27/05/06

Perkahwinan bukan taruhan

BANTAH
Oleh NORAINI ABDUL RAZAK (Wartawan Utusan)

APA sudah jadi dengan lelaki? Soalan ini ditanya oleh seorang kawan lelaki. Sedikit hari dulu heboh cerita lelaki nak jadi suri rumah dan dua tiga hari ini kecoh pula mereka menyokong nikah misyar.

Seperti biasa mereka menggunakan alasan mematuhi hukum syarak untuk ‘menghalalkan’ isu-isu berkaitan nikah kahwin. Fatwa yang dikeluarkan oleh ulama Arab diterima tanpa segan silu sehingga sanggup mengetepikan maruah apatah lagi harga diri golongan yang sering mendabik dada sebagai ‘gagah dan berani' ini.

Tanpa penyelidikan mengenai fatwa itu, kenapa ia dikeluarkan, siapa yang mengeluarkannya, isu nikah misyar tiba-tiba dikaitkan dengan agenda membantu golongan wanita yang lewat berkahwin dan mengelak maksiat berleluasa.

Ia seolah-olah merujuk salah satu punca bertambahnya maksiat ialah kerana wanita lewat berkahwin, oleh itu mereka perlu dikahwinkan tidak kiralah apa caranya asalkan halal di sisi agama.

Ada yang bertanya terdesak sangatkah wanita-wanita di Malaysia terutama yang berpelajaran tinggi untuk berkahwin sehingga sanggup membiarkan diri mereka dijadikan tempat memuaskan nafsu lelaki semata-mata.

Sementelah nikah misyar itu sendiri tidak mensyaratkan tanggungjawab dalam sebuah perkahwinan, pastinya lelaki memukul kompang meraikan impian yang terbayang di benak fikiran masing-masing.

Sememangnya pelik apabila menyentuh bab nikah kahwin, ada saja alasan yang tidak logik cuba dirasionalkan oleh kaum lelaki menunjukkan kedangkalan fikiran mereka apabila berhujah tentang seks dan kehidupan.

Atau adakah umat Islam kini telah menyempitkan objektif murni sebuah perkahwinan kepada hubungan seks semata-mata sedangkan hakikatnya pernikahan itu mempunyai maksud yang terlalu luas.

Terlalu menyedihkan apabila wanita bersuara mempertahankan hak mereka, ada saja suara yang melabelkan golongan ‘lemah’ ini sebagai sarat dengan emosi dan menolak hukum Tuhan.

Sedangkan dalam banyak hal berkaitan wanita ditindas, tidak diberi nafkah dan ditinggalkan begitu sahaja, kurang pula lelaki yang mahu tampil membela nasib kaum Hawa ini. Tidak mahu pula mereka memetik ayat al-Quran dan hadis yang menyentuh mengenai tanggungjawab dan sebagainya.

Saya sendiri tidak tahu jika ada lelaki yang bergelar bapa sanggup menyerahkan anaknya untuk dinikahinya secara misyar.

Islam adalah agama suci yang tidak pernah membataskan tanggungjawab kepada wanita semata-mata, hakikatnya wanita itu sendiri sering ditonjolkan sebagai insan lemah yang perlu dilindungi.

Ikatan perkahwinan yang berlangsung di antara Nabi Muhammad s.a.w dengan Saidatina Khadijah amat wajar dijadikan renungan di sebalik kegawatan isu nikah misyar ini.

Walaupun Rasulullah mengahwini seorang wanita kaya yang lanjut usia tetapi baginda tidak melepaskan tanggungjawab begitu sahaja. Baginda berniaga dan menunaikan tanggungjawab sebagai suami.

Bukankah indah jika amalan Rasulullah ini dijadikan panduan untuk memastikan perkahwinan menepati objektifnya dan tidak tersasar daripada matlamat asalnya.

*Tanggungjawab

Jika dalam hal berpoligami, Rasulullah sering menjadi rujukan kenapa tidak dalam hal memikul tanggungjawab sebagai seorang suami baik bagi lelaki yang telah beristeri mahu pun yang masih bujang dan teringin untuk bernikah misyar.

Mengapa perlu ditonjolkan soal perlunya nikah misyar dibenarkan di negara kita sedangkan hakikatnya kaum lelaki lebih gemar menjadi penghuni pusat serenti sehingga tidak mampu bertanggungjawab kepada diri sendiri.

Di Barat yang menghalalkan pasangan tinggal serumah pun meletakkan tanggungjawab kepada lelaki jika pasangan itu memperoleh anak luar nikah.

Bukan mahu mengagungkan Barat tetapi sekadar membuat perbandingan mengenai objektif perkahwinan itu sendiri yang bukan semata-mata berlandaskan seks sebaliknya mengajar suami dan isteri erti tanggungjawab.

Saya percaya banyak lagi perkara yang perlu dirisaukan oleh kaum lelaki di negara kita, usah pening kepala memikirkan kaedah untuk menarik minat wanita supaya berkahwin kerana tiada statistik yang tepat boleh membuktikan wanita ramai tidak berkahwin.

Akhir kata, sanggupkah wanita yang lembut hatinya dan sarat dengan kasih sayang berdiam diri jika suami yang dikahwininya atas nama nikah misyar meninggalkannya begitu sahaja.

Sanggupkah wanita-wanita intelek ini menahan kesayuan hati dan air matanya jika suami yang dikahwininya hanya untuk berkongsi katil. Fikirkanlah! [UM]