AKAD nikah di hospital... Saad Yaakob, 76, dari Kampung Pulau Timbul, Tunjang menyarungkan cincin ke jari pasangan barunya, Safura Mat Isa, 59, selepas mereka diijab kabul oleh jurunikah Abdul Kader Ahmad dari atas katilnya di Wad Lelaki, Hospital Jitra, Jitra semalam. Majlis itu berlangsung dalam suasana cukup meriah, dihadiri anak-anak serta cucu kedua-dua pengantin tersebut.
JITRA 22 April - Indah, Suka dan Ceria. Begitulah suasananya apabila sepasang pengantin warga tua terpaksa melangsungkan majlis akad nikah mereka di wad Hospital Jitra, di sini hari ini.
Keadaan ini berlaku bukan kerana pasangan itu, Saad Yaakob, 76, dan pasangannya Safura Mat Isa, 59, sakit.
Sebaliknya tok imam yang mahu menikahkan mereka itu yang sakit dan terlantar atas katil.
Dalam keadaan imam Pida 7, Jerlun, Abdul Kader Ahmad, 76, itu masih semput-semput - sakit jantung dan darah tinggi - pasangan berdua itu akhirnya berjaya diijabkabulkan.
Majlis itu berlangsung dalam suasana cukup meriah, dihadiri oleh anak-anak serta cucu kedua-dua pengantin tersebut.
Menurut Saad yang berasal dari Kampung Pulau Timbul, Tunjang di sini, dia sama sekali tidak menyangka perkahwinan kali keduanya akan diadakan di hospital dan bukan di masjid atau rumah.
``Kami sebenarnya merancang berkahwin di rumah adik pengantin perempuan di Pida 7 tetapi sebaik sampai ke rumah tersebut pada pukul 10 pagi ini, kami diberitahu jurunikah yang sepatutnya menikahkan kami telah dimasukkan ke hospital,'' katanya ketika ditemui di Hospital Jitra di sini.
Jurunikah terbabit, Abdul Kader ditahan di wad lelaki hospital berkenaan pada pukul 10 pagi semalam, selepas doktor mendapati tekanan darahnya naik mendadak.
Saad berkata, pihak pengantin lelaki telah pergi ke hospital dan berusaha membawa jurunikah itu datang ke majlis berkenaan tetapi tidak dibenarkan oleh pihak hospital.
Sehubungan itu katanya, mereka terpaksa merancang untuk bernikah di hospital tersebut.
Katanya, mereka tidak dapat menangguhkan majlis tersebut kerana semua persiapan telah disiap dilakukan.
`Kami tidak dapat menunda pernikahan ini memandangkan lebih 300 tetamu sudah dipanggil untuk ke majlis kenduri kahwin di rumah saya tengah hari ini,'' katanya.
Saad yang mempunyai empat orang anak, 15 cucu serta dua cicit memberitahu, perkahwinan keduanya itu adalah atas keinginan anak-anaknya yang tidak mahu melihatnya keseorangan selepas kematian isteri pada Oktober tahun lalu.
Sementara itu, bagi Safura yang juga mempunyai empat orang anak, perkahwinan tersebut merupakan kali ketiga selepas perkahwinan pertama berakhir dengan perceraian manakala suami keduanya meninggal dunia November tahun lalu.
Dalam pada itu, Abdul Kader ketika ditemui berkata, pernikahan tersebut mencatat sejarah dalam kerjayanya selama 30 tahun berkhidmat sebagai imam dan jurunikah.
Abdul Kader memberitahu, ketika datang melakukan pemeriksaan, beliau tidak menyangka akan dimasukkan ke hospital berikutan masalah kesihatan termasuk lemah jantung, darah tinggi, kencing manis dan kesukarannya bernafas. [UM]