AZMAN Nasaruddin dan Zanariah Abdullah gembira menjadi suami isteri semula selepas upacara pernikahan mereka di Kampung Parit Raja, Jalan Datuk Haji Kosai, Muar, Johor, semalam.
Oleh Suffian Abu Bakar
MUAR 9 April - Pasangan suami isteri yang diarahkan berpisah secara farakh pada 15 Februari lalu, Mohammad Nazirul Azman Nasaruddin dan Zanariah Abdullah akhirnya bernikah semula hari ini, setelah 52 hari tinggal berasingan.
Majlis pernikahan secara ringkas yang dihadiri kira-kira 50 ahli keluarga terdekat dan jiran, berlangsung di rumah ibu Zanariah di Kampung Parit Raja, Jalan Datuk Haji Kosai di sini pada pukul 4.40 petang.
Keputusan untuk bernikah semula itu dibuat oleh ibu pengantin perempuan dan secara kebetulan, tarikh hari ini jatuh pada hari ulang tahun Mohammad Nazirul Azman yang ke-24.
Majlis akad nikah pasangan itu dijalankan oleh Imam Daerah Muar, Musa Muda Al-Hafiz dan berwalikan abang kandung Zanariah yang sulung, Mohd. Bahauldin Abdullah, 25.
Saksi bagi pernikahan tersebut ialah dua saudara keluarga pihak perempuan iaitu Jalil Abdul Samad dan Muskandar Lias.
Dengan berpakaian serba kuning keemasan, Mohammad Nazirul Azman dengan sekali lafaz sah diakad nikah sebagai suami kepada Zanariah.
Zanariah, 24, dan Mohammad Nazirul Azman, yang bernikah pada 5 Februari tahun lalu telah diarahkan berpisah secara farakh oleh Mahkamah Tinggi Syariah Muar berkuat kuasa 15 Februari lalu kerana pernikahan mereka diiktiraf tidak sah.
Status pernikahan mereka itu terpaksa diputuskan oleh mahkamah syariah setelah pasangan terbabit mendakwa berlaku kekhilafan berhubung penggunaan wali hakim.
Pasangan itu sebelum ini mendakwa mereka menjadi mangsa pernikahan tersebut yang dianggap tidak sah kerana sewaktu majlis pernikahan itu, adik lelaki Zanariah berada pada majlis tersebut.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Syariah dalam surat perintah bertarikh 24 Februari baru-baru ini membenarkan pasangan itu bernikah semula pada bila-bila masa tanpa menunggu tiga kali suci (khuruk).
Mohammad Nazirul Azman dan Zanariah ketika ditemui melahirkan rasa bersyukur dan terharu kerana akhirnya mereka dapat disatukan semula sebagai pasangan suami isteri.
``Alhamdulillah sudah tentunya saya gembira dengan pernikahan hari ini dan saya sifatkan ia sebagai hadiah hari jadi yang paling bermakna buat diri saya,'' kata Mohammad Nazirul Azman.
Bagaimanapun, Zanariah terpaksa menangguhkan pernikahan mereka kira-kira sejam setelah siku tangan kanannya terseliuh ketika terjatuh di rumahnya malam semalam.
``Pada mulanya, saya bimbang juga tidak dapat meneruskan majlis pernikahan ini kerana tangan saya tidak mampu bergerak, namun saya bersyukur setelah menjalani rawatan, ia semakin pulih.
``Saya juga berharap semoga pernikahan ini akan menguatkan lagi semangat saya yang akan menduduki peperiksaan semester bermula pada 17 April depan,'' kata pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.
Menurut Zanariah, mengikut perancangan awal, dia dan suaminya berhasrat untuk bernikah semula pada penghujung Mac lalu ekoran desakan keluarga selain tidak mahu menangguhkan perancangan untuk bernikah itu terlalu lama.
Bagaimanapun, hasrat untuk bernikah itu tidak tercapai disebabkan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan. [UM]