9/06/07

Abdullah, Jeanne selamat diijab kabul

PUTRAJAYA 9 Jun — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diijab kabul dengan Datin Seri Jeanne Abdullah di kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana di sini hari ini.

Upacara akad nikah disempurnakan oleh Imam Masjid Putrajaya, Abdul Manaf Mat pada pukul 2.50 petang dengan disaksikan oleh anak laki-laki Perdana Menteri, Datuk Kamaluddin dan menantu, Khairy Jamaluddin.

Majlis itu hanya dihadiri anggota keluarga terdekat, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh keluarga Perdana Menteri petang ini.

“Perdana Menteri dan isteri ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang mendoakan kebahagian mereka,” menurut kenyataan itu.

Dilahirkan di Kuala Lumpur pada 29 Julai, 1953, Jeanne merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik.

Beliau menerima pendidikan di Sekolah Menengah Assunta dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan perhotelan serta pernah bertugas sebagai pengelola kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri dan pengurus Kompleks Seri Perdana.

Jeanne mempunyai dua anak perempuan Nadiah, 29, dan Nadene, 27 hasil daripada perkahwinan terdahulu.

Abdullah, 67, pula mempunyai dua anak, Kamaluddin dan Nori, hasil perkahwinannya dengan Datin Seri Endon Mahmood yang meninggal dunia akibat kanser payudara pada 20 Okt., 2005.

Jeanne bersama rombongannya dilihat memasuki Seri Perdana pada pukul 2.20 petang untuk majlis akad nikah itu.

Tiada liputan media bagi acara penikahan itu atas permintaan keluarga Perdana Menteri. - Bernama

Build your own social network in less then 10 minutes!
1,000s are already doing it and Millions will follow. Try it NOW!