SOKONG
Oleh: ZULKIFLEE BAKAR (Wartawan Utusan)
JIKA Gunung Merapi di Yogjakarta baru menghembuskan asapnya tetapi di Malaysia ini sebahagian kaum wanita ibarat ‘sudah memuntahkan lavanya’.
Segalanya berikutan kenyataan Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr.Mahmud Zuhdi Abdul Majid yang mencadangkan supaya kaum lelaki dibenarkan mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.
Sudah pastilah sesetengah kaum lelaki terutamanya yang sudah berkahwin akan tersenyum dengan ‘pendedahan’ perkahwinan ini kerana ia ‘bagai pucuk dicita ulam mendatang’.
Jika sebelum ini syarat untuk berpoligami memerlukan mereka yang berkemampuan sahaja boleh menikmatinya tetapi dalam perkahwinan misyar semua itu tidak perlu.
Dalam misyar jika wanita atau gadis yang mempunyai sumber ekonominya sendiri bersetuju untuk bernikah dengan seseorang lelaki tanpa perlu menerima sebarang nafkah zahir, maka ia boleh dilaksanakan.
Maknanya bagi kaum lelaki, isteri mereka tidak boleh marah kerana ‘dia tidak kurang apa-apa’ malah mungkin akan lebih untung lagi.
Itu tafsiran lelaki tetapi tidak bagi wanita, mereka ‘bangkit” melahirkan penentangan dan seperti biasa isu penganiayaan menjadi ‘senjata’ kepada kaum Hawa untuk menentang habis-habisan biarpun perkahwinan misyar bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan Islam.
Sebenarnya, janganlah terlalu awal kita membuat rumusan bahawa perkahwinan ini akan mendatangkan keburukan, masih banyak perkara yang perlu kita perdebat dan pertimbangkan.
Sesuatu yang dibenarkan oleh Allah itu pasti ada kebaikannya, justeru isu seumpama ini perlu diperbincangkan dengan waras.
Mungkin sudah menjadi adat bagi kaum wanita, dia bersetuju jika suaminya ingin membeli rumah, dia akan tersenyum jika suaminya ingin menambah kereta dan dia juga akan masih mampu ketawa jika suami memendam cita-cita untuk bergambar dengan Aishwarya Rai, tetapi kalau menyentuh soal kahwin lagi, percayalah taufan Katrina pun tidak sekuat kemarahan mereka.
Apa pun, kita perlu rasional dalam soal misyar ini, sesungguhnya setiap manusia itu mempunyai hati dan perasaan.
Kahwin misyar bukan hanya melibatkan soal lelaki yang sudah berkahwin sahaja tetapi juga lelaki bujang.
Kita perlu ingat sesebuah perkahwinan tidak akan terbentuk tanpa persetujuan.
Jika seseorang gadis itu rela berkahwin biarpun ia tidak mendapat apa-apa nafkah zahir kerana dia berkemampuan kenapa perlu pihak-pihak lain mewakili emosinya.
Begitu juga jika seorang isteri bersedia membenarkan suaminya melakukan misyar, kenapa pihak lain pula yang berkobar-kobar untuk menghalang ‘persetujuan' itu.
Soal sama ada gadis atau wanita berkenaan akan teraniaya atau tidak ia adalah sebahagian risiko yang perlu mereka tanggung kerana persetujuan yang diberikan.
*‘Suratan atau kebetulan’
Tetapi persoalannya, berapa ramai sangatkah kita akan bertemu dengan gadis dan isteri seumpama itu?
Kadang-kala kita terlupa, bak lirik lagu Suratan atau kebetulan nyanyian Kenny, Remmy dan Martin iaitu, “sesuatu yang tidak disangka sering kali mendatangi kita, itukah suratan dalam kehidupan atau sekadar satu kebetulan.”
Justeru bagi kaum wanita, mereka perlu sedar bahawa perkahwinan bukanlah penamat kepada sebuah perasaan cinta seorang lelaki bergelar suami.
Mereka mungkin boleh menghalang dan membantah suami mereka berkahwin lain, tetapi mereka tidak akan terdaya untuk menghalang tercetus sekali lagi perasaan cinta di hati suami.
Percayalah tidak ada cinta abadi selagi kita bernama hamba Allah, cinta abadi hanya untuk Allah justeru terimalah hakikat kehidupan.
Begitulah juga dalam soal misyar ini, kenapa perlu kita menolak perkara yang dihalalkan oleh Islam sedangkan kita hanya menilainya dari satu sudut negatif sahaja.
Simpatilah kepada sesetengah kaum wanita atau gadis yang rela dimadukan atau bersedia berkorban apa sahaja demi cinta mereka kepada seorang lelaki.
Fikirkanlah bagaimana jika kita berada pada kedudukan mereka? Apakah ketika itu kita akan berhujah berdasarkan ‘matlamat menghalalkan cara?’
Justeru janganlah kita terlalu emosi dan membangkitkan banyak prasangka mengenai misyar kerana prasangkalah yang seringkali memporak-perandakan kehidupan dan memutuskan silaturahim sesama manusia. [UM]