereka. Lagipun anak-anak sudah besar terpulang kepada mereka untuk ikut siapa,'' katanya. [UM]