10/06/07

Abdullah, isteri dirai di Kepala Batas Jumaat




ABDULLAH Ahmad Badawi bergambar bersama ahli keluarganya selepas majlis pernikahan dengan Jeanne Abdullah di Seri Perdana, semalam.

Oleh: ABDUL MUIN SAPIDIN

KEPALA BATAS 9 Jun – Penduduk daerah ini akan berpeluang melihat lebih dekat wajah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah yang dijangka hadir bersama Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada satu majlis kenduri kesyukuran dan doa selamat di sini Jumaat ini.

Majlis itu dijangka berlangsung di pekarangan Masjid Jamiul Badawi di sini bagi meraikan Abdullah, 67, dan Jeanne, 54, yang selamat diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri hari ini.

Pengerusi Kariah Masjid Jamiul Badawi, Datuk Arshad Zakaria berkata, keputusan mengadakan majlis itu dibuat selepas beliau dimaklumkan oleh Setiausaha Politik Abdullah, Datuk Othman Desa bahawa pemimpin negara itu akan pulang ke Kepala Batas Jumaat ini.

Ahli-ahli jawatankuasa masjid itu, katanya, telah mengadakan mesyuarat semalam bagi membincangkan kenduri kesyukuran yang akan diadakan sempena kepulangan pertama kali Perdana Menteri bersama isteri barunya ke Kepala Batas.

“Perjumpaan itu sebulat suara memutuskan untuk mengadakan majlis tahlil dan doa selamat bersama para jemaah dan Abdullah selepas solat Jumaat.

“Kami diberitahu Pak Lah akan solat Jumaat di masjid ini minggu depan. Selepas itu kita akan adakan majlis itu secara sederhana bersama para jemaah dan penduduk kampung,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas selamat diijabkabulkan dengan Jeanne di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya petang ini dengan dihadiri oleh anggota keluarga terdekat.

Akad nikah itu disempurnakan oleh Imam Masjid Putrajaya, Abdul Manaf Mat pada pukul 2.50 petang dengan disaksikan anak Perdana Menteri, Datuk Kamaluddin dan menantu, Khairy Jamaluddin.

Arshad berkata, pihaknya mendapat sumbangan daripada beberapa individu dan syarikat korporat sekitar daerah ini yang menaja penganjuran majlis tersebut.

Majlis kenduri kesyukuran dan doa selamat itu, jelasnya, bertujuan mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan pasangan pengantin baru itu di samping meraikan berita baik tersebut.

“Saya percaya ramai penduduk Kepala Batas tidak sabar untuk tengok isteri Perdana Menteri, jadi mereka bolehlah datang meraikannya pada majlis itu nanti,” kata beliau.