8/05/06

Kisah cinta Siti Nurhaliza untuk laris album?

APABILA membaca kisah-kisah cinta dan perkahwinan Siti Nurhaliza, saya mengesyaki bahawa adakah semua ini semata-mata untuk melariskan album terbarunya dan kesemua barangan syarikat atau yang diiklankan olehnya?

Adakah semua ini sebahagian daripada spin yang sudah menjadi budaya bidang politik dan hiburan yang bermula di Hollywood sebab pakar-pakar pemasaran sudah mendapati bahawa untuk melariskan sesuatu barangan ia mesti juga dibuat menerusi apa yang dikatakan cross merchandising?

Bidang politik dan hiburan sekarang dikuasai oleh pakar-pakar pemasaran dan perhubungan awam (istilah Inggeris spin doctors) sama ada untuk melariskan barang atau menyelamatkan keadaan cemas dan cerita atau kejadian tidak baik yang boleh merosakkan imej.

Pakar-pakar iklan di zaman ini sedar bahawa setiap pengguna mesti diberitahu dan diperingatkan tentang sesuatu barangan atau kegilaan.

Umpamanya pembeli mesti diberitahu tentang sesebuah filem atau lagu itu bukan sahaja menerusi saluran biasa malah ketika dia pergi membeli mi segera atau kereta baru.

Cuba fikirkan, akhir-akhir ini timbul lagi cerita cinta dan kahwin Siti Nurhaliza ketika keluar album terbarunya.

Ini ditambah pula dengan satu iklan produk kecantikan terbarunya. Adakah ini hanya berupa satu spin?

Kalau saya tidak silap, Siti sendiri yang memulakan cerita cinta dan kahwin. Bagaimanapun kisah cinta dan kahwin Siti ini sudah menjadi satu industri kecil dan selagi ia berada di zon positif maka ini tentu akan membantu jualan album dan teh Siti.

Saya agak apabila Siti kahwin nanti majlis besar itu tentu akan diabadikan dalam bentuk DVD atau VCD seperti Erra-Yusri dulu yang kemudian boleh dijual atau digunakan untuk terbitan-terbitan akan datang.

- SAAD HASHIM, Kampung Melayu, Ampang. [UM]