Oleh SHARIZA ABDULLAH
JITRA 24 Jun – Bekas banduan paling lama dipenjara di negara ini, Jamil Ahmad, 57, mengakhiri zaman bujangnya malam ini apabila selamat diijabkabulkan dengan Siti Nasfuyah Ahmad Buang, 23, di Masjid Malau, di sini.
Jamil, dan ibu tunggal beranak satu itu menjadi suami isteri selepas dua kali lafaz akad nikah di hadapan Imam Saad Md. Isa, pada pukul 9.50 malam.
Majlis bersejarah bagi pasangan tersebut turut dihadiri rakan-rakan karib kedua-dua pengantin dan ahli keluarga terdekat.
Siti Nasfuyah yang mengenakan baju kurung berwarna merah saga, bertudung merah jambu dan berselendang merah hati menerima mas kahwin sebanyak RM84 dengan hantaran sejumlah RM1,000 dan sebentuk cincin.
Sejurus selepas akad nikah, dia kelihatan sebak dan menitiskan air mata, terharu menjadi isteri Jamil.
Jamil yang mengenakan sepasang baju Melayu berwarna merah hati, bersongkok dan bersamping kelabu ketika ditemui berkata, dia bersyukur majlis pernikahan serba ringkas itu berjalan lancar.
Katanya, dia juga amat bersyukur kerana Allah menemukannya dengan Siti Nasfuyah dan bertekad untuk membina keluarga yang bahagia.
“Saya berjanji pada diri sendiri untuk menjaga keluarga isteri saya dengan sebaik mungkin selain terus berusaha menjadi insan yang lebih sempurna,” katanya.
Menurutnya, majlis kenduri sempena perkahwinan itu akan diadakan di rumahnya di Kampung Belimbing, Kuala Nerang dekat sini, Rabu ini.
Pasangan pengantin itu berkenalan awal tahun ini ketika sama-sama terlibat dalam program motivasi di sekitar negeri ini.
Kedua-dua mereka dikatakan sering mengadakan program motivasi di sekolah-sekolah dan agensi kerajaan dalam meningkatkan kesedaran remaja terhadap gaya hidup sihat dan tidak melanggar undang-undang.
Jamil dibebaskan daripada penjara 3 Oktober tahun lalu selepas mendapat pengampunan daripada Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu‘adzam Shah setelah merengkok di sebalik tirai besi selama 30 tahun 11 bulan dan sembilan hari.
Turut dibebaskan bersama Jamil, rakannya, Mohd. Salleh Taib, 58, yang kedua-duanya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada tahun 1976 kerana terbabit dalam rompakan bersenjata di Baling, Kedah ketika masing-masing berusia 26 dan 27 tahun waktu itu. [UM]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan