|
PENGHIBUR tersohor yang seorang ini sememangnya berada di kelas yang tersendiri dan tidak keterlaluan jika dikatakan dia antara penghibur terbaik yang pernah dilahirkan di negara ini.
Selama hampir 20 tahun menghamba diri dengan dunia seni, baik manis atau pahit, semua sudah ditempuhinya. Bak katanya, semua sudah dirasai dan kini biarlah semua itu dilalui artis generasi baru pula.
Demikianlah luahan ikhlas Sheila Majid apabila diajukan tentang pembikinan album terbaru dan perjalanan kariernya selepas majlis aqiqah dan cukur jambul anak keduanya bersama Acis, Khalefa Laila Murshim di rumah ibu Sheila di Damansara Heights, Kuala Lumpur Sabtu lalu.
Majlis itu juga merupakan majlis khatam Quran anak kedua penyanyi itu bersama bekas suaminya Roslan Aziz iaitu Megat Abdul Majid Aziz, 13.
“Saya rasa dalam usia 42 tahun, saya tidak perlu lagi untuk terburu-buru merakamkan album dan bersaing dengan penyanyi yang sedia ada kerana saya sudah mempunyai fan base saya yang tersendiri.
“Zaman itu semua sudah berlalu. Jadi, saya tahu, peminat saya akan tetap menunggu dan bersabar menantikan kelahiran album saya nanti,” jelas Sheila atau nama sebenarnya, Shaheila Abdul Majid.
Sheila menjelaskan kini dia sudah mempunyai lima buah lagu yang akan disusun muziknya oleh penggubah muzik terkenal, Mac Chew.
“Masalah yang selalu saya hadapi adalah peminat dan pihak penganjur masih mahukan saya menyanyikan lagu-lagu popular lama saya seperti Sinaran, Antara Anyir dan Jakarta dan Legenda. Kalau begitu, tidak perlu saya buat album baru kan?” ujarnya dalam nada bergurau.
Ibu kepada empat cahaya mata ini juga menjelaskan dia akan mula kembali aktif dengan persembahan pentas bermula Julai ini setelah menghabiskan masa selama 44 hari berpantang melahirkan Khalefa. Malah, jadual seninya juga penuh sehingga November nanti.
Bercerita tentang tugasnya sebagai ibu dan isteri pula, dia kini cukup bahagia bersama empat cahaya mata dan suaminya yang banyak membantu dan cukup memahami.
Perkahwinan pertamanya dulu bersama bekas pengetua AF5, Roslan Aziz telah dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Wan Nur Khaleda Aziz, 16, dan Megat Abdul Majid Aziz, 13. Anak pertamanya bersama Acis iaitu Khadeja Zaireen Murshim kini berusia dua setengah tahun.
“Dalam mendidik anak-anak, saya mengamalkan sikap berterus-terang. Zaman sekarang dengan zaman saya dulu, memanglah sangat berbeza,” tegas Sheila yang tidak akan melarang anak-anaknya menceburkan diri dalam bidang seni.
Penghibur yang diberi jolokan sebagai Ratu Jazz ini juga menjelaskan dia akan menyanyi selagi mampu meskipun suatu hari nanti dia sudah menunaikan fardu haji.
“Saya memang ada rancangan untuk menunaikan haji pada tahun 2008. Setakat ini, saya tidak merancang untuk berhenti menyanyi walaupun sudah bergelar hajjah. Kerana bagi saya, menyanyi adalah minat saya dan inilah juga caranya saya mencari rezeki,” kata Sheila. [Utusan]