16/06/07

Abdullah, Jeanne dirai penduduk Parlimen Kepala Batas

Oleh: ROZILAN SALLEH
ABDULLAH Ahmad Badawi dan isteri, Jeanne Abdullah kelihatan ceria apabila diraikan penduduk pada majlis tahlil dan kenduri kesyukuran sempena pernikahan mereka di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam. – Gambar Bernama.

KEPALA BATAS 15 Jun – Pasangan pengantin baru, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datin Seri Jeanne Abdullah hari ini diraikan oleh lebih 5,000 penduduk di kawasan Parlimen Kepala Batas pada majlis kesyukuran sempena perkahwinan mereka di Masjid Al-Jamiul Badawi, di sini.

Majlis anjuran bersama jawatankuasa kariah masjid itu dan Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur dimulakan dengan Perdana Menteri bersama-sama Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah dan beberapa anggota Dewan Undangan Negeri menunaikan solat Jumaat.

Ia disusuli dengan majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat untuk kedua-dua ibu bapa dan datuk Abdullah iaitu Allahyarham Datuk Kailan Hassan, Allahyarham Datuk Ahmad Badawi dan Allahyarham Abdullah Fahim serta isteri Abdullah, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood.

Majlis tahlil itu diketuai Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Al-Jamiul Badawi, Datuk Arshad Zakaria.

Abdullah dan Jeanne kemudian bersama-sama jemputan kenamaan menghadiri jamuan tengah hari bersama penduduk di situ.

Sepanjang majlis berkenaan, suasana kemesraan jelas tergambar lebih-lebih lagi apabila Abdullah dan Jeanne beramah mesra dengan para jemputan yang hadir dengan setiap daripada orang ramai mengucapkan tahniah kepada mereka.

Paling istimewa ialah keceriaan Jeanne yang dilihat begitu ramah dan sering tersenyum dengan para penduduk di kampung halaman suaminya sambil para jemputan wanita tidak melepaskan peluang berpelukan dengannya sambil mengucapkan tahniah.

Orang ramai juga menggunakan peluang untuk menyampaikan sendiri hadiah masing-masing kepada Perdana Menteri dan isteri.

Hadir sama ialah isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Majimor Shariff; Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan isteri, Puan Sri Chui Kah Peng.

Selepas itu dalam ucapan ringkasnya, Abdullah menyatakan penghargaannya kepada semua pihak yang telah bersusah payah mengadakan gotong-royong menganjurkan majlis berkenaan.

Perdana Menteri kemudiannya mengadakan pertemuan dengan Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian empat peringkat di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kepala Batas.

Selesai pertemuan berkenaan, Abdullah dan isteri berangkat ke Seri Mutiara bagi mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri dan isteri. [Utusan]