7/06/07

Jadual padat menanti bakal isteri Perdana Menteri

<== Jeanne Abdullah
KUALA LUMPUR 6 Jun – Jeanne Abdullah yang bakal menjadi isteri Perdana Menteri Sabtu ini dijadualkan menemani Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam siri lawatan kerja dan jemputan ke luar negara termasuk ke Eropah sebaik sahaja selesai majlis pernikahan mereka.

Lawatan pertama Jeanne sebagai isteri Perdana Menteri ialah ke Brunei pada 11 Jun ini, dua hari selepas pernikahan, bagi memenuhi undangan perkahwinan anak Sultan Brunei.

Jadual padat Jeanne itu dibayangkan oleh Abdullah pada sidang akhbar ketika beliau mengumumkan hasratnya untuk mengahwini wanita itu.

‘‘Saya belum ada rancangan untuk bercuti sebab lepas ini saya ada kerja, hendak pergi buat lawatan rasmi ke luar negara dan saya akan bawa sekali Jeanne.

“Bila ada teman perlulah kita bawa sekali,’’ katanya kepada wartawan selepas merasmikan Konvensyen Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) 2007 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Berdasarkan program lawatan kerja Perdana Menteri ke luar negara bulan ini, beliau dijadualkan mengunjungi Rusia pada 17 Jun sehingga 20 Jun, kemudian berlepas ke Bosnia-Herzegovina pada 21 Jun. Pada 23 Jun pula beliau akan melawat Itali sebelum pulang ke tanah air pada 26 Jun.

Ketika ditanya sama ada beliau akan berbulan madu selepas berkahwin, Abdullah berkata, jadual kerjanya amat padat kerana selepas pulang dari Eropah beliau akan membuat lawatan ke seluruh negara termasuk ke Sabah dan Sarawak.

‘‘Selepas ini seperti biasa saya akan buat lawatan ke merata tempat di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Ada program-program yang saya pergi kerana dijemput untuk rasmi itu, rasmi ini, jadi pada masa itu saya bawalah sekali Jeanne,’’ katanya.

Beliau berharap kunjungannya ke seluruh negara bersama Jeanne nanti tidak disambut dengan kenduri atau majlis secara besar-besaran.

Mengenai upacara pernikahannya Sabtu ini, Perdana Menteri berkata, majlis itu akan dihadiri oleh keluarga terdekat di kalangan anak-anak dan adik-adiknya.

Katanya: “Di sebelah (keluarga) Kak Endon, sembilan orang kesemuanya turut dijemput. Ibu mertua saya, dua besan serta anak-anak mereka juga dijemput untuk menyaksikan perkahwinan ini.”

Abdullah yang kelihatan bersemangat dan bercakap sambil diselangi ketawa kecil berharap rakyat boleh menerima keputusannya untuk berkahwin dan mendoakan kebahagiaannya.

‘‘Insya-Allah... saya harap rakyat mendoakan kesejahteraan kami berdua. Perdana Menteri yang lebih gembira boleh melakukan kerja dengan lebih baik.

“Bukan bermaksud sebelum ini saya tidak gembira, tetapi saya lebih gembira sekarang,’’ katanya sambil disambut dengan tepukan para wartawan.

Sidang akhbar yang bermula pada pukul 5.15 petang itu berlangsung selama setengah jam. [Utusan]

"7 Insider Secrets To Newbie Success!"