5/13/06

Lelaki jadi suri rumah mula diterima

Oleh NOR ZAINAH NORDIN

CYBERJAYA 12 Mei - Fenomena lelaki meninggalkan kerjaya dan menjadi `suri rumah' manakala isteri keluar bekerja serta menyara keluarga, semakin diterima di kalangan masyarakat khususnya di bandar-bandar besar di negara ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kementeriannya menyedari fenomena tersebut tetapi yang paling mustahak ialah setiap pasangan membuat pilihan sendiri untuk menjalani kehidupan sedemikian.

Katanya, kementerian tidak mempunyai statistik mengenai trend tersebut tetapi melalui pemerhatian beliau sendiri, fenomena yang jarang berlaku pada masa dahulu, kini sudah semakin menular dalam masyarakat Malaysia.

``Jika ia benar-benar berlaku, saya melihat ia sebagai satu keadaan yang memupuk suasana mesra wanita di tempat kerja. Walaupun kelonggaran ini semakin diamalkan di sektor awam tetapi pihak swasta masih enggan menerimanya.

``Ketika ini, perubahan polisi di peringkat swasta untuk kemudahan pekerja wanita seperti membenarkan suami bercuti panjang ketika isteri bersalin, menyediakan taska atau tadika dan pelbagai lagi, sungguh tidak memuaskan langsung,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan TV3 Wanita Hari Ini (WHI) sempena sambutan Hari Ibu di Cyberview Lodge Resort & Spa, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Shahrizat berkata, bagi menangani perubahan paradigma itu, kerajaan perlu melihat kepada keperluan dan kemahiran yang dimiliki oleh golongan bapa untuk mengisi fenomena tersebut.

Katanya, secara semula jadi, wanita bersifat keibuan dan cara mereka mendidik anak-anak sangat berbeza daripada lelaki.

``Ini menyebabkan golongan bapa perlu belajar ilmu kebapaan untuk menjadi pengurus rumah tangga yang baik.

``Namun, anak-anak memerlukan kedua-duanya - ibu dan bapa - ketika membesar dan bagi melengkapkan kehidupan keluarga. Kita tidak boleh biar anak-anak ini ketandusan kasih sayang seorang ibu,'' katanya.

Isu fenomena songsang - lelaki mengambil peranan isteri sebagai pengurus rumah tangga sementara isteri keluar bekerja - dibincangkan oleh Fellow Kanan Institut Kefahaman Islam, Siti Fatimah Abdul Rahman dalam ruangan Wacana Islam, Utusan Malaysia hari ini.

Siti Fatimah berkata, punca utama menyebabkan pasangan suami isteri membuat keputusan itu ialah kesukaran mendapat kemudahan penjagaan anak yang memuaskan hati. [UM]