27/05/06
Jangan terlalu emosi kerana misyar
Oleh: ZULKIFLEE BAKAR (Wartawan Utusan)
JIKA Gunung Merapi di Yogjakarta baru menghembuskan asapnya tetapi di Malaysia ini sebahagian kaum wanita ibarat ‘sudah memuntahkan lavanya’.
Segalanya berikutan kenyataan Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr.Mahmud Zuhdi Abdul Majid yang mencadangkan supaya kaum lelaki dibenarkan mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.
Sudah pastilah sesetengah kaum lelaki terutamanya yang sudah berkahwin akan tersenyum dengan ‘pendedahan’ perkahwinan ini kerana ia ‘bagai pucuk dicita ulam mendatang’.
Jika sebelum ini syarat untuk berpoligami memerlukan mereka yang berkemampuan sahaja boleh menikmatinya tetapi dalam perkahwinan misyar semua itu tidak perlu.
Dalam misyar jika wanita atau gadis yang mempunyai sumber ekonominya sendiri bersetuju untuk bernikah dengan seseorang lelaki tanpa perlu menerima sebarang nafkah zahir, maka ia boleh dilaksanakan.
Maknanya bagi kaum lelaki, isteri mereka tidak boleh marah kerana ‘dia tidak kurang apa-apa’ malah mungkin akan lebih untung lagi.
Itu tafsiran lelaki tetapi tidak bagi wanita, mereka ‘bangkit” melahirkan penentangan dan seperti biasa isu penganiayaan menjadi ‘senjata’ kepada kaum Hawa untuk menentang habis-habisan biarpun perkahwinan misyar bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan Islam.
Sebenarnya, janganlah terlalu awal kita membuat rumusan bahawa perkahwinan ini akan mendatangkan keburukan, masih banyak perkara yang perlu kita perdebat dan pertimbangkan.
Sesuatu yang dibenarkan oleh Allah itu pasti ada kebaikannya, justeru isu seumpama ini perlu diperbincangkan dengan waras.
Mungkin sudah menjadi adat bagi kaum wanita, dia bersetuju jika suaminya ingin membeli rumah, dia akan tersenyum jika suaminya ingin menambah kereta dan dia juga akan masih mampu ketawa jika suami memendam cita-cita untuk bergambar dengan Aishwarya Rai, tetapi kalau menyentuh soal kahwin lagi, percayalah taufan Katrina pun tidak sekuat kemarahan mereka.
Apa pun, kita perlu rasional dalam soal misyar ini, sesungguhnya setiap manusia itu mempunyai hati dan perasaan.
Kahwin misyar bukan hanya melibatkan soal lelaki yang sudah berkahwin sahaja tetapi juga lelaki bujang.
Kita perlu ingat sesebuah perkahwinan tidak akan terbentuk tanpa persetujuan.
Jika seseorang gadis itu rela berkahwin biarpun ia tidak mendapat apa-apa nafkah zahir kerana dia berkemampuan kenapa perlu pihak-pihak lain mewakili emosinya.
Begitu juga jika seorang isteri bersedia membenarkan suaminya melakukan misyar, kenapa pihak lain pula yang berkobar-kobar untuk menghalang ‘persetujuan' itu.
Soal sama ada gadis atau wanita berkenaan akan teraniaya atau tidak ia adalah sebahagian risiko yang perlu mereka tanggung kerana persetujuan yang diberikan.
*‘Suratan atau kebetulan’
Tetapi persoalannya, berapa ramai sangatkah kita akan bertemu dengan gadis dan isteri seumpama itu?
Kadang-kala kita terlupa, bak lirik lagu Suratan atau kebetulan nyanyian Kenny, Remmy dan Martin iaitu, “sesuatu yang tidak disangka sering kali mendatangi kita, itukah suratan dalam kehidupan atau sekadar satu kebetulan.”
Justeru bagi kaum wanita, mereka perlu sedar bahawa perkahwinan bukanlah penamat kepada sebuah perasaan cinta seorang lelaki bergelar suami.
Mereka mungkin boleh menghalang dan membantah suami mereka berkahwin lain, tetapi mereka tidak akan terdaya untuk menghalang tercetus sekali lagi perasaan cinta di hati suami.
Percayalah tidak ada cinta abadi selagi kita bernama hamba Allah, cinta abadi hanya untuk Allah justeru terimalah hakikat kehidupan.
Begitulah juga dalam soal misyar ini, kenapa perlu kita menolak perkara yang dihalalkan oleh Islam sedangkan kita hanya menilainya dari satu sudut negatif sahaja.
Simpatilah kepada sesetengah kaum wanita atau gadis yang rela dimadukan atau bersedia berkorban apa sahaja demi cinta mereka kepada seorang lelaki.
Fikirkanlah bagaimana jika kita berada pada kedudukan mereka? Apakah ketika itu kita akan berhujah berdasarkan ‘matlamat menghalalkan cara?’
Justeru janganlah kita terlalu emosi dan membangkitkan banyak prasangka mengenai misyar kerana prasangkalah yang seringkali memporak-perandakan kehidupan dan memutuskan silaturahim sesama manusia. [UM]
Perkahwinan bukan taruhan
Oleh NORAINI ABDUL RAZAK (Wartawan Utusan)
APA sudah jadi dengan lelaki? Soalan ini ditanya oleh seorang kawan lelaki. Sedikit hari dulu heboh cerita lelaki nak jadi suri rumah dan dua tiga hari ini kecoh pula mereka menyokong nikah misyar.
Seperti biasa mereka menggunakan alasan mematuhi hukum syarak untuk ‘menghalalkan’ isu-isu berkaitan nikah kahwin. Fatwa yang dikeluarkan oleh ulama Arab diterima tanpa segan silu sehingga sanggup mengetepikan maruah apatah lagi harga diri golongan yang sering mendabik dada sebagai ‘gagah dan berani' ini.
Tanpa penyelidikan mengenai fatwa itu, kenapa ia dikeluarkan, siapa yang mengeluarkannya, isu nikah misyar tiba-tiba dikaitkan dengan agenda membantu golongan wanita yang lewat berkahwin dan mengelak maksiat berleluasa.
Ia seolah-olah merujuk salah satu punca bertambahnya maksiat ialah kerana wanita lewat berkahwin, oleh itu mereka perlu dikahwinkan tidak kiralah apa caranya asalkan halal di sisi agama.
Ada yang bertanya terdesak sangatkah wanita-wanita di Malaysia terutama yang berpelajaran tinggi untuk berkahwin sehingga sanggup membiarkan diri mereka dijadikan tempat memuaskan nafsu lelaki semata-mata.
Sementelah nikah misyar itu sendiri tidak mensyaratkan tanggungjawab dalam sebuah perkahwinan, pastinya lelaki memukul kompang meraikan impian yang terbayang di benak fikiran masing-masing.
Sememangnya pelik apabila menyentuh bab nikah kahwin, ada saja alasan yang tidak logik cuba dirasionalkan oleh kaum lelaki menunjukkan kedangkalan fikiran mereka apabila berhujah tentang seks dan kehidupan.
Atau adakah umat Islam kini telah menyempitkan objektif murni sebuah perkahwinan kepada hubungan seks semata-mata sedangkan hakikatnya pernikahan itu mempunyai maksud yang terlalu luas.
Terlalu menyedihkan apabila wanita bersuara mempertahankan hak mereka, ada saja suara yang melabelkan golongan ‘lemah’ ini sebagai sarat dengan emosi dan menolak hukum Tuhan.
Sedangkan dalam banyak hal berkaitan wanita ditindas, tidak diberi nafkah dan ditinggalkan begitu sahaja, kurang pula lelaki yang mahu tampil membela nasib kaum Hawa ini. Tidak mahu pula mereka memetik ayat al-Quran dan hadis yang menyentuh mengenai tanggungjawab dan sebagainya.
Saya sendiri tidak tahu jika ada lelaki yang bergelar bapa sanggup menyerahkan anaknya untuk dinikahinya secara misyar.
Islam adalah agama suci yang tidak pernah membataskan tanggungjawab kepada wanita semata-mata, hakikatnya wanita itu sendiri sering ditonjolkan sebagai insan lemah yang perlu dilindungi.
Ikatan perkahwinan yang berlangsung di antara Nabi Muhammad s.a.w dengan Saidatina Khadijah amat wajar dijadikan renungan di sebalik kegawatan isu nikah misyar ini.
Walaupun Rasulullah mengahwini seorang wanita kaya yang lanjut usia tetapi baginda tidak melepaskan tanggungjawab begitu sahaja. Baginda berniaga dan menunaikan tanggungjawab sebagai suami.
Bukankah indah jika amalan Rasulullah ini dijadikan panduan untuk memastikan perkahwinan menepati objektifnya dan tidak tersasar daripada matlamat asalnya.
*Tanggungjawab
Jika dalam hal berpoligami, Rasulullah sering menjadi rujukan kenapa tidak dalam hal memikul tanggungjawab sebagai seorang suami baik bagi lelaki yang telah beristeri mahu pun yang masih bujang dan teringin untuk bernikah misyar.
Mengapa perlu ditonjolkan soal perlunya nikah misyar dibenarkan di negara kita sedangkan hakikatnya kaum lelaki lebih gemar menjadi penghuni pusat serenti sehingga tidak mampu bertanggungjawab kepada diri sendiri.
Di Barat yang menghalalkan pasangan tinggal serumah pun meletakkan tanggungjawab kepada lelaki jika pasangan itu memperoleh anak luar nikah.
Bukan mahu mengagungkan Barat tetapi sekadar membuat perbandingan mengenai objektif perkahwinan itu sendiri yang bukan semata-mata berlandaskan seks sebaliknya mengajar suami dan isteri erti tanggungjawab.
Saya percaya banyak lagi perkara yang perlu dirisaukan oleh kaum lelaki di negara kita, usah pening kepala memikirkan kaedah untuk menarik minat wanita supaya berkahwin kerana tiada statistik yang tepat boleh membuktikan wanita ramai tidak berkahwin.
Akhir kata, sanggupkah wanita yang lembut hatinya dan sarat dengan kasih sayang berdiam diri jika suami yang dikahwininya atas nama nikah misyar meninggalkannya begitu sahaja.
Sanggupkah wanita-wanita intelek ini menahan kesayuan hati dan air matanya jika suami yang dikahwininya hanya untuk berkongsi katil. Fikirkanlah! [UM]
Nik Aziz setuju lelaki dibenar kahwin mis-yar
KOTA BHARU 26 Mei - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (kiri) bersetuju dengan cadangan supaya kaum lelaki dibenar mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.
Beliau berkata, Islam membenarkan perkahwinan seumpama itu tetapi dengan syarat mendapat keizinan wanita yang akan dikahwini dan diadakan perjanjian bertulis antara kedua-dua belah pihak.
``Mesti ada pengakuan bertulis daripada perempuan dalam perjanjian yang menyatakan bahawa saya izinkan suami tidak beri duit serta nafkah zahir lain dan tidak cukup giliran pun tidak apa,'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan Jumaat di pejabat Pas negeri di sini hari ini.
Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid kelmarin supaya perkahwinan itu dibenarkan kerana membawa pelbagai kebaikan termasuk mengurangkan perlakuan maksiat dalam masyarakat.
Perkahwinan misyar bermaksud, suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi cukup hanya dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri.
Perkahwinan seumpama ini banyak berlaku di kalangan wanita yang berkedudukan tinggi dan berpendapatan lumayan di negara-negara Arab.
Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, perjanjian bertulis hanyalah satu keperluan dari segi teknikal bagi memastikan tidak timbul sebarang masalah sekiranya isteri yang dikahwini secara misyar berubah fikiran dan membuat tuntutan untuk mendapatkan nafkah zahir di mahkamah.
Mengenai bantahan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semalam - termasuk oleh Dewan Muslimat Pas sendiri - dengan alasan masalah wanita tidak berkahwin tidak harus dilayan sebagai kes kebajikan, Nik Abdul Aziz berkata:
``Golongan wanita tidak sepatutnya rasa terhina kerana ia dibuat hanya setelah mendapat keizinan bakal isteri.
``Nak hina macam mana, dia sendiri izin, orang nak kahwin dengan saya dan saya hendak beri rumah sebuah, mari dua kali seminggu pun tak apa,'' ujarnya.
Tambah Nik Abdul Aziz, pandangan beliau itu bukan sahaja merujuk kepada rakyat Kelantan malah untuk semua orang kerana Islam itu untuk seluruh dunia.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pasti sama ada pelaksanaan perkahwinan misyar itu akan melibatkan pindaan enakmen agama Islam di negeri-negeri.
Ketua Muslimat Pas, Azizah Khatib Mat semasa menolak cadangan kahwin misyar itu semalam berkata, cara itu tidak sesuai dipraktikkan di negara ini. [UM]
26/05/06
Debat kahwin misyar -- * Menteri, mufti tolak * Persatuan Ibu Tunggal, pensyarah sokong
KUALA LUMPUR 25 Mei - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menolak cadangan supaya lelaki dibenar mengamalkan perkahwinan misyar dengan alasan tidak sesuai dengan keperluan masyarakat negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pihaknya tidak mahu mempromosikan perkahwinan misyar kepada masyarakat negara ini kerana dikhuatiri akan mendatangkan implikasi negatif.
Bagaimanapun dalam reaksi berbeza, Ketua Jabatan Dakwah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Madya Mohd. Kamil Abdul Majid dan Persatuan Ibu Tunggal Terengganu (PITT) menyokong pelaksanaan perkahwinan itu.
Ketika menegaskan pendirian kementeriannya, Shahrizat berkata, umat Islam Malaysia hari ini tidak memerlukan perkahwinan misyar.
``Kenapa perlu, jika diikutkan nisbah antara wanita dan lelaki, ia tidak ketara perbezaannya.
``Malah, isu wanita tidak berkahwin bukan satu masalah dan mereka ini tidak sepatutnya dilayan sebagai kes kebajikan, golongan ini harus dihormati.
``Jangan layan golongan ini seperti itu, sebenarnya mereka ini lebih bahagia daripada memilih untuk berkahwin,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Shahrizat mengulas cadangan Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid semalam supaya golongan lelaki dibenar mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.
Malah, Mahmud Zuhdi berpendapat, perkahwinan tersebut juga mampu mengurangkan perlakuan maksiat di dalam masyarakat.
Perkahwinan misyar bermaksud, suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi cukup hanya dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri.
Perkahwinan seumpama ini banyak berlaku di kalangan wanita yang berkedudukan tinggi dan berpendapatan lumayan di negara-negara Arab.
Shahrizat berkata, syarat asas perkahwinan menetapkan bahawa suami berperanan memberi nafkah zahir dan batin kepada wanita.
Malah, katanya, berdasarkan kajian kementerian mendapati, kira-kira 711,000 keluarga pada 1994 menunjukkan wanita menjadi penyumbang utama kepada pendapatan keluarga.
Beliau juga menegaskan walaupun perkahwinan misyar dipraktikkan di negara Islam lain, ia tidak semestinya wajib diamalkan di negara ini.
``Ini kerana, kita mempunyai cara dan budaya berbeza, tidak sama dengan negara-negara Arab terbabit,'' katanya.
Sementara itu, ketika mempertahankan hujahnya mengenai kebenaran perkahwinan misyar, Mohd. Kamil berkata, amalan itu boleh menjadi satu alternatif untuk membantu golongan wanita yang berdepan dengan masalah atau situasi tertentu.
Katanya, perkahwinan tersebut juga boleh dijadikan jalan keluar bagi menyelesaikan masalah ibu tunggal atau andartu yang berharta.
Beliau menjelaskan amalan perkahwinan misyar ini tidak melanggar hukum syarak, asalkan ia dibuat berdasarkan persetujuan di antara pihak lelaki dan wanita.
``Namun, perkara ini perlu dibincangkan dengan lebih serius serta ditetapkan beberapa peraturan atau garis panduan supaya tidak ada pihak yang teraniaya,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd. Kamil berharap, semua pihak dapat memandang isu itu dari aspek positif dan tidak hanya melihat dari sudut negatif sahaja.
Di samping itu, beliau turut menyentuh pemahaman umat Islam di negara ini mengenai definisi nafkah batin yang digunakan dalam bab nikah kahwin.
Menurutnya, apabila disebut nafkah batin, ramai yang memikirkan ia hanya berkisar perlakuan seksual semata-mata.
``Seks hanya salah satu cabang bagi maksud nafkah batin. Selain seks, berkongsi masalah, mendengar luahan isteri, berbual dan bermesra serta mendidik ajaran agama terhadap isteri juga termasuk dalam definisi nafkah batin,''katanya. [UM]
25/05/06
Datuk K, Tengku Zawiyah bincang selesai di luar mahkamah
Hakim Syarie, Muhamad Fauzi Ismail memberi pasangan itu tempoh sehingga 14 Jun depan bagi mendapat penyelesaian tersebut.
Muhamad Fauzi memutuskan demikian selepas dimaklumkan oleh peguam syarie Zulkifli Che Yong yang mewakili Tengku Zawiyah selaku plaintif dan perkara itu dipersetujui oleh peguam Muhamad Burok yang mewakili Khalid di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini hari ini.
Tambah Zulkifli, pihaknya memerlukan masa untuk meneliti kes itu memandangkan beliau baru dilantik untuk mengambil alih daripada peguam syarie yang terdahulu, Mohd. Fuad Jaapar.
Pada prosiding hari ini, Zulkifli juga membuat pindaan secara lisan dalam perenggan terakhir pernyataan tuntutan Tengku Zawiyah mengenai status sama ada beliau dan Khalid masih suami isteri atau sebaliknya.
Zulkifli menjelaskan permohonan itu dibuat ekoran dakwaan bahawa Tengku Zawiyah dan Khalid masih tinggal bersama sebagai suami isteri dalam tempoh edah walhal masa itu kedua-dua pihak tidak menyedari telah berlaku perlanggaran taklik.
Permohonan tersebut difailkan oleh Tengku Zawiyah pada 12 April lalu selepas dinasihatkan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan Keluarga Jabatan Agama Islam Selangor, Alwi Parman.
Tengku Zawiyah bertemu dengan Alwi sekitar Februari 2006 bagi membincangkan perihal hak dan tuntutan selepas perceraian dan dalam perbincangan tersebut timbul isu rujuk.
Pada 12 Februari 2005, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memutuskan bahawa berlakunya pelanggaran taklik pada Februari 2004 dan mengesahkan pasangan tersebut telah bercerai secara taklik.
Tengku Zawiyah turut diwakili oleh peguam syarie Azmi Mohd. Rais dan dibantu oleh Normawaddah Ramli.
Pihak responden turut diwakili peguam syarie Mohd. Nasir Abdul Majid dan dibantu oleh Hamirah Ab. Hamid.
Berhubung isu bantahan awal yang difailkan oleh Khalid sebelum ini, Muhamad Burok bersetuju untuk menangguhkan perkara itu sehingga mahkamah menetapkan perbicaraan sekiranya tidak mencapai persetujuan dalam perbincangan sulh.
Namun begitu, menurut Muhammad Burok pihaknya tetap akan menyerahkan satu salinan bantahan awal kepada pihak plaintif. [UM]
Syor benarkan lelaki mengamalkan perkahwinan misyar
KUALA LUMPUR 24 Mei - Seorang pensyarah universiti hari ini mencadangkan supaya kaum lelaki dibenarkan mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.
Malah menurut Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid, perkahwinan tersebut juga mampu mengurangkan perlakuan maksiat di dalam masyarakat.
Perkahwinan misyar bermaksud, suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi cukup hanya dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri.
Perkahwinan seumpama ini banyak berlaku di kalangan wanita yang berkedudukan tinggi dan berpendapatan lumayan di negara-negara Arab.
Beberapa ulama termasuk Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fatwa Muasaraahnya berpendapat nikah misyar adalah sah.
Mereka membenarkan amalan tersebut berdasarkan situasi mashalahat berlakunya ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin.
Perkahwinan misyar difatwakan harus oleh beberapa ulama negara Arab dan telah pun diamalkan di Arab Saudi serta beberapa buah negara Teluk.
Perbezaan antara perkahwinan misyar dengan mutaah ialah mutaah mempunyai tarikh atau tempoh tertentu bagi sesebuah perkahwinan manakala misyar tiada tempoh ditetapkan.
Isu nikah misyar mula menjadi tumpuan apabila beberapa pihak menggesa supaya Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa sama ada ia boleh dilaksanakan di negara ini atau tidak.
Ini kerana ada umat Islam di Malaysia yang berpendapat bahawa pernikahan tersebut merupakan salah satu cara bagi mengatasi masalah ramai wanita yang belum berkahwin.
Mahmud Zuhdi berkata, amalan perkahwinan misyar boleh dilaksanakan jika mendapat persetujuan daripada kedua-dua belah pihak.
``Jika pihak isteri bersetuju bahawa lelaki tidak perlu memberi nafkah zahir seperti menyediakan rumah, pakaian dan sebagainya, tetapi hanya bertanggungjawab terhadap nafkah batin saja, maka ia tidak menjadi masalah,'' tegasnya.
Apa yang menjadi masalah kata beliau, apabila timbul pertikaian berhubung siapa yang bertanggungjawab memberi nafkah dalam rumahtangga.
``Sekiranya tidak timbul soal siapa yang patut memberi nafkah atau siapa yang patut menanggung siapa, maka perkahwinan seperti itu tidak ada masalah untuk diamalkan.
``Apatah lagi dalam keadaan hari ini, wujudnya masalah ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin,'' jelas beliau.
Mahmud Zuhdi berkata, amalan perkahwinan misyar boleh dilaksanakan jika mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak.
``Jika pihak isteri bersetuju bahawa lelaki tidak perlu memberi nafkah zahir seperti menyediakan rumah, pakaian dan sebagainya, tetapi hanya bertanggungjawab terhadap nafkah batin saja, maka ia tidak menjadi masalah.
``Apatah lagi dalam keadaan hari ini, wujudnya masalah ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin,'' jelas beliau.
Mahmud Zuhdi berpendapat, perkahwinan seumpama itu sepatutnya dibenarkan, berdasarkan permasalahan yang berlaku pada masa kini.
Bagaimanapun, katanya perkahwinan ini harus dilakukan secara jujur dan tidak disalahgunakan bagi menganiaya kaum wanita. [UM]
21/05/06
Erra “Awie? Tak mungkinlah”
APA lagi cerita kalau bukan fasal isu perkahwinan yang perpisahan sudah berada di pintu? Ah... bosanlah hinggakan yang empunya diri pun sudah macam ‘tak kuasa’ lagi untuk menjawab tanya yang serupa.
Tentunya perkara yang sama juga mungkin menghimpit pembaca jika minggu ini Pancaindera masih menyajikan isu yang sama. Bukan begitu?
Lalu kalau bukan hal perkahwinan yang tersasar, apa lagi yang yang hendak dicoretkan tentang artis jelita ini? Banyak sebenarnya yang boleh dikongsikan.
Ayuh, kita lupakan seketika kisah peribadi yang masih belum berakhir. Biarkan saja si empunya diri menyelesaikan kemelut diri, hati dan perasaan yang berkocak, dalam tenang dan diam. Kalau ada khabar yang baru, dia sendiri akan tampil memberikan kenyataan. Oleh itu janganlah ada hati yang walang dan bimbang.
*Jalan tidak berliku lagi
Kalau saya katakan dia seorang yang bertuah, memang itu adalah kelebihan yang dipunyai oleh Erra Fazira. Jika banyak orang kecundang di tengah serabut masalah peribadi, dia tetap juga Erra Fazira yang kuat dan bersemangat dalam soal kerjaya.
Keazaman, semangat dan daya juangnya bagaikan waktu mula dia menceburi dunia seni, pada usia belasan tahun dan tahun-tahun terawal penggemar filem Melayu menggilainya.
Justeru jika pada pertengahan tahun 2006 ini kita menyaksikan perkembangan kerjaya yang cukup memberangsangkan, ia bukanlah sesuatu yang perlu dihairankan.
Erra masih mendominasi dunia lakonan terutamanya di layar lebar. Kehadiran nama-nama baru yang cantik, berbakat dan bijak mencatur kontroversi nampaknya tidak mampu menenggelamkan si pemilik nama penuh Fazira Wan Chik ini.
Bermula dengan Kabhi Kushi Kabhi Gham kemudian dilamar Slim World dan dengan kontrak Avon yang masih berjalan, Erra masih di takhtanya.
Pada ketika ini pula dia sedang sibuk di lokasi penggambaran filem terbaru Afdlin Shauki, Lost And Found di sekitar Kuala Lumpur.
“Dihimpit macam-macam masalah peribadi, perhatian Erra pada karier tidak terjejas. Alhamdulillah berkat sokongan semua pihak, Erra masih boleh bertahan dengan apa juga situasi,” kata Erra.
Dia yang terkenal sebagai orang yang kuat semangat dan cekal, berdikari sedari usia belasan tahun ternyata mampu menahan gelombang sengsara di hati dan memberi sepenuh tumpuan kepada kerjayanya.
Meskipun menyelesaikan masalah tidak semudah mengunyah dan menelan rezeki yang berada di depan mata, Erra tidak mudah larut dalam kesengsaraan peribadinya.
*Cakna cinta baru
Sensasi kisah rumah tangganya telah hampir mengabaikan kisah album barunya yang akan berada di pasaran tidak lama lagi.
Mungkin tidak banyak peminat yang tahu Erra sudah pun selesai merakamkan suara untuk sembilan buah lagu yang akan dimuatkan dalam album berkenaan. Inilah buah hati baru yang sedang dicakna olehnya pada ketika ini. Hanya tinggal sebuah lagu saja lagi belum dirakamkan.
“Sebuah lagu Bangkahulu yang Erra sendiri ciptakan melodinya,” beritahu Erra. Lirik lagu berkenaan juga turut ditulis sendiri oleh Erra.
Berjudul Wang Kite Gale, lagu berkenaan adalah impian lamanya yang baru tercapai. Semenjak sekian lama dia menginginkan lagu dalam bahasa Bangkahulu itu dipotret dalam albumnya, tetapi Erra hampa.
“Yang jadi payah sebab tak ada orang yang boleh buat macam yang Erra mahukan. Erra sudah bertemu dengan hampir 10 komposer tetapi kesemuanya tidak berani buat lagu dalam rentak yang Erra hendak. Akhirnya Erra buat sendiri sajalah lagu itu.
“Tetapi sehingga sekarang ia belum dirakamkan sebab Erra baru saja bertemu dengan orang yang sanggup membuat susunan muzik untuk lagu ini.
“Orang itu ialah Nai Kong, seorang penyusun muzik Cina. Lepas dia sudi bekerjasama, Erra makin bersemangat untuk merakamkan lagu berkenaan,” katanya yang mengakui mempunyai susur galur keturunan darah Bangkahulu.
Album yang turut memuatkan karya komposer handalan seperti Adnan Abu Hassan, Azlan Abu Hassan dan Catt ini adalah buah cintanya yang kelapan kepada dunia nyanyian. Ia juga merupakan album keempat dengan syarikat rakaman Sony BMG Music.
Ini bermakna juga album berkenaan adalah album rakaman terakhir mengikut kontrak yang telah ditandatangani tiga tahun dahulu.
“Selepas ini? Entahlah. Erra tak mahu fikir fasal kontrak dengan syarikat rakaman baru buat masa sekarang. Mahu beri sepenuh tumpuan kepada album baru, itu sajalah.”
*Kisah sedih dalam lagu
Seperti Siti Nurhaliza yang mencipta tanda tanya apabila menghasilkan lirik lagu Biarlah Rahsia, album Erra juga bakal menimbulkan kontroversi tersendiri.
Melalui lagu Adnan yang liriknya diciptakan oleh Habsah Hassan yang berjudul Impian Hanya Tinggal Harapan, pasti akan ada yang mengaitkan kisah sebaliknya dengan perjalanan hidup Erra sendiri.
Kala hal itu kami perdebatkan, Erra dengan jujur mengakui bahawa dia juga hanya manusia biasa yang tidak bisa menolak soal hati dan perasaan.
“Sejujurnya memang lagu itu berdasarkan apa yang Erra curahkan kepada penulis lirik berkenaan. Selain itu juga berdasarkan pemerhatian Kak Chah sendiri kepada diri dan kehidupan Erra selama ini,” katanya.
Erra mengakui dirinya tidak dapat lari dari himpitan perasaan kala berusaha untuk menyelesaikan kerja-kerja rakaman album berkenaan.
“Saya tidak dapat lari daripada perasaan-perasaan itu. Lebih baik kalau kita curahkan apa yang kita rasa, harapan dan impian kita dalam lagu. Itulah cara kita luahkan perasaan.
“Saya pun sama macam artis lain juga yang melahirkan rasa hati atau perasaan melalui kata-kata dan lagu. Kita mahu memberi lebih jiwa kepada sesebuah lagu, sebab itu kalau ada kaitan dengan diri sendiri ia akan lebih mendalam lagi,” katanya.
Sesi pradengar album berjudul Iya Atau Tidak ini akan diadakan minggu depan di Kuala Lumpur. Impian kehidupan yang berkecai dan mimpi-mimpi sedih antara gambaran yang banyak dicoretkan dalam album yang cukup bermakna ini.
*Awie? Mungkin tidak
Erra Fazira akan bertemu semula dengan bekas kekasihnya di lokasi? Memang satu berita yang memeranjatkan.
Saya tertanya-tanya apakah sememangnya Erra rela kalau keadaan itu berlaku?
Difahamkan pengarah filem Sumolah, Afdlin Shauki masih dalam proses ‘memujuk’ Erra untuk bersedia bergandingan dengan Awie di dalam filem berkenaan.
Jika kedua-duanya setuju, Erra dan Awie bakal bergandingan sebagai pasangan kekasih di dalam filem yang turut menampilkan nama-nama seperti Gurmit Singh, Radhi Khalid dan Afdlin sendiri.
Ditanya mengenai hal berkenaan, Erra mengambil masa yang agak lama untuk memberikan penjelasan. Mungkin tidak mahu ada mana-mana pihak yang tersentuh, kata Erra, sehingga ke hari ini dia belum membuat sebarang keputusan.
“Memang ada tawaran, tetapi Erra belum buat keputusan muktamad lagi. Ada kemungkinan besar sukar untuk saya menerima tawaran berkenaan. Tengoklah dulu, kena fikir panjang-panjang ni, tetapi mungkin tidak kut,” katanya.
Selain penggambaran filem berkenaan bakal bertembung dengan jadual promosi album barunya, Erra tidak mahu kesudian berlakon bersama lelaki yang pernah menjadi tunangannya itu menimbulkan macam-macam kontroversi lain.
“Sebab itu saya kata payah untuk saya terima tawaran itu. Saya tak mahu mengundang benda-benda yang remeh-temeh lagi. Nanti kalau kami berlakon bersama hal-hal yang lebih kecoh akan timbul.
“Sekarang pun awak tengoklah. Belum apa-apa orang sudah sensasikan. Jadi baiklah saya fikir panjang-panjang dulu, bincang dengan semua pihak sebelum buat apa-apa keputusan.
“Lagipun saya kena tumpukan kepada album pula selepas ini, tak sempat hendak buat semua dalam satu masa,” katanya memberi jawapan cukup beralas.
Jika begitu kenyataannya, saya menyokong keputusan Erra jika tidak menerimanya. Luka yang lama janganlah dirobek semula. Kelak mengundang kudis baru yang tidak mampu kita jangka.
Sememangnya dalam keadaan sekarang Erra perlu menjaga hati banyak pihak supaya tidak tercalar dengan hal-hal yang tidak terduga lagi. [MM]
Isteri pegang janji suami
Katanya, dia sendiri akan membantu Ezuanmi berbuat demikian dengan memberinya semangat untuk berubah.
``Saya akan melawatnya di pusat itu pada setiap bulan. Saya percaya suami saya tidak akan mengulangi perbuatan lama dan kami berharap dapat membina kehidupan yang bahagia selepas ini,'' ujarnya yang akan tinggal bersama keluarganya di Sungai Petani sementara menanti suaminya dibebaskan - dua tahun lagi.
Katanya, dia dan keluarganya terperanjat sebelum ini apabila Ezuanmi ditahan di pusat berkenaan tetapi selepas berbincang dan mengambil kira kasih sayangnya terhadap tunangnya, mereka bersetuju agar disatukan sahaja walaupun di dalam pusat serenti. [MM]
Ezuanmi tekad jauhi dadah
KANGAR 20 Mei - ``Atas nama isteri yang sanggup berkorban mengahwini saya, saya berjanji tidak akan mengambil lagi ganja, syabu dan ekstasi,'' kata Mohd. Ezuanmi Azmi, 23, yang diijab kabul dengan Najaa Farhana Roslan, 20, Khamis lalu, walaupun masih ditahan untuk selama dua tahun lagi. Janji itu diucapkan di hadapan Najaa Farhana disaksikan wartawan Mingguan Malaysia, Muhd. Nizam Abd. Hamid di sini hari ini. Ezuanmi berkata, dia tidak akan melupakan pengorbanan isteri dan keluarga mertuanya yang bersedia untuk menerimanya sebagai ahli keluarga mereka walaupun selepas dia ditahan di pusat serenti itu pada Februari lalu kerana menagih ganja. ``Saya begitu terharu dengan kesediaan Najaa yang masih sudi menerima saya dan berjanji tidak akan mengulangi tabiat mengambil dadah. Saya mahu berubah dan membina kehidupan baru,'' katanya ketika ditemui di rumah datuknya di Kampung Paya dekat sini hari ini. Hari ini merupakan hari terakhir dia diberi `cuti berkahwin' oleh pihak Pusat Serenti Bukit Chabang, Padang Besar - sebelum menyambung semula hukuman untuk dua tahun lagi. Khamis lalu, pusat serenti itu meraikan pasangan mempelai itu dalam satu majlis di situ. Menurut Ezuanmi, perkahwinan itu bermakna dia bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami dan serentak itu juga dia perlu meninggalkan tabiat mengambil dadah. Katanya, dia begitu menyesal dengan perbuatannya selama ini yang mengambil dadah jenis ganja, syabu dan juga pil ekstasi gara-gara mahu menghilangkan tekanan perasaan di tempat kerja dan juga kerana mahu bersuka-suka dengan rakan. ``Kadang-kadang apabila menghadapi tekanan dan sukar untuk tidur malam, saya akan mengambil ganja dan hilang sekejap masalah itu tetapi keesokan harinya masih lagi menghadapi tekanan,'' ujarnya yang pernah berazam untuk berhenti mengambil dadah tetapi tidak mampu menolak apabila ada rakan-rakan yang datang menawarkan dadah kepadanya. Ezuanmi yang ditahan di pusat serenti itu selepas ujian air kencingnya positif berkata, dia bernasib baik kerana ditahan di situ yang memberinya peluang untuk memperbaiki diri dan menghentikan tabiat mengambil dadah. Kalau dulu katanya, dia tidak begitu kisah tentang pengambilan dadah kerana hidup seorang diri tetapi kini dia sedar tentang tanggungjawabnya terhadap seorang wanita yang amat dicintainya. Selepas diberikan pelepasan untuk bersama dengan isterinya, Ezuanmi berkata, dia akan memasuki semula pusat itu esok bagi menjalani rawatan pemulihan bagi tempoh dua tahun dan berharap dapat dibebaskan lebih awal. [UM] |
15/05/06
Anne kahwin 26 Mei ini
KALAU sudah sampai seru apalagi yang boleh diperkatakan. Itulah ungkapan yang paling sesuai ditujukan kepada bakal pengantin muda Anne Ngasri.
Anne yang akan menamatkan zaman bujangnya pada 26 Mei ini ketika usianya 22 tahun menganggap perkahwinan bukanlah satu beban yang besar.
Ketika ditanya mengenai persiapan perkahwinan yang akan diadakan di rumahnya di ibu kota, dalam nada ceria Anne berkata, “Segala persiapan dah dibuat. Alhamdulillah setakat ini saya rasa segala-galanya berjalan dengan lancar.”
Memilih jejaka Abdul Wafie Hassan, 25, sebagai suaminya, Anne tidak menyesal berkahwin muda.
“Dah sampai seru dan saya sendiri membuat keputusan tersebut. Cuma ketika ini saya mengaku saya agak gementar menantikan tarikh 26 Mei nanti,” katanya yang akan mengenakan pakaian perkahwinan tajaan Seri Delima dan Cosry.
Anne dan Wafie telah mengikat tali pertunangan pada 12 Mac lalu setelah berkenalan selama hampir lima bulan.
“Bagi saya, lama atau sekejap tempoh perkenalan itu tidak penting. Apa yang penting adalah keserasian dan kesefahaman,” kata Anne ramah.
Tambah Anne lagi, setelah bergelar isteri dia mungkin akan mengurangkan aktiviti seninya.
“Saya akan tetap berlakon cuma tak sepenuh masa. Dan kalau nak berlakon, saya akan pilih watak yang bersesuaian dengan status saya sebagai isteri.
“Kalau ada rezeki mungkin juga saya akan menyambung pelajaran. Tapi apa jurusannya, saya belum tentukan lagi,” kata Anne.
Beralih perbualan mengenai perkembangan seninya, Anne berkata, drama bersiri Dunia Baru lakonannya sedang ditayangkan di TV3 pada setiap Khamis pukul 9.30 malam.
“Lain-lain projek baru belum ada sebab saya menumpukan perhatian kepada perkahwinan saya.” [UM]
13/05/06
Lelaki jadi suri rumah mula diterima
CYBERJAYA 12 Mei - Fenomena lelaki meninggalkan kerjaya dan menjadi `suri rumah' manakala isteri keluar bekerja serta menyara keluarga, semakin diterima di kalangan masyarakat khususnya di bandar-bandar besar di negara ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kementeriannya menyedari fenomena tersebut tetapi yang paling mustahak ialah setiap pasangan membuat pilihan sendiri untuk menjalani kehidupan sedemikian.
Katanya, kementerian tidak mempunyai statistik mengenai trend tersebut tetapi melalui pemerhatian beliau sendiri, fenomena yang jarang berlaku pada masa dahulu, kini sudah semakin menular dalam masyarakat Malaysia.
``Jika ia benar-benar berlaku, saya melihat ia sebagai satu keadaan yang memupuk suasana mesra wanita di tempat kerja. Walaupun kelonggaran ini semakin diamalkan di sektor awam tetapi pihak swasta masih enggan menerimanya.
``Ketika ini, perubahan polisi di peringkat swasta untuk kemudahan pekerja wanita seperti membenarkan suami bercuti panjang ketika isteri bersalin, menyediakan taska atau tadika dan pelbagai lagi, sungguh tidak memuaskan langsung,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan TV3 Wanita Hari Ini (WHI) sempena sambutan Hari Ibu di Cyberview Lodge Resort & Spa, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Shahrizat berkata, bagi menangani perubahan paradigma itu, kerajaan perlu melihat kepada keperluan dan kemahiran yang dimiliki oleh golongan bapa untuk mengisi fenomena tersebut.
Katanya, secara semula jadi, wanita bersifat keibuan dan cara mereka mendidik anak-anak sangat berbeza daripada lelaki.
``Ini menyebabkan golongan bapa perlu belajar ilmu kebapaan untuk menjadi pengurus rumah tangga yang baik.
``Namun, anak-anak memerlukan kedua-duanya - ibu dan bapa - ketika membesar dan bagi melengkapkan kehidupan keluarga. Kita tidak boleh biar anak-anak ini ketandusan kasih sayang seorang ibu,'' katanya.
Isu fenomena songsang - lelaki mengambil peranan isteri sebagai pengurus rumah tangga sementara isteri keluar bekerja - dibincangkan oleh Fellow Kanan Institut Kefahaman Islam, Siti Fatimah Abdul Rahman dalam ruangan Wacana Islam, Utusan Malaysia hari ini.
Siti Fatimah berkata, punca utama menyebabkan pasangan suami isteri membuat keputusan itu ialah kesukaran mendapat kemudahan penjagaan anak yang memuaskan hati. [UM]
Langgar syarak - Mufti -- Suami mengurus rumah, isteri keluar mencari nafkah
Oleh NORLIZAH ABAS
KUALA LUMPUR 12 Mei - Fenomena songsang suami menjadi suri rumah, manakala isteri keluar mencari rezeki wajar dihentikan kerana ia jelas melanggar hukum syarak.
Mufti Johor, Datuk Noh Gadut menegaskan, keadaan itu jika berterusan boleh menyebabkan sesuatu perkahwinan tidak beroleh keberkatan.
Menurutnya, tanggungjawab suami sebagai pemimpin dan pencari nafkah keluarga jelas dinyatakan dalam al-Quran, antaranya surah an-Nisa ayat 34 dan surah al-Baqarah ayat 233 serta hadis nabi, ijmak ulama dan qias.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu diharuskan dalam keadaan darurat seperti suami berpenyakit, tetapi ia perlu diredhai oleh isteri serta disertai tolak ansur.
``Islam memandang serius fenomena lelaki menjadi pengurus rumah tangga kerana ia didapati lari daripada fungsi sebenar suami.
``Tindakan itu tidak tepat kerana menyimpang jauh daripada hukum Islam yang akhirnya dikhuatiri menyebabkan rumah tangga tidak tenteram,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Noh mengulas rencana Wacana Islam dalam Utusan Malaysia hari ini yang menekankan bahawa suami wajib mencari nafkah keluarga, bukannya menjadi pengurus rumah tangga.
Pendapat itu yang diutarakan oleh Fellow Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Siti Fatimah Abdul Rahman menyatakan, aturan suami sebagai pengurus rumah tangga melanggar ketetapan Allah bahawa tanggungjawab memberi nafkah terletak pada bahu suami.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Perunding Wanita, Datuk Kamilia Ibrahim turut sependapat dengan Noh kerana fenomena tersebut boleh memecahbelahkan institusi kekeluargaan.
Menurutnya, jika suami tidak mampu memikul tanggungjawab sebaik mungkin, ia dibimbangi menimbulkan perasaan tidak puas hati kepada isteri yang akan berakhir dengan perselisihan faham.
Kamilia menjelaskan, tanggungjawab suami amat ditekankan dalam Islam hinggakan jika berlaku penceraian, mereka wajib memberi nafkah kepada isteri dan anak ketika masih dalam edah.
Katanya, hukum asas yang telah ditentukan oleh Allah jika tidak dipatuhi akan menimbulkan ketidakseimbangan dalam perkahwinan dan menyebabkan rumah tangga kucar-kacir. [UM]
12/05/06
Norman, Abby rujuk semula
Oleh SUWARNI MOKHTAR
KUALA LUMPUR 11 Mei - Keutuhan kasih sayang mereka terbukti apabila pasangan pelakon, Norman Hakim dan Abby Abadi rujuk semula dalam masa kurang lima minit selepas memfailkan permohonan pengesahan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini hari ini.
Lafaz rujuk itu diucapkan di hadapan Penolong Pendaftar Nikah Rujuk dan Cerai, Mohamed Shouib Awalludin lebih kurang pukul 10.45 pagi.
Sebelum itu, kedua-dua mereka memfailkan permohonan pengesahan cerai di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah, Harun Hashim.
Kedua-dua permohonan mereka akan disahkan oleh Hakim Syarie, Muhammad Fauzi Ismail pada 18 Mei depan.
Norman atau nama sebenar Mohamed Nurhakim Zaidon, 30 dan Arbaieyah Abdul Manan, 28, atau Abby, bercerai talak satu pada 5 Mei lalu di Jalan Raja Laut di sini.
Ketika ditanya apakah punca kejadian sehingga menyebabkan lafaz cerai diucapkan, Norman menjelaskan kedua-dua mereka berada dalam keadaan tertekan dan kritikal.
Pada ketika itu, Abby mencelah mengatakan punca jatuhnya talak adalah disebabkan kesilapan dirinya yang terlalu mendesak dan pada saat itu, beliau tidak dapat menahan diri terus menangis lantas menyembamkan mukanya ke dada Norman.
Apabila ditanya mengenai kehadiran orang ketiga dalam rumah tangga mereka, Abby dengan tegas menyatakan: ``Buat masa ini saya tidak akan maafkan dia.
``Kalau boleh saya hendak dia tahu betapa sakitnya saya terpaksa melalui semua ini'', ujar Abby.
Sementara itu Norman berkata, mereka berdua berhasrat menunaikan umrah bersama anak-anak sebagai usaha untuk membina kehidupan baru. [UM]
Suami wajib mencari nafkah keluarga
BARU-baru ini sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa bilangan suami yang menjadi suri rumah tangga semakin meningkat. Ini bermakna, suami berhenti bekerja dan menjadi pengurus rumah tangga, manakala isteri meneruskan kerjayanya di luar rumah.
Walaupun tiada data rasmi mengenainya, namun dipercayai bahawa semakin banyak pasangan suami isteri yang membuat keputusan seperti ini dalam usaha untuk menjayakan perkahwinan mereka.
Punca utama yang menyebabkan pasangan suami isteri membuat keputusan ini ialah kerana kesukaran untuk mendapatkan kemudahan penjagaan anak yang memuaskan hati.
Mengambil pembantu rumah tidak menjadi pilihan kerana mereka merasakan kehadiran pembantu ini mengganggu privasi.
Menghantar anak-anak ke pusat asuhan juga dianggap tidak sesuai kerana tahap penjagaan yang kurang memuaskan hati.
Maka, keluarga yang dalam keadaan ini memutuskan bahawa adalah wajar si suami berhenti kerja dan menguruskan rumah tangga, manakala isteri terus bekerja dan secara tidak langsung menjadi pencari nafkah keluarga.
Ada yang melihat suami-suami yang memilih menjadi suri rumah tangga sebagai kumpulan yang mengalami perubahan paradigma kerana sebagai lelaki, mereka sanggup membuat kerja-kerja yang selama ini dilakukan oleh wanita.
Oleh kerana itu, keputusan mereka dipandang mulia dan terpuji. Namun, wajarkah aturan seperti ini berlaku dalam keluarga Islam?
Wajarkah seorang suami yang beragama Islam menjadi pengurus rumah tangga, manakala isterinya menjadi pencari dan pemberi nafkah untuk keluarga tersebut?
Pastinya, tidak wajar. Aturan ini tidak wajar bukan kerana Islam menghalang suami dari melakukan kerja-kerja rumah.
Malah, suami amat digalakkan untuk membantu isteri di rumah sebagaimana Rasulullah s.a.w. pernah membantu isteri-isteri Baginda.
Aturan ini tidak wajar kerana ia melanggar ketetapan Allah bahawasanya dalam keluarga Islam, tanggungjawab nafkah terletak di bahu suami (An-Nisa’:34).
Ini bererti, dalam keluarga Islam, golongan suami yang wajib bekerja untuk mencari nafkah dan bukannya isteri.
Walaupun Islam tidak melarang wanita untuk keluar bekerja, tetapi wanita bekerja bukan untuk menanggung nafkah keluarganya.
Melainkan dalam keadaan-keadaan tertentu seperti suaminya berpenyakit dan tidak boleh bekerja atau wanita itu merupakan seorang ibu tunggal, si isteri terpaksa menjadi pencari nafkah untuk keluarganya.
Jika dia redha dengan aturan tersebut, maka itu adalah lebih baik baginya. Sebaliknya, jika dia tidak reda, tiada kesalahan baginya kerana waris suami perlu memainkan peranan mereka seperti yang termaktub dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 233.
Sekiranya suami tiada halangan untuk bekerja, mereka perlu menanggung nafkah keluarganya. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang membawa maksud: “Jika seseorang itu mencari kayu api dan menjualkannya, itu adalah lebih baik dari dia meminta-minta”.
Demikianlah kerasnya tuntutan Islam agar kita berusaha mencari rezeki.Justeru, walaupun gaji isteri 10 kali ganda berbanding suami, suami masih perlu memberi nafkah kepada isterinya.Jumlah nafkah sebenarnya bergantung kepada kemampuan suami.
Jadi, tiada isu bahawa apa yang diberi oleh suami tiada nilai di sisi isteri. Yang penting, nafkah itu dapat menampung keperluan keluarga tersebut.
Di zaman serba canggih dengan teknologi maklumat (IT) ini, memang wujud banyak kesempatan untuk bekerja dari rumah.
Malah, ramai yang kini mencari rezeki dari bilik tidur mereka sendiri dengan menggunakan Internet.
Sekiranya suami-suami tadi tidak bekerja di luar rumah tetapi masih mempunyai pendapatan dengan bekerja dari rumah dan menggunakan pendapatan tersebut untuk keluarga, maka aturan ini boleh diterima oleh Islam.
Namun, jika suami tadi hanya menjadi pengurus rumah tangga tetapi tidak membawa nafkah, maka itu adalah sesuatu yang amat tidak wajar.
Malah, isteri boleh menuntut fasakh sekiranya suami gagal menunaikan tanggungjawab nafkahnya untuk tempoh yang tertentu.
Sebagai orang Islam, kita sepatutnya bersyukur kerana dianugerahkan al-Quran dan Sunah sebagai panduan untuk mengatur kehidupan kita.
Jadi, apa perlunya menoleh ke Barat?
Jika fenomena suami menjadi suri rumah tangga ini semakin ketara di Barat, mestikah ia juga berlaku dalam masyarakat kita?
Akan mundurkah masyarakat kita jika fenomena yang sama tidak berlaku di sini?
Bagi masyarakat yang tiada panduan, apa sahaja boleh berlaku. Tetapi tidak bagi masyarakat Islam. Jika masyarakat Hadhari menjadi matlamat kita, ini adalah antara perkara-perkara yang perlu dihentikan segera. [UM]
9/05/06
Nasir berjaya tambat hati keluarga Samira
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
SIAPA menyangka perkenalan antara Samira Dumont Ahmad, 25, dan Nasir Hadrien Dumont, 32, yang hanya bermula sebagai rakan sekerja telah melahirkan bibit cinta.
Pasangan yang bekerja di Schlumberger WTA (M) Sdn. Bhd. ini tidak pernah terfikir yang jalinan persahabatan mereka berakhir dengan perkahwinan.
Dua tahun lalu, Samira dan Nasir hanya berkenalan sebagai sekadar rakan sekerja tanpa ada perasaan cinta dalam hati masing-masing.
Hubungan mereka menjadi akrab melalui ruang chatting di internet ketika Samira berkursus selama tiga bulan di United Kingdom.
Sekembalinya Samira ke Malaysia, tanpa dirancang mereka bertemu sewaktu masing-masing ingin melakukan pemeriksaan perubatan.
Kemudian, pada hari yang sama mereka menonton wayang dan mula berbicara tentang diri masing-masing. Setelah memahami isi hati masing-masing mereka mula jatuh cinta.
“Sebelum ini, perbualan kami hanya berkisar tentang hal-hal kerja. Selepas pertemuan itu, kami mula berkongsi minat dan hobi.
“Syukur sekarang kami telah disatukan,” kata Samira yang kini bertugas di bahagian kejuruteraan cawangan syarikatnya di Labuan.
Pasangan ini turut mengakui mereka sebelum ini sukar menerima dan mendekati rakan yang berlainan agama, budaya dan bangsa.
“Sebelum mengenali Samira, saya jarang berbual dengan wanita Melayu terutama mereka yang bertudung. Akhirnya saya sedar walaupun saya dan Samira berbeza dari segi budaya dan agama, kami adalah manusia yang sama,” jelas Nasir yang berasal dari Belgium.
Menurut Samira, pada peringkat awal, keluarganya memang menentang hubungan cinta mereka, tetapi keluarga Nasir lebih terbuka dan dapat menerimanya.
Begitupun, Samira dan Nasir mengambil keputusan untuk mendapatkan restu daripada kedua-dua buah keluarga terutama keluarga Samira terlebih dulu sebelum mengorak langkah seterusnya.
“Bagi saya, restu ibu bapa itu penting. Enam bulan sebelum majlis perkahwinan kami, saya pergi ke Belgium untuk bertemu keluarga Nasir. Alhamdulillah, keluarganya menerima saya dengan hati yang terbuka.
“Selepas itu, Nasir melawat keluarga saya di Kuala Lumpur. Malah, pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu, Nasir menyambutnya bersama keluarga saya di kampung di Alor Star, Kedah,” ujar Samira.
Samira memberitahu, Nasir pandai mengambil hati keluarganya dan cepat mesra dengan adik-beradiknya yang lain.
“Selepas kunjungan Nasir ke kampung saya, keluarga saya dapat menerima Nasir. Saya begitu menghormati cara Nasir menambat hati keluarga saya,” jelas Samira.
Pasangan ini mengambil keputusan bernikah pada 18 Disember 2005 setelah berjaya mendapat restu daripada kedua-dua keluarga.
“Emak dan abang saya telah mengaturkan majlis akad nikah kami yang kemudian disusuli dengan majlis persandingan di hotel,” katanya.
Pada majlis persandingan itu, pasangan tersebut memilih konsep tradisional dan songket sebagai tema utama.
“Kami ingin mewujudkan suasana harmoni sebagai simbolik kepada satu ikatan keluarga yang membolehkan kedua-dua buah keluarga menjalin hubungan mesra sambil mengenali antara satu sama lain.
“Selain makanan tradisional, pihak hotel turut menyediakan makanan pencuci mulut cita rasa Eropah,” jelas Samira.
Menurutnya, majlis persandingan dimulakan dengan acara tarian zapin yang dipersembahkan oleh kanak-kanak yang dijemput khas dari Johor.
Atas permintaan pasangan itu juga, majlis dikendalikan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Perancis dan Inggeris.
Tidak seperti kebanyakan wanita sekarang yang lebih gemar memakai gaun perkahwinan yang nampak moden, Samira kelihatan menawan dengan persalinan songket.
Nasir pula kelihatan seperti pahlawan Melayu dan tampak kacak berbaju Melayu.
“Bagi saya, memakai songket merupakan pengalaman yang indah. Rekaannya yang cantik perlu diperkenalkan di peringkat antarabangsa,” jelas Nasir.
Ditanya tentang kunci kejayaan hubungan mereka, Samira dengan rendah diri berkata, mereka bukannya pasangan yang terbaik untuk memberi nasihat kerana baru sahaja berkahwin.
Namun bagi Samira, suami isteri yang mempunyai latar belakang yang berbeza perlu bertoleransi dan bertolak-ansur.
“Komunikasi juga penting dalam perhubungan. Selain itu, kursus kahwin yang diwujudkan di negara ini perlu digunakan sebaik-baiknya oleh bakal pengantin. Peluang ini amat penting untuk mengajak pasangan kita memahami keperluan dan nilai-nilai perkahwinan dalam Islam,” jelasnya.
Kini usia perkahwinan Samira dan Nasir masuk empat bulan dan seperti pasangan lain, kedua-duanya berharap mahligai yang dibina ini kekal hingga ke akhir hayat. [UM]
8/05/06
Kisah cinta Siti Nurhaliza untuk laris album?
Adakah semua ini sebahagian daripada spin yang sudah menjadi budaya bidang politik dan hiburan yang bermula di Hollywood sebab pakar-pakar pemasaran sudah mendapati bahawa untuk melariskan sesuatu barangan ia mesti juga dibuat menerusi apa yang dikatakan cross merchandising?
Bidang politik dan hiburan sekarang dikuasai oleh pakar-pakar pemasaran dan perhubungan awam (istilah Inggeris spin doctors) sama ada untuk melariskan barang atau menyelamatkan keadaan cemas dan cerita atau kejadian tidak baik yang boleh merosakkan imej.
Pakar-pakar iklan di zaman ini sedar bahawa setiap pengguna mesti diberitahu dan diperingatkan tentang sesuatu barangan atau kegilaan.
Umpamanya pembeli mesti diberitahu tentang sesebuah filem atau lagu itu bukan sahaja menerusi saluran biasa malah ketika dia pergi membeli mi segera atau kereta baru.
Cuba fikirkan, akhir-akhir ini timbul lagi cerita cinta dan kahwin Siti Nurhaliza ketika keluar album terbarunya.
Ini ditambah pula dengan satu iklan produk kecantikan terbarunya. Adakah ini hanya berupa satu spin?
Kalau saya tidak silap, Siti sendiri yang memulakan cerita cinta dan kahwin. Bagaimanapun kisah cinta dan kahwin Siti ini sudah menjadi satu industri kecil dan selagi ia berada di zon positif maka ini tentu akan membantu jualan album dan teh Siti.
Saya agak apabila Siti kahwin nanti majlis besar itu tentu akan diabadikan dalam bentuk DVD atau VCD seperti Erra-Yusri dulu yang kemudian boleh dijual atau digunakan untuk terbitan-terbitan akan datang.
- SAAD HASHIM, Kampung Melayu, Ampang. [UM]